2 produk susu formula bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat dilaporkan mengandungi bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport. Ini susulan laporan oleh Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mengenai isu penemuan bakteria tersebut.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya telah menghubungi syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd. dan mengesahkan bahawa pihak syarikat telah membuat penarikan balik (recall) produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela serta mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan.
Hasil siasatan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati hanya dua produk rumusan bayi yang terlibat iaitu Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets).

Produk ini dikesan dengan nombor batch yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kod bar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, “KKM juga telah mengenakan tindakan penolakan (auto-rejection) di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.”
Beliau turut berkata, bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi. Jangkitan bakteria tersebut boleh menyebabkan meningitis atau sepsis.
Tambahnya lagi, walau bagaimanapun, jangkitan tersebut jarang berlaku. Sekiranya berlaku jangkitan gejala yang ditunjukkan oleh bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.
Tindakan Peniaga dan Ibu Bapa
Justeru itu, Dr. Noor Hisham meminta semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk susu tersebut hendaklah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenalpasti batch kod rumusan bayi berkenaan serta berhenti menggunakan produk yang terlibat dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi tersebut.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang https://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) https://www.facebook.com/bkkmhq.