Hidup ini sememangnya penuh dengan dugaan dan cabaran. Ada masanya seseorang itu tidak mampu untuk menghadapi masalah dan dugaan itu seorang diri. Oleh itu, mendapatkan bantuan daripada ahlinya seperti pakar psikiatri adalah pilihan terbaik. Mungkin menjadi persoalan bilakah anda perlu berjumpa pakar psikiatri ini?
Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya adakah masalah yang sedang dihadapinya memerlukan konsultasi daripada pakar psikiatri? Atau hanya terus memendamkannya.
Kemampuan seseorang itu untuk menghadapi rintangan dan ujian dalam hidupnya berbeza-beza. Sesetengah orang tidak mampu untuk menahan ujian yang dihadapi walaupun ujiannya kecil dan ada juga yang sebaliknya.
Walaupun apa ujiannya, ingatlah bahawa anda tidak keseorangan dan bantuan sentiasa ada untuk anda.
Artikel ini menerangkan beberapa jawapan bagi menjawab persoalan bilakah perlu berjumpa pakar psikiatri ini.
Kematian Orang Tersayang
Semua orang akan mati, itu adalah kepastian. Cuma yang membezakannya bila dan di mana. Tidak semua orang boleh menerima kematian orang yang tersayang terutamanya apabila mereka mempunyai ikatan yang kuat.
Islam mengajar umatnya untuk menerima ketentuan Allah dengan penuh sabar dan redha.
Namun, sekiranya seseorang itu gagal mengawal dirinya dan tidak dapat menerima kenyataan, keadaan ini akan mendatangkan masalah jika terus berlanjutan.
Berjumpa dengan ahli psikologi atau psikiatri boleh membantu anda menghadapi kematian orang yang anda sayangi.
Tekanan dan Keresahan
Tekanan hidup yang berlarutan boleh menyebabkan gangguan seperti keresahan.
Banyak aspek dalam kehidupan ini boleh mendatangkan tekanan. Contohnya seperti tekanan di tempat kerja, tekanan akibat masalah kewangan, tekanan kesempitan hidup dan macam-macam lagi.
Sekiranya tekanan dan keresahan ini berlanjutan, ia boleh membawa kepada masalah lain seperti kemurungan dan memencilkan diri.
Berjumpa dengan ahli psikiatri boleh membantu anda menguruskan tekanan dan keresahan (kebimbangan) dengan mencari punca dan bagaimana untuk mengatasi masalah ini.
Kemurungan
Berasa putus asa dan tidak berdaya adalah antara tanda-tanda kemurungan.
Kemurungan adalah antara gangguan mental yang paling banyak berlaku dan boleh mengganggu kehidupan harian mereka yang menghadapinya.
Kemurungan boleh menyebabkan seseorang itu hilang minat akan kehidupan hariannya dan rasa berputus asa.
Berjumpa dengan ahli psikiatri atau psikologi boleh membantu anda mencari punca kemurungan itu dan bagaimana untuk menguruskan pemikiran negatif yang selalu menganggu anda.
Masalah Keluarga atau Perhubungan
Masalah keluarga atau masalah perhubungan boleh menjadi punca kepada tekanan atau masalah yang lain. Sekiranya tidak ditangani, masalah ini boleh menjadi lebih parah.
Oleh itu, mendapatkan konsultasi daripada ahli psikologi atau pakar psikiatri boleh membantu anda mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Fobia
Mengalami fobia juga boleh menjadi waktu yang sesuai untuk berjumpa pakar psikiatri.
Fobia akan tempat tinggi atau fobia dengan sesetengah haiwan adalah antara fobia yang biasa dialami oleh ramai orang. Tetapi, terdapat sesetengah fobia yang boleh memudaratkan seperti fobia sosial, sitophobia (fobia untuk makan) atau ambulophobia (fobia untuk berjalan).
Pakar psikiatri boleh membantu anda mengatasi ketakutan yang dialami bagi membolehkan anda hidup tanpa fobia.
Ketagihan atau Tabiat Buruk
Ketagihan dadah, ketagihan alkohol atau merokok adalah tabiat yang sangat tidak sihat. Tabiat ini bukan sahaja tidak sihat malah boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan.
Berjumpa dengan pakar psikiatri atau psikologi boleh membantu anda berubah dan meninggalkan tabiat buruk ini.
Penyakit Mental
Kadang-kadang ada beberapa simptom atau petanda yang kita alami sebenarnya merujuk kepada gangguan atau penyakit mental.
Simptom-simptom ini mungkin dianggap perkara biasa bagi kita yang tidak mengetahui. Tetapi, rupa-rupanya ia merujuk kepada penyakit mental yang serius.
Oleh itu, adalah penting untuk berjumpa pakar atau ahli perubatan profesional.
Antara gangguan mental yang mempunyai simptom-simptom yang pelbagai adalah:
- Skizofrenia
- Kecelaruan Stres Pascatrauma
- Kecelaruan bipolar
- Kecelaruan episod kemurungan major
Membetulkan Persepsi
Adalah penting untuk membetulkan persepsi diri sendiri dan masyarakat bahawa dengan berjumpa doktor atau pakar psikiatri bukan bermakna anda seorang yang GILA.
Setiap penyakit pasti ada ahli atau doktornya. Begitu juga dengan masalah emosi atau mental, pakar psikiatri atau pakar psikologi adalah doktor bagi masalah-masalah ini.
COVID-19 mendatang satu perubahan besar dalam kehidupan masyrakat di seluruh dunia. Tidak kurang juga penyakit ini menyebabkan ramai mengalami masalah mental akibat daripada tekanan-tekanan yang dihadapi. Lebih parah, terdapat banyak cubaan membunuh diri dan bunuh diri.
Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan bantuan sekiranya anda tidak mampu mengawal dan mengurus tekanan atau masalah yang dialami.
Rujukan
- Brian Krans. (2020). When to Consult a Psychologist. Healthline [diakses pada 2 Mei 2021].