Kemurungan bukan sahaja melibatkan kesedihan. Kemurungan melibatkan gabungan perasaan sedih, rasa kosong dan emosi yang terganggu. Kemurungan bukan sahaja boleh terjadi terhadap orang dewasa. Remaja juga boleh mengalami kemurungan.
Umumnya, adalah normal apabila seseorang remaja itu mengalami turun naik dari segi emosinya. Namun, jika ia berlanjutan melebihi 2 minggu dan mengganggu kehidupan seharian remaja tersebut, maka ia mungkin petanda kepada kemurungan.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2017 melaporkan bahawa kelaziman masalah kesihatan mental seperti kemurungan dalam kalangan remaja adalah sebanyak 18.3%.
Remaja di negeri Selangor paling tinggi mencatatkan kemurungan iaitu sebanyak 22.6%. Kajian ini turut melaporkan bahawa golongan remaja yang merokok, minum arak, mengambil dadah dan terlibat dengan aktiviti seksual turut menunjukkan simptom-simptom kemurungan yang agak tinggi.
Adalah penting untuk mengenal pasti simptom atau tanda kemurungan dan merawatnya bagi mengelakkan masalah kesihatan mental ini daripada terus membarah dalam kalangan remaja di negara ini.
Tanda-tanda atau Gejala Kemurungan Bagi Remaja
Kemurungan remaja mempunyai sedikit perbezaan daripada kemurungan yang dialami oleh orang dewasa. Jika orang dewasa berasa sedih, remaja pula lebih kepada berasa mudah marah.
Episod kemurungan adalah berbeza dengan perubahan emosi yang biasa berlaku semasa usia remaja. Mengetahui tanda atau gejala kemurungan dalam kalangan remaja adalah langkah pertama untuk mengurus dan merawat masalah kesihatan mental ini.
Tanda-tanda atau gejala kemurungan remaja adalah seperti:
- Berasa sedih
- Kerap kali menangis
- Berasa mudah atau cepat marah
- Berasa putus asa
- Berasa rendah diri atau keyakinan diri
- Berasa bersalah
- Tidak bertenaga
- Hilang minat atau keseronokan dalam aktiviti yang biasanya dilakukan
- Sering kebosanan
- Menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan
- Sukar untuk fokus dan membuat keputusan
- Sentiasa gelisah dan resah yang berlebihan
- Sukar untuk tidur atau terlalu banyak tidur
- Perubahan selera makan dan berat badan
- Markah atau prestasi di sekolah merosot
- Menghadapi kesukaran dalam komunikasi dan perhubungan
- Sering mengadu sakit kepala dan sakit perut
- Penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah dan arak
- Cuba untuk mencederakan diri seperti melukakan tangan
- Berfikir atau mencuba untuk membunuh diri
Remaja yang hidup dalam kemurungan akan menghadapi masalah dalam kehidupan sosial dan akademik mereka.
Apa yang Normal dan Apa yang Tidak
Sememangnya agak sukar untuk membezakan sama ada perubahan yang berlaku itu adalah proses normal seorang remaja atau remaja itu mengalami kemurungan. Sebagai ibu bapa, anda harus mendekati anak remaja anda dan cuba berkomunikasi dengan mereka.
Kenalpasti sama ada mereka mampu atau tidak untuk menguruskan emosi atau perasaan mereka. Jika tanda-tanda atau simptom kemurungan ini mula menganggu kehidupan anak remaja anda, sila dapatkan rawatan daripada doktor atau kaunselor yang bertauliah.
Punca dan Penyebab Kemurungan Remaja
Kecelaruan kemurungan atau depresi biasanya melibatkan banyak punca atau penyebab. Ini termasuklah:
- Keturunan. Kemurungan lebih lazim berlaku kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang turut mengalami keadaan yang sama.
- Hormon. Perubahan hormon mungkin menyebabkan berlakunya kemurungan.
- Perubahan dalam otak. Perubahan dalam otak seperti perubahan hormon dan neurotransmitter boleh menyumbang kepada kemurungan.
- Pernah mengalami peristiwa yang menyebabkan trauma. Peristiwa trauma yang berlaku pada zaman kanak-kanak boleh menyebabkan kemurungan. Kehilangan ibu bapa, didera secara fizikal atau emosi atau penderaan seksual boleh menyebabkan remaja ini mudah mengalami kemurungan.
- Pemikiran negatif. Pemikiran remaja juga terdedah kepada pemikiran negatif atau pesimistik. Pemikiran seperti ini memudahkan remaja ini terjerumus ke dalam masalah kemurungan. Golongan remaja ini akan menjadi sukar untuk berfikiran positif dalam menghadapi cabaran hidup.
Faktor Risiko
Beberapa faktor lain yang boleh menyumbang kepada kemurungan:
- Tekanan hidup yang teruk
- Mengalami tekanan masalah keluarga seperti ibu bapa bercerai atau meninggal
- Tidak mempunyai sokongan emosi atau sosial
- Mempunyai ahli keluarga yang ganas
- Mempunyai ahli keluarga yang mati akibat bunuh diri
- Sering dibuli
- Menghidap masalah kesihatan mental yang lain seperti kecelaruan keresahan, kecelaruan personaliti atau kecelaruan bipolar
- Mengalami masalah pembelajaran seperti gangguan kurang tumpuan atau hiperaktif (ADHD)
- Penyalahgunaan dadah atau alkohol
Komplikasi
Sekiranya kemurungan ini tidak ditangani, diurus atau dirawat, ia akan mendatangkan masalah yang lebih besar dan boleh menjejaskan kehidupan seseorang remaja tersebut.
Komplikasi yang berkaitan dengan kemurungan remaja termasuklah:
- Penyalahgunaan dadah dan alkohol
- Masalah persekolahan seperti keputusan merosot, ponteng sekolah atau melanggar undang-undang sekolah
- Berlakunya konflik keluarga dan masalah perhubungan yang lain
- Melakukan keganasan atau melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang
- Cubaan untuk membunuh diri atau membunuh diri
Rawatan
Semua jenis kemurungan adalah boleh dirawat. Langkah pertama yang harus dilakukan ialah berjumpa doktor atau pakar kesihatan mental.
Diagnosa yang betul dan sesuai amat penting bagi membolehkan remaja yang mengalami kemurungan ini mendapat manfaat yang terbaik daripada rawatan yang dijalankan.
Rawatan pada lingkungan usia ini adalah penting untuk kesihatan mental dan fizikal golongan ini pada jangka masa Panjang.
Rawatan bagi masalah kesihatan mental ini bergantung kepada tahap keterukan kemurungan yang dialami dan biasanya rawatan yang diberikan adalah yang dirumus khas untuk individu tersebut.
Rawatan ini juga mungkin memerlukan beberapa percubaan dari segi bentuk terapi dan jenis ubat yang diberikan untuk menemui gabungan yang serasi dan berkesan untuk individu tersebut.
Oleh itu, jangan terus hilang semangat sekiranya rawatan yang diberikan tidak menunjukkan hasil segera.
Terdapat beberapa pilihan rawatan bagi masalah ini seperti:
1. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan jenis antidepresan adalah ubat yang berkesan digunakan untuk merawat masalah kemurungan. Antara ubat antidepresi yang lazim digunakan adalah:
- Fluoxetine
- Escitalopram
Terdapat kajian semula yang mendapati penggunaan ubat antidepresan adalah berkesan.
2. Psikoterapi
Psikoterapi adalah satu bentuk kaunseling kesihatan mental yang melibatkan ahli terapi yang terlatih. Selain terapi individu, terapi berkumpulan juga didapati bermanfaat berdasarkan perkembangan normal bagi remaja untuk menghargai hubungan rakan sebaya mereka.
2 bentuk psikoterapi yang biasanya digunakan adalah:
- Terapi interpersonal. Terapi ini bertujuan untuk menguatkan hubungan peribadi dengan menambah baik komunikasi dan skil penyelesaian masalah.
- Terapi tingkah laku kognitif. Terapi ini bertujuan untuk membantu pesakit untuk mengubah pemikiran dan emosi negatif kepada positif.
3. Perubahan gaya hidup
Perubahan gaya hidup boleh membantu remaja mengatasi masalah kemurungan yang dihadapi oleh mereka. Simptom-simptom kemurungan boleh diatasi dengan melakukan perkara-perkara berikut:
- Senaman. Senaman atau aktiviti fizikal boleh membantu remaja untuk memulihkan emosi mereka. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal seperti berjalan, berbasikal dan berlari serta latihan beban boleh mengurangkan simptom-simptom kemurungan.
- Tidur. Tidur adalah penting untuk emosi remaja. Pastikan remaja atau anak anda mendapatkan tidur yang mencukupi setiap hari.
- Diet. Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat juga penting semasa usia remaja. Pemakanan yang tinggi dengan gula dan lemak boleh menyebabkan rasa lesu.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2018). Teen depression. MayoClinic [diakses pada 2 April 2021].
- Brian Krans & Stephanie Faris. (2021). Teen Depression. Healthline [diakses pada 2 April 2021].
- Kate Bettino. (2021). What to Know About Teenage Depression. PsychCentral [diakses pada 2 April 2021].
- Institute for Public Health (IPH) 2017. National Health and Morbidity Survey 2017 (NHMS 2017): Adolescent Mental Health (DASS-21).