Fobia sosial atau turut dikenali sebagai kecelaruan keresahan sosial adalah perasaan gerun individu terhadap orang ramai atau untuk melakukan sesuatu di khalayak kerana takut dimalukan. Fobia sosial bukan sekadar rasa malu biasa tetapi ia akan mengganggu aktiviti seseorang itu.
Fobia sosial adalah salah satu daripada jenis kecelaruan keresahan. Rasa gerun atau takut bagi penghidap fobia sosial ini adalah sangat kuat sehinggakan mereka sukar untuk mengawalnya.
Kesannya, mereka yang mempunyai masalah ini akan sentiasa mengelak daripada tempat-tempat atau acara-acara yang mereka fikir akan memalukan mereka.
Fobia sosial ini boleh bermula pada usia kanak-kanak dan jika tidak dirawat boleh berkekalan sepanjang hayat. Keadaan ini akan menghalang seseorang itu mencapai potensi sebenar mereka.
Gejala-gejala Fobia Sosial
Mereka yang mengalami fobia sosial atau kecelaruan keresahan sosial ini biasanya akan mengalami beberapa gejala berikut:
- Rasa malu, berpeluh dan mengeletar.
- Degupan jantung menjadi laju dan fikiran menjadi kosong.
- Rasa loya atau sakit perut.
- Rasa pening.
- Sukar dan takut untuk berada bersama-sama orang lain terutamanya bagi yang baru dikenali.
- Rasa malu dan janggal bila berada dihadapan orang.
- Menjauhi kawasan yang mempunyai orang lain.
- Mengelak daripada bercakap dengan orang lain kerana takut dimalukan.
- Mengelak situasi yang menjadikannya tumpuan ramai.
- Rasa risau berhari-hari atau minggu sebelum sesuatu majlis atau aktiviti.
- Rasa risau yang teruk terhadap sesuatu situasi sosial.
- Rasa risau kerana takut memalukan diri sendiri dalam situasi sosial.
Punca yang Menyebabkan Fobia Sosial
Fobia sosial atau keresahan sosial ini boleh berlaku disebabkan keturunan tetapi persoalan yang timbul dan tidak mempunyai jawapan adalah kenapa ada ahli keluarga yang mengalaminya dan ada yang tidak.
Para pengkaji berpendapat kesilapan dalam “membaca” tingkah laku orang lain juga memainkan peranan yang menyebabkan keresahan sosial.
Contohnya, anda melihat seseorang itu menenung anda sedangkan pada hakikatnya adalah tidak.
Antara faktor lain yang mungkin menjadi punca kepada masalah ini ialah skil sosial yang tidak dibentuk dengan baik.
Keadaan ini akan menyebabkan seseorang itu akan berasa kurang yakin apabila sudah bercakap dengan orang lain dan rasa bimbang untuk melakukannya pada masa hadapan.
Selain itu,fobia sosial boleh berpunca daripada cara keibubapaan yang terlampau melindungi anak-anak mereka atau sering menggunakan sindiran atau kritikan.
Rawatan dan Terapi
Rawatan awal adalah dengan mendapatkan diagnosa daripada doktor anda mengenai gejala-gejala yang dialami. Doktor anda akan merujuk anda kepada pakar kesihatan mental, pakar psikiatri, ahli psikologi atau kaunselor.
Psikoterapi
Psikoterapi ialah rawatan yang melibatkan terapi percakapan atau perbualan. Kaedah terapi kognitif-tingkah laku adalah satu cara rawatan yang berkesan untuk merawat keresahan sosial ini.
Kaedah terapi jenis ini akan melatih anda (pesakit) cara berfikir, berkelakuan atau bertindak balas secara berbeza terhadap situasi yang menyebabkan anda berasa takut atau resah.
Terapi ini juga akan membantu anda belajar dan mengamalkan skil sosial.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan kadang-kalanya diperlukan untuk melegakan gejala-gejala keresahan sosial ini. Ubat-ubatan ini juga boleh diambil bersama dengan rawatan psikoterapi.
Antara ubat-ubatan yang biasa digunakan adalah:
- Ubat antidepresan
- Ubat antiresah
- Beta-blockers
Kumpulan Sokongan
Kaedah kumpulan sokongan juga didapati berkesan kepada penghidap keresahan sosial ini. Kumpulan yang terdiri daripada penghidap fobia sosial ini boleh bertukar-tukar pandangan, maklum balas yang jujur dan tidak berat sebelah.
Dari sini, anda dapat belajar mengenai pemikiran, pertimbangan dan penolakan yang betul atau tidak. Dari sini juga anda boleh belajar bagaimana cara orang lain mengatasi keresahan sosial yang dialami oleh mereka.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2017). Social anxiety disorder (social phobia). MayoClinic [diakses pada 18 Ogos 2020].
- National Institute of Mental Health. (n.d.). Social Anxiety Disorder: More Than Just Shyness. [diakses pada 19 Ogos 2020].
- Valencia Higuera. (2018). Social Anxiety Disorder. Healthline [diakses pada 19 Ogos 2020].