Bipolar atau kecelaruan bipolar adalah penyakit mental yang menyebabkan peralihan emosi atau “mood” yang drastik. Selain perubatan moden dan konvensional, terdapat juga rawatan islam untuk bipolar yang boleh membantu merawat penyakit kecelaruan bipolar ini.
Mereka yang menghidap bipolar ini akan mengalami dua episod perubahan emosi iaitu episod mania atau hipomania dimana penghidap bipolar ini akan berasa sangat gembira dan bertenaga.
Manakala mereka boleh berada pada episod emosi yang sedih atau kemurungan yang menyebabkan mereka berasa putus asa dan hilang minat terhadap kebanyakan aktiviti yang sebelum ini diminati.
Terdapat beberapa simptom yang boleh dikenalpasti berdasarkan episod emosi yang berlaku.
Episod Mania dan hipomania
Mania adalah lebih teruk daripada hipomania. Tetapi kedua-dua jenis episod ini berkongsi simptom yang sama. Gejala atau simptom episod mania atau hipomania adalah seperti:
- Peningkatan tenaga, aktiviti dan pergerakan
- Kurang tidur
- Banyak bercakap (luar biasa)
- Pemikiran yang laju
- Mudah terganggu
- Pembuat keputusan yang kurang baik
- Hilang selesa makan
- Rasa mereka sangat penting, berbakat dan berkuasa
Episod Kemurungan
Episod kemurungan ini akan menyebabkan seseorang itu sukar untuk menjalani kehidupan seharian termasuklah di sekolah atau di tempat kerja. Setiap episod kemuurngan akan mempunyai lima atau lebih simptom berikut:
- Rasa sedih, kosong, putus asa atau menangis
- Hilang minat atau perasaan terhadap semua atau kebanyakan aktiviti
- Banyak tidur atau tidak tidur
- Turun berat badan akibat tidak makan atau naik berat badan akibat makan terlalu banyak
- Kelesuan dan tidak bertenaga
- Rasa tidak berguna dan rasa bersalah yang tidak kena tempat
- Sukar untuk memberi tumpuan atau berfikir
- Bercakap perlahan atau mereka tidak mempunyai apa-apa yang ingin dikatakan
- Berfikir, merancang atau mencuba untuk membunuh diri
Simptom-simptom kecelaruan bipolar ini boleh dikawal melalui rawatan. Selain rawatan perubatan moden atau konvensional, terdapat juga kaedah rawatan islam untuk kecelaruan bipolar ini.
Berikut adalah beberapa kaedah rawatan Islam yang dikongsikan oleh Ustaz Amin (Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin) dalam rancangan Pesona D’Zahra di radio IKIM.
Rawatan Islam untuk Bipolar
Terdapat dua keadaan yang mana kita mengubati diri kita sendiri atau dibantu oleh orang lain. Menurut Ustaz Amin, mengubati diri sendiri adalah pilihan yang terbaik.
1. Kenali Perkara yang Mencetuskan Perubahan Emosi
Apabila kita mengalami perubahan emosi (mood swing) sehingga menjadi episod-episod mania atau hipomania dan kemurungan (depresi), kita harus mengetahui apakah perkara yang menjadi pencetus kepada perubahan emosi tersebut.
Ketahui punca atau perkara yang mencetuskan rasa terlalu marah atau terlalu gembira atau terlalu sedih tersebut. Mungkin ia berpunca daripada situasi ahli keluarga yang suka marah-marah, tekanan di tempat kerja atau disebabkan kehilangan orang yang tersayang.
Kesedaran ini adalah salah satu elemen penting untuk merawat kecelaruan bipolar ini.
2. Rekod Mood atau Emosi
Catatkan atau buat satu rekod mengenai perubahan mood atau emosi seharian yang kita alami. Boleh menggunakan buku diari atau menggunakan aplikasi di telefon pintar seperti Daylio Journal atau Moodnotes.
Hal ini kerana ada masanya kita tidak sedar akan perubahan emosi yang kita alami. Melalui rekod ini kita dapat lihat kembali perubahan-perubahan emosi yang kita alami pada hari-hari yang lalu.
Rekod ini juga boleh memberi maklumat awal kepada kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan emosi kita.
3. Buat Catatan Rutin Harian
Pesakit bipolar biasanya tidak mempunyai rutin yang tetap. Oleh itu, melalui catatan rutin harian seperti waktu makan, waktu tidur, waktu bangun tidur dan waktu melakukan kerja rumah boleh membantu kita mempraktikkan rutin ini.
Waktu tidur dan tidur itu sendiri amat penting bagi membolehkan badan membaiki kerosakan-kerosakan dalaman yang tidak nampak secara luaran.
4. Rancang Aktiviti
Selain itu juga, penghidap bipolar ini juga harus merancang aktiviti riadah atau fizikal. Dalam Islam, ia disebut riadah wal harokah iaitu riadah dan pergerakan.
Mereka yang mempunyai pergerakan ini boleh menguatkan emosi mereka agar tidak mudah berbolak balik atau berubah.
Sebagai contoh, Rasullullah SAW menyarankan umat Islam agar melakukan aktiviti riadah seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti-aktiviti seperti ini bukan sahaja bagus untuk kesihatan tubuh badan malah ia turut baik untuk kawalan emosi dan daya tumpuan.
5. Membaca Doa
Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, beliau berkata: Adalah Rasulullah SAW selalu mengucapkan (berdoa):
Maksudnya: “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu“
Kemudian aku pun bertanya:
“Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.”
Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261). (Rujukan)
6. Makan Ubat
Islam juga menggalakkan umatnya untuk berubat dengan makan ubat seperti ubat penstabil emosi (mood stabilizer). Antara ubat penstabil emosi adalah:
- Carbamazepine
- Divalproex
- Lamotrigine
- Lithium
- Valproic acid
Walaupun bukan ubat itu yang menyembuhkan tetapi Allah, namun ubat itu adalah satu ikhtiar atau usaha. Usaha ini yang akan direstui oleh Allah SWT.
7. Membaca Ayat dalam Surah Al-Qalam
Selain itu, kecelaruan bipolar ini juga boleh dirawat melalui keberkatan ayat al-Quran daripada surah Al-Qalam ayat 43.
Maksudnya: “Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.”
Ayat ini harus dibacakan oleh orang lain kepada pesakit bipolar. Boleh juga dibacakan dan dibuat air tawar.
Rumusan
Kecelaruan bipolar adalah penyakit yang berkaitan dengan episod-episod perubahan emosi yang menyebabkan seseorang itu terlalu gembira dan terlalu sedih. Episod-episod ini dikenali sebagai episod mania atau hipomania dan juga episod kemurungan (depresi).
Rawatan Islam untuk bipolar menggariskan beberapa kaedah termasuklah doa yang diriwayatkan oleh sahabat dan melalui keberkatan ayat Al-Quran.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Bipolar disorder. MayoClinic [diakses pada 19 Mac 2021].
- Jennifer Casarella. (2020). Medications for Bipolar Disorder. WebMD [diakses pada 19 Mac 2021].