Kecelaruan bipolar ialah penyakit mental yang dicirikan oleh perubahan emosi yang serius dan ketara. Bipolar juga merujuk kepada dwikutub iaitu merujuk kepada dua kutub emosi yang dihadapi oleh pesakit ini iaitu mania dan kemurungan. Ciri-ciri kecelaruan bipolar boleh dikenali berdasarkan dua ‘kutub’ emosi ini.
Dahulunya, kecelaruan bipolar atau bipolar disorder ini dikenali sebagai kemurungan manik atau kecelaruan manik-depresi. Terdapat 2 jenis kecelaruan bipolar utama iaitu kecelaruan bipolar I dan kecelaruan bipolar II.
Kecelaruan Bipolar I
- Seseorang itu mengalami sekurang-kurangnya satu episod manik (manic) seminggu atau lebih.
- Seseorang itu mungkin pernah mengalami episod kemurungan.
- Tidak mengalami kecelaruan lain seperti skizofrenia atau delusi.
Kecelaruan Bipolar II
- Seseorang itu mengalami satu atau lebih episod kemurungan.
- Seseorang itu mengalami sekurang-kurangnya satu episod hipomania.
- Tidak berkait dengan kecelaruan lain.
Seseorang yang mengalami hipomanik mungkin akan berasa baik dan berfungsi dengan baik. Namun, emosinya mungkin tidak stabil dan berisiko untuk mengalami kemurungan.
Ciri-ciri atau tanda-tanda kepada kecelaruan bipolar adalah berbeza-beza. Ciri-ciri ini boleh juga disebabkan oleh penyakit atau masalah lain yang membuatkan penyakit mental ini sukar untuk dikenal pasti.
Ciri-ciri kecelaruan bipolar boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ciri-ciri mania dan ciri-ciri kemurungan.
13 Ciri-ciri Mania
Ciri-ciri mania ini merujuk kepada episod dimana penghidap kecelaruan bipolar ini berasa cukup tinggi dengan tenaga, kreativiti dan kegembiraan. Seseorang yang mengalami mania ini juga berasa seperti sangat hebat, berkuasa dan tidak boleh dikalahkan.
Walaupun mania ini pada peringkat awalnya kelihatan baik dan bagus, namun ia mudah untuk menjadi tidak terkawal. Akhirnya, mereka yang mengalami mania ini akan melakukan perkara-perkara yang merosakkan dirinya sendiri.
Hipomania pula ialah keadaan mania yang ringan hingga sederhana.
Antara ciri-ciri atau tanda-tanda seseorang itu mengalami mania adalah:
- Berasa sangat gembira
- Bercakap terlalu laju
- Berasa sangat bertenaga
- Berasa pentingkan diri sendiri
- Terlampau yakin dengan kemampuan atau keupayaan diri
- Berasa seperti mempunyai banyak idea-idea baru yang hebat dan mempunyai perancangan yang penting
- Rasa gelisah yang amat sangat
- Rasa seperti tidak perlukan tidur
- Sangat mudah untuk terganggu
- Tidak makan
- Melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri atau mempunyai akibat yang buruk seperti memandu secara cuai atau berbelanja diluar kemampuan
- Mudah untuk marah dan bertindak agresif
- Berhalusinasi, delusi atau berfikir perkara yang tidak logik
11 Ciri-ciri Kemurungan
Ciri-ciri kemurungan ini pula adalah episod kemurungan yang berlaku selepas atau sebelum episod mania.
Kemurungan yang dialami oleh mereka yang mengalami kecelaruan bipolar ini sedikit berlainan daripada kemurungan biasa. Kemurungan bipolar tidak menunjukkan tindak balas yang baik terhadap rawatan menggunakan ubat antidepresi.
Malah, ubat antidepresi boleh meningkatkan risiko kecelaruan bipolar ini bertambah buruk seperti mencetuskan mania atau hipomania atau menyebabkan kitaran perubahan emosi ini lebih cepat.
Kemurungan bipolar lebih cenderung melibatkan rasa tidak senang, rasa bersalah, perubahan emosi yang sukar dikawal dan perasaan gelisah. Kemurungan bipolar akan membuatkan seseorang itu lebih banyak tidur, bercakap atau bergerak secara perlahan atau meningkat berat badan.
Antara ciri-ciri seseorang itu mengalami kemurungan bipolar adalah:
- Rasa sedih, kosong atau putus harapan
- Rasa tidak senang
- Tidak berasa seronok
- Hilang minat terhadap aktiviti yang biasanya disukai
- Menjauhi rakan-rakan dan keluarga
- Perubahan ketara terhadap selera makan
- Rasa sangat letih atau kekurangan tenaga
- Mempunyai masalah ingatan, tumpuan dan membuat keputusan
- Sukar untuk tidur
- Mempunyai tangapan negatif mengenai masa depan
- Berfikir untuk membunuh diri
Pencegahan Bunuh Diri
Sekiranya anda atau seseorang yang anda kenal ingin atau mencuba untuk membunuh diri. Anda tidak keseorangan. Dapatkan bantuan daripada talian berikut:
- Befrienders : 03-7627 2929 (24 jam)
- talian Kasih 15999
- Hubungi talian 999
Dapatkan Rawatan
Sekiranya anda atau kenalan anda ada yang mengalami atau menunjukkan ciri-ciri kecelaruan bipolar ini, sila dapatkan rawatan dengan pakar-pakar kesihatan mental, ahli psikologi, kaunselor atau doktor.
Menempuh hari-hari yang mendatang dengan masalah kecelaruan bipolar sememangnya menyukarkan. Kadang kala ia terasa seperti sangat luar biasa. Ini semua adalah tindak balas normal.
Tetapi harus sentiasa disemat dihati dan difikiran bahawa anda tidak keseorangan dan kecelaruan bipolar ini boleh dirawat.
Sokongan daripada orang sekeliling seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau mereka yang pernah mengalami kecelaruan ini juga turut boleh membantu mereka yang mengalami kecelaruan ini untuk pulih.
Rujukan
- Jeff & Viktoria Segal. (2020). Bipolar Disorder Signs and Symptoms. Helpguide [diakses pada 11 Februari 2021].
- NHK. (2019). Bipolar disorder [diakses pada 11 Februari 2021].
- Tim Newman. (2020). What to know about bipolar disorder. MedicalNewsToday [diakses pada 11 Februari 2021].