Ketagihan arak adalah satu bentuk penyalahgunaan arak atau alkohol yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal tabiat minumnya. Ketagihan arak ini boleh dikelaskan kepada 3 kategori iaitu ringan, sederhana atau teruk.
Setiap kategori ini mempunyai pelbagai simptom atau gejala yang boleh mendatangkan kesan sampingan yang serius.
Ketagihan arak ini juga turut dikenali dengan istilah alkoholisme. Mereka yang bergelut dengan alkoholisme ini sering kali menganggap bahawa mereka tidak dapat hidup secara normal tanpa arak.
Ketagihan arak ini adalah satu penyakit. Ia boleh menyebabkan kerosakan pada otak dan neurokimia. Oleh itu, mereka yang ketagihan arak ini tidak dapat mengawal tindakan-tindakan mereka.
Ketagihan arak ini berbeza-beza bagi setiap individu, ada yang minum dengan banyak sepanjang hari, ada pula yang minum lewah dan waspada buat seketika. Apapun bentuknya, ketagihan arak ini boleh membawa kesan negatif.
Sekiranya anda, ahli keluarga atau kawan rapat anda mengalami ketagihan arak ini, terdapat banyak pilihan rawatan yang boleh membantu anda mengatasi masalah ketagihan arak ini.
Jangan menyembunyikan ketagihan ini sebaliknya dapatkan rawatan agar anda boleh keluar daripada masalah ketagihan ini.
Gejala atau Simptom-simptom Ketagihan Arak
Ketagihan arak atau alkohol ini ada masanya mudah untuk dikenalpasti dan aada masanya sukar untuk dikenalpasti.
Berbeza dengan dadah, arak atau alkohol ini dijual secara terbuka dan meminumnya tidak menjadi kesalahan dikebanyakkan negara.
Simptom-simptom atau gejala ketagihan arak adalah seperti:
- Tidak dapat mengawal pengambilan arak
- Ketagihan arak apabila tidak minum
- Melebihkan arak daripada tanggungjawab peribadi
- Mempunyai keinginan untuk terus minum dengan lebih banyak
- Menghabiskan banyak wang untuk membeli arak
- Mempunyai perwatakan yang berbeza selepas minum arak
- Bergantung kepada arak untuk menjalani kehidupan seharian
- Hanya ingin berada ditempat yang mempunyai arak dan cuba mengelak daripada tempat yang tiada arak
- Minum pada waktu dan tempat yang tidak sesuai seperti pada awal pagi atau di tempat kerja
- Peningkatan dari segi masalah emosi, kemurungan (depresi) dan juga kelesuan
- Mempunyai masalah ditempat kerja sehingga menyebabkan kehilangan kerja
Sekiranya ketagihan ini dapat dikenalpasti pada peringkat awal, nescaya mereka yang terjebak dengan masalah ini dapat disembuhkan dan dapat mengelak daripada kesan negatif ketagihan ini.
Komplikasi Berkaitan dengan Ketagihan Arak
Selain mendatangkan masalah luaran seperti masalah perhubungan, tempat kerja dan masalah sosial. Ketagihan ini juga boleh menyebabkan penyakit seperti penyakit jantung dan hati. Kedua-dua penyakit ini boleh menyebabkan kematian.
Ketagihan ini juga boleh mendatangkan banyak keburukan atau masalah kesihatan pada jangka masa panjang seperti:
- Mengecutkan otak
- Meningkatkan risiko kanser mulut, kerongkong, hati dan pankreas
- Boleh menyebabkan mati pucuk
- Menyebabkan kelahiran bayi cacat
- Melemahkan tulang
- Meningkatkan risiko jangkitan pada paru-paru
- Masalah penglihatan
- Gangguan kitaran haid
- Keguguran
- Strok
- Nyanyuk
- Gangguan pergerakan
- Menjadi anti-sosial
- Menyebabkan kemalangan
- Menyebabkan hilang pekerjaan
- Masalah rumah tangga
- Masalah pembelajaran (bagi pelajar)
Penyalahgunaan arak ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan jangka pendek seperti:
- Tindak balas perlahan
- Aktiviti otak menurun
- Sukar bernafas
- Kegelisahan
- Sakit kepala
- Gastrik
- Ulser perut dan usus
- Pedih ulu hati
- Cirit-birit
- Murung atau keresahan
- Kemalangan jalan raya
- Masalah di tempat kerja atau sekolah
Pilihan Rawatan
Kejayaan satu-satu rawatan ketagihan arak bergantung kepada kehendak atau keazaman individu yang ingin pulih daripada ketagihannya.
Proses untuk pulih daripada ketagihan ini memerlukan komitmen sepanjang hayat. Kementerian Kesihatan Malaysia ada menggariskan panduan dalam merawat mereka yang mengalami ketagihan alkohol ini.
1. Intervensi
Pesakit yang menghidap ketagihan ini akan disaring mengikut tahap risiko menggunakan borang soalselidik AUDIT-C (Alcohol Use Disorder Identification Test-Consumption). AUDIT-C ini akan membahagikan pesakit kepada 3 kategori berdasarkan tahap risiko iaitu rendah, sederhana dan tinggi.
Tahap Risiko Rendah
Bagi pesakit yang dinilai berada pada tahap risiko rendah, golongan ini akan diberikan pendidikan kesihatan berkenaan kemudaratan arak atau alkohol.
Tahap Risiko Sederhana
Bagi pesakit yang dinilai berada pada tahap risiko sederhana pula, kaedah intervensi yang disarankan ialah nasihat kesihatan. Nasihat kesihatan ini akan menggalakkan pesakit agar berubah daripada corak pengambilan alkohol yang berbahaya kepada pengamalan “sihat tanpa alkohol”.
Tahap Risiko Tinggi
Bagi pesakit yang dinilai berada pada tahap risiko tinggi dengan skor AUDIT-C, 5 atau lebih perlu dinilai dengan AUDIT-10. Melalui penilaian AUDIT-10 ini pula, pesakit yang mempunyai nilai skor kurang daripada 15 akan menjalani nasihat kesihatan dan Kumpulan Sokongan Komuniti (KSK).
Manakala bagi nilai skor AUDIT-10 bersamaan 15 atau melebihi 15, pesakit perlu dirujuk kepada klinik kesihatan.
- Kumpulan Sokongan Komuniti (KSK): Kumpulan Sokongan Komuniti ini adalah kumpulan yang dibentuk oleh komuniti untuk komuniti. KSK ini akan membantu menyebarkan maklumat kesihatan untuk perubahan tingkahlaku berkaitan pengambilan minuman beralkohol. Ahli kumpulan ini memainkan peranan berkongsi pengalaman-pengalaman mereka, memberikan sokongan emosi dan sosial antara satu sama lain.
2. Rujukan ke Klinik Kesihatan
Apabila pesakit dirujuk ke klinik kesihatan, pesakit akan menjalani saringan yang lebih komprehensif yang melibatkan penilaian biopsikososial dan pemeriksaan kesihatan untuk menilai tahap risiko kepada kemudaratan arak ini.
Rawatan sokongan
- Mengurangkan minum minuman beralkohol
- Rawatan tekanan (stres)
- Menghentikan pengambilan arak (alkohol)
- Pendidikan untuk pesakit dan ahli keluarga
Rawatan ubat-ubatan
- Pencegahan jatuh semula (relapse prevention)
- Kesan tarikan sederhana atau teruk
- Masalah fizikal
Rujukan ke hospital untuk detoksifikasi
- Detokfikasi ialah proses rawatan kesan tarikan alkohol yang terancang.
- Detoksifikasi adalah langkah pertama ke arah berhenti mengambil alkohol bagi pesakit yang telah ketagih atau bergantung kepada alkohol.
Rujukan
- Mara Tyler. (2017). Alcohol Addiction. Healthline [diakses pada 24 Mac 2021].
- Carol Galbicsek. (2020). What is alcoholism? Alcohol Rehab Guide [diakses pada 24 Mac 2021].
- Unit Alkohol dan Substans. (2013). Garis Panduan Saringan dan Intervensi Pencegahan dan Pengurangan Kemudaratan Alkohol. Kementerian Kesihatan Malaysia.