Adalah penting untuk kita mengenalpasti tanda-tanda kemurungan supaya kita dapat membantu diri sendiri atau orang terdekat yang memerlukan bantuan. Kini, kemurungan telah dilihat sebagai penyakit yang kian meningkat dan menyebabkan kematian atau bunuh diri.
Dalam artikel ini anda akan mengetahui 10 tanda-tanda kemurungan yang mungkin terjadi kepada pasangan atau rakan-rakan anda. Selain itu, kami turut berkongsi secara ringkas beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala atau simptom kemurungan.
Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu berasa sedih, keletihan, ketiadaan tenaga, cepat marah dan hilang minat dalam aktiviti harian.
Berikut merupakan 10 tanda-tanda kemurungan: [1,2]
1. Rasa Diri Tidak Berguna
Mereka yang mengalami kemurungan akan sentiasa berasa diri mereka tidak berguna. Mereka berasakan bahawa mereka tidak mampu membantu keluarga dan tidak dapat menyumbang apa-apa kepada orang lain. Bahkan meresakan mereka adalah beban kepada orang lain.
Keadaan ini membuatkan penghidap kemurungan terus tertekan.
2. Kesedihan atau Kekosongan Berpanjangan
Gaya hidup dan taraf hidup pada masa kini kadang-kala memaksa seseorang itu terus hidup berseorangan. Keadaan ini sedikit sebanyak membuatnya rasa keseorangan dan bersedih.
Kesedihan dan kekosongan ini jika berterusan akan membawa kepada kemurungan.
3. Cepat Rasa Letih dan Tidak Bertenaga
Mereka yang mengalami kemurungan akan cepat berasa letih dan tidak bertenaga.
Ia adalah kesan sampingan kemurungan. Jika seseorang itu hidup dengan kemurungan yang tidak dirawat, punca keletihan ini boleh menjadi sangat mengelirukan. Seterusnya mereka akan menyalahkan diri sendiri.
4. Perasaan Bersalah
Sentiasa rasa bersalah dan suka menyalahkan diri sendiri juga antara tanda yang boleh dilihat bagi mereka yang menghidap kemurungan.
Kemurungan memperlahankan pertimbangan dan penilaian serta fungsi penyelesaian masalah seseorang itu. Ini menyebabkan seseorang itu berasa bersalah dan berfikiran negatif terhadap dirinya.
5. Perasaan Mudah Berputus Asa
Kemurungan juga boleh menjadikan seseorang itu untuk mudah berputus asa.
Keadaan berputus asa ini seterusnya akan membawa kepada perasaan atau keinginan untuk mati atau bunuh diri.
6. Gangguan Tidur
Insomnia atau sukar untuk tidur, selalu terbangun awal pagi atau terlebih tidur merupakan antara tanda-tanda kemurungan.
Keadaan ini adalah perubahan daripada rutin tidur pada sebelumnya atau asalnya.
7. Rasa Lebih Baik Mati
Apabila berada pada tahap yang membimbangkan, kemurungan boleh membawa perasaan ingin mati kepada penghidapnya.
Mereka akan berasa mati adalah pilihan terbaik kerana putus asa, rasa kekurangan diri dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.
Dalam sesetengah kes, mereka yang mengalami kemurungan akan cuba membunuh diri atau membunuh diri.
8. Kurang Daya Tumpuan dan Ingatan
Sukar fokus dan kurang daya ingatan juga antara tanda-tanda kemurungan.
Tanda ini kebiasaanya berlaku dalam kalangan orang dewasa yang mengalami kemurungan.
9. Kurang Selera Makan
Mereka yang mengalami kemurungan turut hilang selera makan dan boleh membawa kepada kehilangan berat badan.
10. Mudah Cemas atau Fobia
Fobia boleh berlaku disebabkan perasaan takut kepada sesuatu yang mencetusnya. Boleh disebabkan oleh orang sekeliling (seperti dibuli atau dihina) atau keadaan yang menakutkannya seperti ruang gelap atau ruang sempit.
Fobia boleh membawa kepada serangan panik (panic attacks).
Cara Pencegahan Kemurungan
Walaupun pada asasnya, kemurungan boleh dikatakan sukar untuk dicegah kerana sukar untuk mengenalpasti puncanya.
Namun, sekiranya anda pernah mengalami satu episod kemurungan. Anda mungkin lebih bersedia untuk mengelakkan episod masa depan dengan mengubah gaya hidup dan mendapatkan rawatan. Langkah berjaga-jaga atau pencegahan ini penting untuk memastikan episod kemurungan tidak berulang kembali.
Secara ringkasnya, beberapa teknik pencegahan yang boleh dilakukan ialah:
- Bertenang dan sentiasa bersikap positif.
- Hindari daripada tekanan (stres).
- Amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam atau melakukan aktiviti fizikal.
- Ketahui penyakit anda kerana menghidap penyakit-penyakit kronik juga boleh menyumbang kepada kemurungan.
- Patuh kepada ubat-ubatan atau rawatan dan jangan berhenti menerima rawatan sebelum ditentukan oleh doktor.
- Dekatkan diri dengan Allah melalui ibadah seperti solat dan berzikir.
- Banyakkan bacaan Al-Quran untuk mendapatkan ketenangan hati.
- Bina hubungan yang baik dengan orang sekeliling.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang bagi membekalkan nutrien yang mencukupi kepada otak untuk berfungsi dengan baik.
- Mendapatkan tidur yang berkualiti dan mencukupi.
- Jauhi arak dan dadah.
- Bertemu kaunselor atau rakan-rakan yang boleh mendengar luahan perasaan anda.
Rujukan
- National Institute of Mental Health.(2018). Depression. NIMH
- Mayo Clinic Staff. (2018). Depression (Major Depressive Disorder). MayoClinic