Kecelaruan keresahan atau turut dikenali sebagai anxiety disorder adalah keresahan, ketakutan dan kebimbangan yang terlampau tanpa sebarang sebab yang khusus. Walaupun ia satu masalah mental yang sukar namun terdapat cara untuk mengatasi kecelaruan keresahan (anxiety disorder) ini.
Tinjaun Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada tahun 2015 menunjukkan pertambahan sebanyak 10.7% berbanding tahun 1996 bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Tinjauan terhadap pelajar pada tahun 2017 pula menunjukkan 39.7% remaja mengalami keresahan (anxiety).
Statistik ini menunjukkan masalah mental seperti kecelaruan keresahan ini semakin meningkat naik dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, langkah untuk mengatasi masalah ini adalah penting.
Simptom-simptom Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder)
Kecelaruan keresahan atau anxiety disorder ini akan menyebabkan seseorang itu tidak mampu mengawal kerisauan dan berada dalam keadaan lemah dalam tempoh sekitar enam bulan secara berterusan.
Beberapa tanda atau simptom lain yang dapat diperhatikan bagi penghidap kecelaruan keresahan ini termasuklah:
- Rasa gementar dan gelisah.
- Degupan jantung meningkat.
- Bernafas dengan laju.
- Berpeluh.
- Mengigil.
- Rasa penat atau lemah.
- Sukar memberi tumpuan atau berfikir benda lain melainkan kebimbangan.
- Sukar untuk tidur.
- Serangan panik (panic attack)
- Memiliki keinginan untuk mengelakkan perkara-perkara yang mencetuskan kegelisahan.
Bahaya Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder)
Kecelaruan keresahan yang tidak dirawat boleh membawa kepada penyakit atau masalah kesihatan mental yang lebih teruk. Antaranya ialah:
- Kemurungan (kadang kala berlaku bersama-sama kecelaruan keresahan).
- Penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang.
- Sukar untuk tidur (insomnia).
- Sakit kepala.
- Masalah penghadaman.
- Pengasingan daripada orang ramai.
- Masalah ditempat kerja atau sekolah.
- Kehidupan harian yang terganggu.
- Bunuh diri.
Tips & Cara Mengatasi Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder)
Setelah mengetahui simptom-simptom dan bahaya kecelaruan keresahan ini, langkah terbaik ialah mencegah dan merawat gangguan atau kecelaruan ini. Beberapa tips atau cara mengatasi kecelaruan keresahan (anxiety disorder) yang boleh dipraktikkan adalah seperti berikut:
1. Pernafasan Dalam (deep breathing)
Teknik pernafasan dalam ini memerlukan anda menarik dan menghembuskan nafas secara perlahan-lahan.
Teknik ini mudah untuk dilakukan dan boleh dilakukan dimana-mana sahaja. Sekiranya ia diamalkan, penghidap kecelaruan keresahan akan merasakan kesan positif daripada teknik ini.
2. Melakukan Senaman Ringan
Bersiar-siar, berjoging atau melakukan senaman ringan di taman atau padang boleh membantu penghidap keresahan ini.
Senaman boleh meningkatkan penghasilan endorfin dan serotonin yang dapat membuatkan emosi anda berasa lebih baik.
3. Kurangkan Minuman atau Makanan Berkafein
Kurangkan minuman atau makanan seperti kopi, coklat atau coke. Kafein dalam minuman dan makanan ini boleh menyebabkan keresahan anda lebih teruk.
Kafein memberikan kejutan pada sistem saraf yang dapat meningkatkan tenaga. Tetapi ketika dalam tekanan, tenaga ini boleh mencetuskan serangan keresahan.
4. Dapatkan Tidur yang Cukup
Kadang kala kesibukan kerja atau rutin harian menyebabkan anda mempunyai masa yang kurang untuk tidur dan berehat.
Manusia memerlukan tidur untuk berfungsi dengan baik. Kekurangan tidur yang kronik boleh membawa kepada keresahan. Oleh itu, pastikan anda mendapat tidur 8 jam setiap hari.
5. Cuba Berhadapan dengan Ketakutan
Cuba berhadapan dengan situasi atau perkara yang menyebabkan anda berasa takut. Sekiranya anda sentiasa mengelak, anda tidak akan tahu adakah situasi atau perkara itu seburuk seperti yang disangkakan atau sebaliknya.
Maka anda akan gagal untuk mengawal atau mengurangkan keresahan yang dialami. Masalah keresahan akan bertambah parah sekiranya anda berada dalam keadaan ini.
Mendedahkan diri kepada ketakutan yang dialami adalah salah satu cara berkesan untuk mengatasi keresahan yang dialami.
6. Bertindak Berlawanan Gerak Hati
Kecelaruan keresahan adalah masalah yang melibatkan gerak hati yang berlawanan. Sekiranya anda menurut gerak hati ketika anda panik atau dalam keresahan yang teruk, anda kemungkinan akan menyebabkan keresahan ini bertambah teruk.
Menurut Dr. David Carbonell, cara untuk mengatasi kecelaruan keresahan ialah dengan bertindak berlawanan kepada gerak hati.
Contohnya, sekiranya anda sukar untuk bernafas ketika serangan panik, lakukan perkara yang bertentangan iaitu menghembuskan nafas. Anda akan berasa lebih selesa setelah menghembuskan nafas dengan lembut. Cuba bernafas dengan perut berbanding dengan dada.
7. Membaca Al-Quran atau Berzikir
Membaca al-Quran atau berzikir adalah ubat kepada jiwa dan fikiran manusia. Keresahan yang berlaku boleh dirawat dengan selalu membaca al-Quran atau berzikir mengingati Allah. Ayat-ayat suci al-Quran boleh menenangkan jiwa yang tidak tenteram.
Bagi mereka yang belum Islam, amalan keagamaan atau spritual boleh membantu anda untuk menangani keresahan yang dialami.
8. Tulis Apa yang Bermain Difikiran
Tulis apa yang membuatkan anda resah dan bimbang dapat mengurangkan keresahan yang bermain di fikiran anda.
Teknik ini sangat membantu bagi mereka yang mengalami keresahan sekali-sekala atau kecelaruan keresahan menyeluruh ataupun generalized anxiety disorder (GAD).
Rumusan
Kecelaruan keresahan telah menjadi penyakit mental yang biasa dialami kebanyakan masyarakat kini termasuklah rakyat Malaysia. Statistik menunjukkan pertambahan kepada mereka yang mengalami kecelaruan keresahan.
Walaupun kecelaruan keresahan adalah masalah yang sukar namun ia boleh diselesaikan. Beberapa cara mengatasi kecelaruan keresahan yang dinyatakan disini boleh membantu anda mengurangkan atau mengatasi masalah keresahan yang dialami.
Anda juga disarankan untuk mendapatkan rawatan daripada ahli psikoterapi atau kaunselor yang terlatih.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2018). Anxiety Disorders. MayoClinic [diakses pada 23 September 2020].
- Norsyazwana Fatwa. (2017). Kecelaruan berlarutan enam bulan. IKIM [diakses pada 23 September 2020].
- Valencia Higuera. (2020). When in Doubt, Shout It Out! 8 Drug-Free Ways to Battle Anxiety. Healthline [diakses pada 23 September 2020].
- Emmelkamp, P. M. G. (1994). Behavior therapy with adults. In A. E. Bergin & S. L. Garfield (Eds.), Handbook of psychotherapy and behavior change (p. 379–427). John Wiley & Sons.
- David Carbonell. (n.d.) The Key to Overcoming Anxiety, Panic & Worry. ADAA [diakses pada 23 September 2020].