Skizofrenia ialah kecelaruan mental yang serius yang menyebabkan penghidapnya mentafsir realiti secara abnormal. Dalam konteks agama, Islam mengiktiraf akan kewujudan penyakit ini dan terdapat rawatan Islam yang bermanfaat untuk penyakit Skizofrenia ini.
Penyakit ini boleh dirawat dan jika tidak dirawat gejala skizofrenia ini boleh berlarutan dan menjadi lebih parah.
Skizofrenia ini biasanya terjadi atau didiagnosa pada seseorang yang berada pada lewat usia remaja hingga awal usia 30 tahun. Bagi orang lelaki, gejala atau simptom ini cenderung untuk muncul pada lewat usia remaja hingga awal usia 20 tahun.
Manakala bagi wanita pula, simptom-simptom skizofrenia ini muncul pada usia awal 20 tahun hingga awal 30 tahun.
Simptom-simptom berkaitan skizofrenia adalah seperti berikut:
- Dilusi
- Halusinasi
- Percakapan tidak menentu atau cakap merepek (kecelaruan dalam bercakap)
- Gangguan kepada pergerakan
- Sukar untuk memberi tumpuan
- Tidak mempunyai perasaan
- Tidak dapat mengurus diri
Sekiranya ahli keluarga atau rakan terdekat anda menunjukkan simptom-simptom skizofrenia ini dalam masa sebulan, dapatkan rawatan segera daripada pakar psikiatri atau doktor yang bertauliah.
Berikut adalah perkongsian daripada Ustaz Amin (Ustaz Muhamad Bin Abdullah Al-Amin) mengenai pandangan Islam mengenai skizofrenia dan rawatan Islam untuk skizofrenia.
Pandangan Islam Mengenai Skizofrenia
Dari sudut Islam, terdapat 3 perkara atau faktor yang perlu dilihat yang menyebabkan seseorang itu berisiko tinggi untuk terkena penyakit mental ini.
Pertamanya ialah faktor nafsu, keduanya bisikan-bisikan syaitan dan seterusnya faktor genetik atau penyakit diri sendiri.
1. Nafsu
Dari segi nafsu, keinginan seseorang terhadap sesuatu benda boleh menyebabkan mereka mengalami delusi atau bayangan-bayangan yang sehinggakan mereka percaya terhadap sesuatu perkara tersebut.
Delusi yang dicampur dengan bisikan-bisikan syaitan menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mengalami skizofrenia.
Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW terdapat orang (Musailamah al-Khazzab) yang mengaku dirinya sebagai seorang nabi.
2. Bisikan Syaitan
Islam juga menggariskan bahawa penyakit mental ini juga boleh disumbang oleh bisikan atau hasutan syaitan.
Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyebut yang bermaksud:
“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia”
Surah An-Naas: 5
Syaitan akan membisik-bisik ke dalam hati manusia dengan pelbagai bisikan dan salah satu daripadanya boleh menyebabkan seseorang itu mengalami delusi dan halusinasi.
Selain itu, syaitan atau jin juga boleh merasuk manusia dan menyebabkan mereka meracau-racau. Ini termasuklah bagi mereka yang disihir.
3. Faktor Genetik atau Penyakit Diri Sendiri.
Faktor genetik atau keturunan juga boleh meningkatkan risiko seseorang itu terdedah kepada penyakit ini.
Terdapat juga mereka yang dilahirkan dengan masalah kesihatan seperti dilahirkan dengan masalah kekurangan oksigen dalam tisu badan (hipoksia). Kesannya berlaku keabnormalan pada otak bayi tersebut yang kemudiannya meningkatkan risiko berlakunya skizofrenia.
Selain itu, terdapat juga mereka yang mempunyai badan atau diri yang mudah untuk terpengaruh dengan bacaan atau cerita luar yang menyebabkan diri mereka mengalami simptom-simptom skizofrenia.
Rawatan Islam untuk Skizofrenia
Berikut adalah beberapa rawatan Islam untuk penyakit Skizofrenia yang boleh diamalkan.
1. Mengamalkan Doa
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW mengajarkan satu doa iaitu:
Maksudnya: “Ya Allah, sihatkanlah tubuh badanku, Ya Allah, sihatkanlah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku, Tiada Tuhan selain Engkau Ya Allah.”
Banyakkan membaca doa ini sebanyak yang mungkin sambil memegang mata atau telinga.
2. Berzikir dengan Asma Ul Husna
“Ya Zaahir, Ya Baatin“
Minta Allah SWT kurniakan kesihatan yang zahir dan batin kita.
Banyakkan berzikir atau menyebut nama-nama Allah ini.
3. Tidak Menghukum
Jangan menghukum mereka yang mengalami simptom-simptom skizofenia ini sebagai kurang iman atau lemah iman.
Sebaliknya membantu dengan memberi sokongan dengan menjadi pendengar yang baik. Penyakit ini tidak memilih status iman atau status seseorang itu. Malahan, terdapat juga ustaz atau ahli agama yang turut terkena penyakit mental ini.
Tindakan yang terbaik ialah membantu mereka yang mengalami skizofrenia ini dengan sentiasa berada disisi mereka, menjadi pendengar yang baik dan membantu mereka untuk mendapatkan rawatan.
4. Mendapatkan Rawatan Perubatan dan Terapi
Dalam perawatan Islam juga tidak menolak rawatan perubatan moden dan psikoterapi.
Antara ubat-ubatan moden yang digunakan untuk merawat penyakit mental ini adalah seperti:
- Aripiprazole
- Asenapine
- Clozapine
- Lurasidone
- Ziprasidone
Terdapat juga terapi-terapi yang boleh membantu menyokong rawatan yang menggunakan ubat-ubatan. Antaranya adalah:
- Terapi individu (psikoterapi)
- Latihan kemahiran sosial
- Terapi keluarga
Rumusan
Skizofrenia ialah penyakit mental yang melibatkan delusi, halusinasi dan kecelaruan pemikiran yang ekstrem. Menurut pandangan Islam, penyakit ini boleh berpunca disebabkan oleh 3 faktor utama iaitu nafsu, bisikan syaitan dan genetik atau penyakit diri sendiri.
Doa dan zikir adalah antara rawatan dalam Islam yang boleh diamalkan untuk merawat penyakit skizofrenia ini.