Asma adalah penyakit kronik (jangka panjang) yang menjejaskan saluran pernafasan di dalam paru-paru. Saluran pernafasan adalah tiub yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru anda.
Jika anda menghidap asma, saluran pernafasan boleh mengalami keradangan dan menyempit pada masa-masa tertentu. Ini menjadikan udara lebih sukar untuk mengalir keluar dari saluran udara anda apabila anda menghembuskan nafas.
Bagi sesetengah orang, asma adalah gangguan kecil. Manakala bagi yang lain pula, ia boleh menjadi masalah utama yang mengganggu aktiviti harian dan boleh membawa kepada serangan asma yang mengancam nyawa.
Asma tidak mempunyai penawar tetapi gejala-gejala yang dialami boleh dikawal. Oleh sebab asma sering berubah dari semasa ke semasa, adalah penting untuk anda bekerjasama dengan doktor untuk mengesan tanda dan gejala serta mendapatkan rawatan bersesuaian.
Jenis-jenis Asma
Asma boleh berlaku dalam pelbagai cara dan untuk pelbagai sebab, tetapi pencetus selalunya sama. Asma dipecahkan kepada jenis-jenis berdasarkan punca dan keterukan gejala.
Berikut adalah beberapa jenis asma yang biasa berlaku:
1. Asma Kanak-kanak
Asma adalah penyakit kronik yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Asma kanak-kanak ini selalunya bermula sebelum umur 5 tahun dan boleh berlaku semasa bayi. Sesetengah kanak-kanak mungkin berjaya mengatasi asma apabila mereka meningkat dewasa.
2. Asma Dewasa
Asma dewasa atau asma bermula dewasa adalah asma yang terbentuk selepas seseorang itu berumur 18 tahun.
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang itu menghidap asma semasa dewasa. Antaranya adalah:
- Penyakit respiratori
- Alahan atau terdedah kepada alergen
- Faktor hormon
- Obesiti
- Merokok
- Tekanan (stres)
3. Asma Pekerjaan
Asma pekerjaan berlaku akibat daripada terdedah kepada alergen atau bahan iritasi yang ada di tempat kerja.
Kira-kira 1 dalam 6 kes asma dewasa bermula dari tempat kerja.
4. Asma Bermusim
Asma jenis ini berlaku sebagai tindak balas kepada alergen yang hanya ada di persekitaran pada musim tertentu sahaja.
Sebagai contoh, udara sejuk pada musim sejuk atau debunga pada musim bunga atau musim panas boleh mencetuskan gejala asma bermusim.
5. Asma Cetusan Senaman
Asma jenis ini dicetuskan oleh senaman.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda atau gejala asma adalah berbeza-beza dari seorang individu dengan individu yang lain.
Antara tanda-tanda dan gejala yang boleh berlaku adalah:
- Sesak nafas
- Rasa sesak di dada
- Berdehit atau semput
- Sukar untuk tidur akibat batuk atau sesak nafas
- Serangan batuk atau berdehit
Punca-punca yang Menyebabkan Asma
Pakar kesihatan tidak mengetahui dengan tepat apa yang menyebabkan asma, tetapi faktor genetik dan persekitaran kelihatan memainkan peranan penting.
Antaranya adalah:
- Alahan: Menghidap alahan boleh meningkatkan risiko pembentukan asma.
- Faktor persekitaran: Orang ramai boleh menghidap asma selepas terdedah kepada perkara yang merengsakan saluran pernafasan. Bahan-bahan ini termasuk alergen, toksin dan asap rokok.
- Genetik: Jika keluarga anda mempunyai sejarah asma atau penyakit alahan, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit tersebut.
- Jangkitan pernafasan: Jangkitan saluran pernafasan oleh virus atau bakteria boleh mencetuskan asma.
Rawatan
Matlamat rawatan adalah untuk:
- Membantu seseorang bernafas lebih baik.
- Mengurangkan jumlah serangan.
- Meningkatkan bilangan aktiviti yang boleh dilakukan.
Doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat-ubatan seperti:
- Bronkodilator: Ubat-ubatan ini mengendurkan otot di sekeliling saluran pernafasan anda. Otot yang kendur membiarkan saluran udara bergerak. Ia juga membiarkan mukus bergerak dengan lebih mudah melalui saluran udara.
- Ubat antiradang: Ubat-ubatan ini mengurangkan bengkak dan pengeluaran mukus dalam saluran pernafasan anda. Ia memudahkan udara masuk dan keluar dari paru-paru anda.
- Antibiotik: Sekiranya berlaku jangkitan pada saluran pernafasan.
- Ubat alahan: Sekiranya asma yang berlaku dicetusan oleh alahan.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Asthma. Cleveland Clinic
- Brazier, Y. (2023). Types, causes, treatment, and diagnosis of asthma. MedicalNewsToday
- National Heart, Lung, and Blood Institute. What is Asthma?