Asma ialah penyakit yang menyebabkan saluran udara (pernafasan) menjadi sempit, bengkak dan mungkin menghasilkan mukus berlebihan. Tanda dan simptom asma mungkin berbeza-beza bagi setiap individu.
Tanda dan simptom asma yang paling lazim berlaku adalah seperti berdehit, batuk, sesak dada dan juga sesak nafas.
Selain simptom-simptom ini, asma juga boleh menyebabkan perubahan yang ketara terhadap paru-paru dalam jangka masa pendek atau panjang.
Kesannya, simptom-simptom yang berlaku akan menjadi lebih teruk dan kerap.
Bagi sesetengah orang, asma hanyalah gangguan kecil. Manakala bagi sesetengah yang lain pula, asma boleh menjadi satu masalah yang besar yang mengganggu rutin harian dan boleh mengancam nyawa.
Simptom-simptom Paling Lazim Berlaku
Terdapat 4 gejala atau simptom asma yang paling lazim berlaku iaitu:
- Batuk
- Berdehit
- Sesak nafas
- Sesak dada
Batuk
Batuk boleh disebabkan oleh pelbagai punca dan terdapat banyak jenis batuk. Batuk yang berterusan atau batuk yang kerap pada waktu malam atau awal pagi boleh menjadi petanda kepada asma.
Selain itu, batuk ketika bersenam juga boleh menjadi petanda kepada asma.
Berdehit
Berdehit (wheezing) adalah bunyi seperti bersiul atau berciut yang terhasil apabila seseorang bernafas. Berdehit adalah salah satu tanda yang paling lazim bagi penghidap asma.
Selalunya, berdehit ini boleh didengar terutamanya ketika individu tersebut menghembuskan nafas, tetapi boleh juga terjadi ketika menarik nafas.
Berdehit juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, penting untuk mendapatkan diagnosa oleh doktor.
Sesak Nafas
Sesak nafas adalah salah satu simptom asma yang klasik. Mereka yang mengalami sesak nafas ini akan berasa susah untuk bernafas atau tidak berupaya untuk bernafas.
Sesetengah penghidap asma mengalami simptom ini secara tiba-tiba dan ada juga yang mengalaminya secara berkala.
Doktor mengistilahkan sesak nafas ini sebagai dispnea.
Sesak Dada
Sesak dada boleh terjadi bersama-sama sesak nafas atau dengan sendirinya.
Pesakit umumnya akan berasa tidak selesa di dada, rasa seperti udara tidak memasuki paru-paru atau rasa ketat atau tekanan di dada.
Simptom ini boleh menyebabkan keresahan atau kebimbangan kepada pesakit.
Simptom-simptom Asma yang Jarang Berlaku
Tidak semua orang akan mengalami simptom-simptom yang lazim berlaku bagi penghidap asma. Kadang-kadang, terdapat individu yang mengalami simptom-simptom yang jarang berlaku tetapi berkait dengan asma.
Simptom-simptom ini termasuklah:
- Kelesuan
- Sukar untuk tidur
- Keresahan atau kebimbangan
- Bernafas dengan laju
- Batuk yang kronik tanpa berdehit
- Tidak mampu bersenam dengan baik
Kadang-kadang, asama juga boleh dicetuskan oleh jangkitan bakteria atau virus. Contohnya, jangkitan bakteria sinus (sinusitis) mencetuskan simptom-simptom asma.
Tanda atau Simptom Asma dalam Kalangan Kanak-kanak
Bayi dan kanak-kanak adalah golongan yang paling lazim menghidap asma. Menurut satu kajian semula, simptom-simptom asma boleh didiagnosa seawal usia satu tahun tanpa memerlukan ujian fungsi pulmonari (paru-paru) atau teknik yang lain. [1]
Biasanya, kanak-kanak yang menghidap asma akan menunjukkan simptom-simptom sebelum usia 5 tahun.
Tanda atau simptom asma dalam kalangan kanak-kanak tidak jauh berbeza berbanding simptom yang dialami oleh orang dewasa.
Antara tanda-tanda atau gejala yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa adalah:
- Batuk terutamanya waktu malam
- Bunyi berdehit atau bersiul terutamanya ketika menghembuskan nafas
- Sukar bernafas atau bernafas dengan laju sehingga menyebabkan kulit di sekitar tulang rusuk atau leher kelihatan tertarik ke dalam.
- Selesema yang kerap
Anak anda mungkin menunjukkan satu atau beberapa simptom ini. Jika simptom-simptom ini berlaku secara berulang, berkemungkinan besar ia menunjukkan anak anda menghidap asma.
Selain itu, simptom-simptom ini akan menjadi lebih teruk jika anak anda berada dekat dengan pencetus asma seperti asap, asap rokok, bau-bauan yang kuat, debunga, habuk dan lain-lain.
Serangan Asma
Serangan asma adalah keadaan dimana asma yang berlaku menjadi teruk dalam jangka masa yang singkat. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba atau beransur-ansur selama beberapa hari.
Ketika serangan asma berlaku, beberapa tanda yang boleh diperhatikan adalah:
- Bernafas laju
- Denyutan jantung menjadi laju
- Bibir atau jari menjadi biru
- Berdehit, batuk dan sesak dada menjadi teruk dan berterusan
- Menjadi tercungap-cungap atau mengah untuk bercakap, makan atau tidur
- Menjadi mengantuk, keletihan, kekeliruan atau pening
- Pengsan
Rumusan
Terdapat 4 tanda atau simptom yang lazim berlaku bagi mereka yang menghidap asma. Berdehit, batuk, sesak dada dan sesak nafas adalah tanda yang paling lazim berlaku.
Terdapat juga tanda atau simptom yang jarang berlaku tetapi boleh berlaku bagi sesetengah individu. Simptom-simptom ini termasuklah kelesuan, sukar untuk tidur, keresahan, bernafas dengan laju dan batuk kronik.
Tidak kira apa pun tanda atau simptom yang berlaku, adalah penting untuk mendapatkan diagnosa atau pemeriksaan daripada doktor atau ahli professional perubatan.
Hal ini demikian kerana, sesetengah simptom-simptom asma boleh juga berkaitan dengan masalah kesihatan yang lain.
Rujukan
- Moral, L. et al. (2019). Asthma diagnosis in infants and preschool children: a systematic review of clinical guidelines. Allergologia et immunopathologia.
- NHS. (2021). Asthma Symptoms.
- Ambardekar, N. (2020). Asthma Symptoms and Signs. WebMD.
- ACAAI. (n.d.). Asthma in Children.