Asma boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Sesetengah daripadanya lebih lazim berlaku berbanding dengan yang lain.
Mengetahui jenis asma yang anda alami boleh membantu memastikan anda mendapat rawatan yang betul.
Artikel ini menjelaskan kepada anda jenis asma yang paling biasa berlaku, apakah simptom tambahan yang ditimbulkannya, dan punca atau faktor risiko yang berkaitan.

Persamaan antara Jenis-jenis Asma
Asma mempunyai ciri-ciri tertentu yang kekal sama pada kebanyakan jenis iaitu:
- Gejala-gejala Klasik: Berdehit, batuk, sesak nafas, sesak dada atau serangan asma
- Punca atau faktor risiko: Genetik dan persekitaran
- Rawatan: Alat penyedut untuk serangan asma dan mungkin ubat sedutan atau oral setiap hari untuk mencegah gejala.
Walaupun pada asasnya terdapat persamaan antara jenis-jenis asma ini, namun perbezaannya juga harus diambil kira. Ini dapat membantu diagnosis yang tepat.
1. Asma Alergi
Asma alergi adalah sejenis asma yang dicetuskan oleh pendedahan kepada alergen. Orang yang mempunyai rinitis alergi juga boleh didiagnosis dengan asma alergi bermusim.
Pencetus Gejala-gejala
Antara pencetus asma alergi adalah:
- Debunga
- Kulapuk
- Hama habuk
- Bulu atau sisik haiwan
Gejala-gejala Tambahan
Selain gejala-gejala klasik, gejala-gejala tambahan yang boleh berlaku adalah seperti berikut:
- Hidung berair
- Hidung tersumbat
- Bersin
- Gatal tekak
- Mata berair, merah atau gatal
Punca dan Faktor Risiko
Asma alahan dipercayai mempunyai komponen genetik yang berat serta hipersensitiviti dan pendedahan kepada bahan pencetus.
2. Asma Bukan Alergi
Kira-kira 10% hingga 33% daripada semua orang yang menghidap asma mempunyai asma bukan alergi. [1]
Asma bukan alergi ini juga dilaporkan lebih teruk berbanding jenis asma yang lain. Terdapat juga kajian yang mendedahkan bahawa asma jenis ini lebih lazim berlaku kepada perempuan. [2]
Pencetus Gejala-gejala
Gejala-gejala asma bukan alergi boleh mempunyai pelbagai pencetus, ia termasuklah:
- Senaman
- Stres atau tekanan
- Cuaca sejuk
- Kelembapan
- Refluks asid
- Pedih hulu hati
- Jangkitan saluran pernafasan
- Pencemaran, asap atau bahan perengsa dalam udara
Gejala-gejala Tambahan
Asma bukan alergi tidak dikaitkan dengan gejala tambahan.
Punca dan Faktor Risiko
Beberapa punca atau faktor risiko yang boleh membawa kepada asma bukan alergi adalah:
- Jangkitan virus
- Asap rokok atau tembakau
- Keadaan perubatan yang lain
3. Asma Varian Batuk
Batuk kering adalah simptom utama asma varian batuk. Ia mungkin kekal sebagai gejala tunggal atau anda mungkin terus mengalami gejala lain, terutamanya jika ia tidak dirawat dengan secukupnya. [3]
Pencetus Gejala-gejala
Pencetus-pencetus kepada gejala ini adalah ciri-ciri penting yang boleh menjadi petunjuk bahawa anda menghidap asma.
Perhatikan serangan batuk yang menyebabkan anda:
- Terjaga dari tidur
- Batuk selepas bersenam
- Batuk semakin teruk semasa cuaca sejuk dan kering
- Batuk semakin teruk dengan rinitis alergi atau benda lain yang anda mempunyai alahan terhadapnya.
Gejala-gejala Tambahan
Asma varian batuk tidak mempunyai gejala-gejala tambahan.
Punca dan Faktor Risiko
Asma varian batuk mungkin merupakan gejala awal kepada asma. Kanak-kanak lebih kerap mengalaminya berbanding orang dewasa.
Walaupun begitu, hanya kira-kira 30% orang dengan asma varian batuk menghidap asma klasik. [4]
4. Bronkokonstriksi Cetusan Senaman
Bronkokonstriksi cetusan senaman (EIB) dahulunya dikenali sebagai asma cetusan senaman.
Gejala berkembang apabila saluran pernafasan sempit akibat aktiviti fizikal. Sebanyak 90 peratus penghidap asma juga mempunyai EIB, tetapi tidak semua orang yang menghidap EIB menghidap asma.
Pencetus Gejala-gejala
Biasanya, gejala-gejala bermula semasa senaman tetapi mungkin terus menjadi lebih teruk selama 10 hingga 15 minit selepas anda berhenti.
Gejala-gejala biasanya hilang sendiri dalam masa 30 minit. Tetapi lebih selamat bagi anda menggunakan alat penyedut (inhaler) daripada menunggu untuk anda bertambah baik dengan sendirinya.
Selain senaman, beberapa faktor lain boleh mencetuskan gejala-gejala EIB iaitu:
- Cuaca sejuk
- Udara panas
- Pencemaran udara
- Klorin dalam kolam renang
- Debunga yang banyak
- Jangkitan saluran pernafasan
- Bau-bauan seperti minyak wangi, cat atau sabun pencuci
Gejala-gejala Tambahan
EIB boleh mempunyai beberapa gejala tambahan seperti:
- Sakit tekak
- Sakit perut
- Daya tahan berkurangan
Punca dan Faktor Risiko
Jika anda menghidap asma, kerengsaan kecil atau dehidrasi akibat senaman boleh menyebabkan EIB. Dalam kes ini, punca EIB adalah asma.
Bagi orang yang tidak mempunyai asma, pendedahan berulang kali kepada udara sejuk, kering atau perengsa bawaan udara semasa bersenam boleh merosakkan tiub bronkial dan menyebabkan EIB.
5. Asma Pekerjaan
Sesetengah pekerjaan mendedahkan anda kepada bahan yang boleh menyebabkan asma pekerjaan (OA).
Jika anda mempunyai jenis asma yang lain, pendedahan di tempat kerja yang sama ini boleh memburukkan lagi gejala-gejala anda.
Pencetus Gejala-gejala
Lebih daripada 250 bahan dipercayai menyebabkan dan mencetuskan gejala asma pekerjaan. [5]
Lazimnya, gejala-gejala hanya dicetuskan oleh bahan yang kerap anda sentuh. Contohnya seperti:
- Cat
- Getah atau lateks
- Produk pencuci
- Kulapuk
- Haiwan
- Habuk daripada kayu, gandum atau bijirin
- Serangga
- Bahan kiia seperti asid hidroklorik, sulfur dioksida dan ammonia
Gejala-gejala Tambahan
Ramai penghidap asma alergi yang akan mendapat gejala-gejala rinitis pekerjaan sebelum berlakunya gejala-gejala asma pekerjaan.
Gejala-gejala daripada pendedahan berkaitan kerja boleh berlaku serta-merta atau mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang.
Punca dan Faktor Risiko
Pendedahan yang kerap kepada asap, gas, habuk atau perengsa lain menyebabkan OA.
Sama ada secara langsung merosakkan saluran pernafasan anda atau menyebabkan kepekaan kepada bahan yang menjadi pencetus.
Anda berisiko untuk mendapat asma pekerjaan sekiranya bekerja di sektor-sektor berikut:
- Kilang roti
- Kilang kayu
- Kilang detergen
- Kilang ubat
- Ladang
- Makmal terutamanya yang melibatkan haiwan
- Kilang pemprosesan besi
- Kilang plastik
- Kilang tepung
6. Asma Nokturnal
Asma nokturnal atau asma malam biasanya ditambah kepada diagnosis asma yang sedia ada.
Jika anda mempunyai gejala waktu malam, anda mungkin menghidap asma malam, atau mungkin asma anda tidak dikawal dengan baik.
Pencetus Gejala-gejala
Dengan asma nokturnal, anda mungkin mengalami gejala malam beberapa kali seminggu atau setiap malam.
Pencetus gejala asma nokturnal adalah seperti perengsa seperti bulu haiwan peliharaan atau habuk di dalam bilik tidur atau tidur dengan tingkap terbuka.
Gejala-gejala Tambahan
Gejala-gejala asma nokturnal adalah sama dengan gejala-gejala asma klasik. Cuma, ia hanya menjadi lebih menonjol pada waktu malam.
Punca dan Faktor Risiko
Asma nokturnal dipercayai disebabkan oleh perubahan dalam badan anda yang berlaku pada waktu malam.
Ritma sirkadian iaitu jam dalam badan anda, menyumbang kepada asma nokturnal dengan menyebabkan perubahan waktu malam dalam:
- Kawalan otot
- Hiormon
- Keradangan
- Rintangan saluran udara
Rujukan
- Baos, S. et al. (2018). Nonallergic Asthma and Its Severity: Biomarkers for Its Discrimination in Peripheral Samples. Frontiers in immunology.
- Leynaert, B. et al. (2012). Gender differences in prevalence, diagnosis and incidence of allergic and non-allergic asthma: a population-based cohort. Thorax.
- Niimi A. (2011). Cough and Asthma. Current respiratory medicine reviews.
- Magni, C. (2010). Cough variant asthma and atopic cough. Multidiscip Respir Med