Apa itu Batuk Kering?
Batuk kering adalah batuk yang tidak menghasilkan kahak atau mukus. Batuk kering boleh menyebabkan rasa menggeletek dan selalunya disebabkan oleh kerengsaan di tekak.
Batuk kering turut juga dikenali sebagai batuk tidak produktif.
Secara umumnya,terdapat dua jenis batuk iaitu produktif dan tidak produktif. Batuk produktif menghasilkan kahak atau mukus, mengeluarkannya dari paru-paru. Manakala, batuk tidak produktif pula tidak menghasilkan kahak atau mukus.
Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan batuk kering, sama ada akibat alahan mahupun akibat refluks asid.
Tanpa mengira puncanya, batuk kering yang berterusan boleh memberi kesan serius kepada kehidupan seharian anda, terutamanya jika ia lebih teruk pada waktu malam.
Anda disarankan untuk mendapatkan rawatan atau melakukan petua-petua atau rawatan di rumah bagi membantu mengurangkan batuk ini daripada mengganggu aktiviti harian anda.
Punca-punca yang Menyebabkan Batuk Kering
Jangkitan virus atau bakteria, penyakit atau faktor-faktor lain boleh menjadi punca kepada batuk kering.
1. Covid-19, SARS atau MERS
Covid-19, SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk) atau MERS (Sindrom Pernafasan Timur Tengah) adalah penyakit-penyakit yang disebabkan oleh jangkitan daripada virus corona.
Penyakit-penyakit ini boleh menyebabkan gejala seperti batuk kering.
Antara gejala-gejala lain yang mungkin turut berlaku adalah:
- Demam
- Kelesuan
- Sakit tekak
- Hidung tersumbat atau berair
- Perubahan deria rasa dan bau
2. Asma
Asma juga boleh menjadi punca yang menyebabkan batuk kering. Batuk berkaitan asma boleh menjadi produktif atau tidak produktif. Namun, batuk tidak produktif lebih dominan.
Terdapat sejenis asma yang dikenali sebagai asma varian batuk yang melibatkan batuk kering yang kronik sebagai gejala utamanya.
Antara gejala-gejala lain asma adalah:
- Berdehit
- Sesak nafas
- Sakit dada
- Sukar tidur akibat batuk dan berdehit
3. Titis Postnasal
Titis postnasal adalah apabila mukus dari hidung dan sinus menitis ke bahagian belakang tekak.
Apabila mukus menitis ke dalam tekak, ia boleh mencetuskan batuk. Walaupun batuk ini selalunya produktif, kadangkala ia juga boleh menjadi kering.
Keadaan ini bergantung kepada berapa banyak lendir yang ada dan berapa cepat ia mengalir.
Antara gejala-gejala lain yang boleh turut berlaku adalah:
- Hidung berair
- Sakit tekak
- Berasa seperti ada sesuatu di belakang tekak
4. Penyakit Refluks Gastroesofagus (GERD)
Penyakit refluks gastroesofagus atau GERD ialah keadaan dimana asid bocor daripada perut memasuki esofagus iaitu saluran makanan.
GERD boleh menyebabkan batuk kering yang kronik. Selain itu, GERD juga boleh mengakibatkan gejala-gejala lain seperti:
- Pedih hulu hati
- Sakit dada
- Regurgitasi makanan
- Sakit tekak kronik
- Sukar menelan
5. Jangkitan Virus
Apabila anda dijangkiti virus yang menyebabkan selesema, gejala jangka pendek biasanya berlangsung kurang daripada seminggu.
Walau bagaimanapun, kadang-kadang gejala seperti batuk boleh berlarutan lama selepas gejala anda yang lain bertambah baik.
Batuk selepas selsema ini biasanya kering dan boleh bertahan sehingga 2 bulan. Ia biasanya disebabkan oleh kerengsaan pada saluran pernafasan anda, yang selalunya terlalu sensitif selepas jangkitan virus.
6. Fibrosis Pulmonari Idiopatik
Fibrosis pulmonari idiopatik adalah keadaan di mana tisu berparut berkembang di dalam paru-paru. Apabila tisu berparut menebal, ia menjadikan pernafasan menjadi semakin sukar.
Istilah idiopatik bermaksud doktor tidak mengetahui dengan tepat apa yang menyebabkan keadaan tersebut.
Salah satu gejala yang lazim bagi fibrosis pulmonari idiopatik ini adalah batuk kering yang berpanjangan.
Selain itu, gejala-gejala lain yang turut berlaku adalah:
- Sesak nafas
- Kelesuan
- Hilang selera makan
- Perubahan bentuk kuku
7. Kanser Paru-paru
Batuk kering ynag berpanjangan boleh menjadi tanda kepada kanser paru-paru. Namun, punca-punca lain adalah lebih biasa.
Gejala-gejala kanser paru-paru adalah:
- Batuk berdarah
- Kahak yang mengandungi darah
- Sakit dada yang semakin teruk apabila bernafas atau batuk
- Sesak nafas
- Kelesuan
- Kehilangan berat badan
8. Punca-punca lain
Punca-punca lain yang boleh menyebabkan batuk kering adalah:
- Asap rokok
- Terdedah kepada udara tercemar seperti habuk, asap kenderaan, bahan kimia
- Alahan
- Batuk kokol
- Ubat tekanan darah tinggi (perencat ACE)
- Pengecutan paru-paru (pneumotoraks)
- Kegagalan jantung
Diagnosis
Untuk mendiagnosis punca batuk kering, doktor biasanya akan memulakan dengan bertanya tentang gejala dan sejarah perubatan seseorang.
Mereka kemudian akan melakukan pemeriksaan fizikal dan mungkin mengarahkan ujian-ujian berikut:
- Ujian pengimejan: Contohnya seperti sinaran-X atau imbasan tomografi berkomputer (CT scan)
- Spirometri: Ujian ini melibatkan pernafasan ke dalam peranti plastik untuk memeriksa fugnsi paru-paru seseorang.
- Endoskopi: Pemeriksaan rongga sesuatu organ dengan menggunakan endoskop iaitu tiub yang panjang dan nipis dengan kamera dan cahaya di hujungnya.
Rawatan
Rawatan batuk kering bergantung kepada punca yang menyebabkan batuk tersebut. Rawatan terhadap punca adalah kaedah terbaik untuk mengurangkan kekerapan dan keterukan batuk yang dialami.
Beberapa rawatan ringkas atau rawatan di rumah yang boleh dilakukan sebelum mendapatkan rawatan di hospital adalah seperti berikut:
- Hisap gula-gula lozeng.
- Makan tahan sakit seperti paracetamol (penadol/uphamol).
- Makan ubat batuk yang mengandungi dextromethorphan.
- Makan madu untuk melegakan tisu-tisu tekak.
- Minum air secukupnya untuk kekal terhidrat.
- Tidur dengan bahagian atas badan ditinggikan sedikit (6-8 inci) bagi mengurangkan gejala-gejala titis postnasal dan GERD.
Bagaimana Mencegah Batuk Kering?
Untuk membantu mengelakkan batuk kering, minum banyak air untuk membantu mengekalkan kelembapan tekak.
Selain itu, anda juga boleh melakukan langkah-langkah berikut untuk mencegah batuk ini daripada berlaku:
- Jangan merokok dan elakkan daripada terdedah kepada asap rokok.
- Elakkan terdedah kepada pencemaran alam sekitar seperti debu atau asap kenderaan.
- Gunakan alat pelembap udara.
- Elakkan pencetus asma.
- Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan.
- Elakkan makanan yang berasid dan tinggi lemak bagi pesakit GERD.
- Jauhi orang yang telah dijangkiti seperti selesema, COVID-19, SARS atau MERS.
- Budayakana amalan membasuh tangan.
Rujukan
- Mahashur A. (2015). Chronic dry cough: Diagnostic and management approaches. Lung India.
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. Treatment for GER & GERD.
- Osborn, C.O & Goldman, L. (2023). Dry Cough: What Causes It and How Do You Treat One? Healthline.