Asma kanak-kanak ialah sejenis penyakit saluran pernafasan yang serius yang boleh menyebabkan penghidapnya mengalami kesukaran bernafas, batuk, berdehit dan lain-lain lagi.
Akibat terjejas dengan penyakit ini, ramai kanak-kanak yang ketinggalan sesi persekolahan dan bagi kes-kes yang teruk ia boleh membawa kepada kematian.
Apa itu Asma Kanak-kanak?
Asma kanak-kanak adalah penyakit paru-paru yang kronik. Asma boleh terbentuk pada mana-mana peringkat usia tetapi lazimnya bermula pada zaman kanak-kanak.
Asma berlaku apabila saluran pernafasan mengalami keradangan dan menyempit menyebabkan halangan terhadap bekalan udara.
Ini mengakibatkan gejala-gejala seperti berdehit (semput), batuk, sesak dada, dan sesak nafas yang berkaitan dengan asma.
Gejala-gejala ini boleh mengganggu aktiviti harian seperti bermain, bersukan, bersekolah atau tidur. Bagi sesetengah kanak-kanak, asma yang tidak diuruskan boleh menyebabkan serangan asma yang berbahaya.
Punca-punca
Penyelidik masih tidak pasti tentang punca sebenar asma, tetapi kedua-dua faktor genetik dan persekitaran nampaknya memainkan peranan penting.
Apabila kanak-kanak menghidap asma, paru-paru mereka lebih sensitif terhadap pencetus tertentu. Apabila paru-paru mereka berinteraksi dengan pencetus, ia menyebabkan saluran pernafasan paru-paru membengkak, otot yang mengelilingi saluran pernafasan menjadi tegang, dan rembesan mukus dalam paru-paru meningkat.
Tindak balas terhadap pencetus ini menyebabkan kesukaran bernafas dan gejala-gejala asma yang lain. Apabila tindak balas kepada pencetus ini teruk, ia boleh mengakibatkan serangan asma.
Antara pencetus yang lazim menyebabkan asma bagi kanak-kanak adalah:
- Alergen daripada persekitaran atau makanan seperti debunga, kulapuk, atau hama habuk.
- Selesema atau jangkitan pernafasan.
- Pencemaran udara.
- Asap rokok termasuklah vape atau shisha.
- Perubahan susu yang mendadak atau terdedah kepada suhu sejuk.
- Senaman.
- Tertekan atau teruja.
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan potensi untuk anak anda menghidap asma iaitu:
- Terdedah kepada asap rokok walaupun sebelum lahir.
- Pernah mengalami tindak balas alahan seperti rinitis alergi.
- Keturunan atau sejarah keluarga yang menghidap alahan dan asma.
- Tinggal di tempat yang tinggi dengan pencemaran.
- Obesiti.
- Mempunyai penyakit berkaitan pernafasan seperti pneumonia.
- Menghidap penyakit GERD.
- Lelaki.
Tanda-tanda dan Gejala Asma Kanak-kanak
Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap asma akan menunjukkan gejala-gejala sebelum mereka berumur 5 tahun.
Antara tanda-tanda dan gejala asma kanak-kanak adalah:
- Berdehit apabila bernafas.
- Kesukaran bernafas.
- Sesak dada.
- Batuk yang kerap terutamanya ketika tidur, bersenam, mengalami jangkitan virus atau berada di kawasan berudara sejuk.
Selain itu, kanak-kanak yang menghidap asma ini juga boleh mengalami:
- Sukar untuk tidur akibat sesak nafas, batuk atau berdehit.
- Sukar bernafas yang menghalang bermain atau bersenam.
- Kelesuan akibat tidak cukup tidur.
- Kelewatan pemulihan atau bronkitis selepas jangkitan pernafasan.
- Serangan batuk atau semput yang menjadi lebih teruk dengan selesema.
Gejala-gejala asma berbeza-beza bagi seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain dan mungkin menjadi lebih teruk atau lebih baik dari semasa ke semasa.
Rawatan dan Pengurusan
Anak anda boleh mengawal asma mereka dan mengelakkan potensi serangan asma dengan mengambil ubat dan mengelakkan sebarang pencetus.
Biasanya, doktor akan menetapkan dua jenis ubat asma iaitu satu untuk kelegaan segera dan satu untuk kawalan jangka panjang.
Ubat Kelegaan Pantas
Ubat kelegaan pantas membuka saluran pernafasan yang bengkak. Ia juga dipanggil ubat penyelamat, ubat kelegaan pantas digunakan untuk melegakan gejala-gejala jangka pendek dengan cepat semasa serangan asma.
Antara contoh ubat kelegaan pantas adalah:
- Short-acting beta agonists: Ubat yang disedut ini boleh meredakan gejala-gejala dengan cepat semasa serangan asma.
- Kortikosteroid oral atau intravena: Ubat-ubatan ini melegakan keradangan saluran pernafasan yang disebabkan oleh asma yang teruk.
Ubat Kawalan Jangka Panjang
Ubat pencegahan dan kawalan jangka panjang mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan yang membawa kepada gejala. Dalam kebanyakan kes, ubat-ubatan ini perlu diambil setiap hari.
Beberapa jenis ubat kawalan jangka panjang adalah:
- Kortikosteroid sedutan
- Pengubah suai Leukotriene
- Alat sedut gabungan
- Theophylline
- Immunomodulatory agent
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2023). Childhood Asthma. MayoClinic
- Brown, L.M. (2021). What to know about childhood asthma. MedicalNewsToday.