Bronkitis ialah keradangan pada tiub bronkus iaitu tiub yang membawa udara ke paru-paru. Bronkitis boleh berlaku sama ada akut atau kronik. Bronkitis akut ialah keradangan sementara pada saluran udara yang boleh menyebabkan batuk dan mukus.
Bronkitis akut biasanya boleh pulih dalam masa kurang daripada 3 minggu. Bronkitis jenis ini adalah yang paling lazim terjadi.
Bronkitis akut terjadi apabila saluran udara ke paru-paru membengkak dan menghasilkan mukus di dalam paru-paru.
Simptom-simptom
Simptom-simptom atau tanda bagi bronkitis akut adalah:
- Batuk
- Penghasilan mukus (kahak)
- Sesak nafas
- Keletihan
- Ketidakselesaan di dada
- Demam ringan dan menggigil
- Sakit kepala ringan
- Sakit badan yang ringan
- Sakit tekak
Beberapa simptom biasanya akan pulih selepas kira-kira seminggu tetapi batuk mungkin berkekalan lebih lama (lebih beberapa minggu).
Punca
Bronkitis akut lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus. Ia biasanya disebabkan oleh virus yang sama yang menyebabkan demam selesema.
Bronkitis jenis ini juga boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria atau agen-agen lain yang disedut. Contohnya seperti habuk, alergen, asap daripada bahan kimia atau asap rokok.
Faktor risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko seseorang terhadap bronkitis iaitu:
- Asap rokok: Perokok atau perokok pasif berisiko untuk mengalami bronkitis.
- Terdedah kepada bahan iritasi semasa berkerja: Sekiranya anda berkerja di kawasan yang mempunyai bahan iritasi seperti bijirin, tekstil atau asap bahan kimia. anda berisiko tinggi untuk mengalami bronkitis jenis ini.
- Ketahanan badan yang rendah: Sistem pertahanan badan yang rendah memudahkan diri anda untuk dijangkiti. Golongan berusia, bayi dan kanak-kanak adalah golongan yang mudah dijangkiti.
- Refluks gastrik: Serangan pedih ulu hati yang teruk berulang kali boleh merengsakan tekak anda dan menjadikan anda lebih terdedah kepada bronkitis.
- Tinggal di kawasan kotor: Tinggal di kawasan yang banyak dengan habuk atau bahan iritasi meningkatkan risiko kepada bronkitis.
Rawatan
Bronkitis akut biasanya ringan dan tidak menyebabkan komplikasi. Simptom-simptom yang berlaku kebanyakannya pulih dengan sendiri dan fungsi paru-paru kembali seperti biasa.
Rata-ratanya, antibiotik tidak diperlukan untuk merawat bronkitis akut kerana jangkitan yang berlaku adalah disebabkan oleh virus. Antibiotik tidak berkesan terhadap virus.
Walau bagaimanapun, sekiranya bronkitis ini memburuk menjadi pneumonia atau batuk kokol (pertusis), doktor mungkin akan mempreskripsi ubat antibiotik yang bersesuaian.
Petua untuk pulih
Berikut adalah beberapa petua atau cara yang boleh dilakukan untuk anda berasa lebih baik sementara badan melawan jangkitan:
- Banyakkan berehat.
- Minum banyak air kosong.
- Gunakan pelembap udara yang bersih.
- Gunakan semburan atau titisan hidung untuk melegakan hidung tersumbat.
- Bernafas di atas wap air panas.
- Menghisap gula-gula lozeng.
- Makan madu untuk melegakan batuk atau sakit tekak.
- Berhenti merokok
Elakkan penggunaan ubat antihistamin kerana ia boleh mengeringkan rembesan dan memburukkan lagi batuk.
Komplikasi
Komplikasi biasanya jarang-jarang berlaku. Sekiranya berlaku, ia boleh menyebabkan bronkitis kronik atau pneumonia.
Sekiranya komplikasi ini terjadi, rawatan berbeza mungkin diperlukan.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Chest Cold (Acute Bronchitis).
- John Hopkins Medicine. Acute Bronchitis.
- Mayo Clinic Staff. (2017). Bronchitis. MayoClinic
- Singh A, Avula A, Zahn E. [Updated 2021 Jul 26]. Acute Bronchitis. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.