Situasi berkongsi antibiotik ini mungkin banyak berlaku sama ada antara ahli keluarga atau rakan-rakan. Mungkin ramai yang ingin mengambil jalan mudah kerana tidak mahu ke klinik atau hospital atas pelbagai alasan.
Tetapi bolehkah berkongsi antibiotik yang tidak dipreskripsikan kepada anda? Jawapannya adalah TIDAK BOLEH.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengapa anda tidak sepatutnya mengambil ubat antibiotik yang tidak dipreskripsikan kepada anda dan kesan-kesannya.
1. Anda Mungkin Tidak Memerlukan Antibiotik
Membuat tafsiran sendiri mengenai kesakitan yang dialami mungkin boleh membahayakan diri sendiri. Anda mungkin berpendapat bahawa penyakit yang anda alami sama seperti yang dialami oleh orang terdekat dengan anda.
Maka, anda berpendapat memakan ubat antibiotik milik ahli keluarga atau rakan akan menyelesaikan masalah kesihatan yang anda alami. Tanggapan seperti ini adalah berbahaya kepada diri anda sendiri.
Perlu diketahui bahawa tidak semua jangkitan yang dialami disebabkan oleh bakteria. Banyak juga jangkitan di telinga, sakit tekak dan jangkitan paru-paru seperti bronkitis disebabkan oleh virus. Antibiotik tidak membunuh virus. [1, 2]
Oleh itu, mengambil antibiotik yang bukan milik anda tidak akan membantu anda dan meningkatkan risiko terhadap rintangan antibiotik. [3]
Rintangan antibiotik ialah keadaan di mana kuman seperti bakteria dan kulat membentuk keupayaan untuk mengalahkan ubat antibiotik yang dihasilkan untuk mereka. Ini bermakna kuman ini tidak mati dan terus membiak.
Hanya doktor atau ahli profesional kesihatan boleh menentukan sama ada penyakit atau jangkitan yang dihadapi oleh anda disebabkan oleh bakteria. Sekiranya doktor yang memeriksa anda berasakan anda memerlukan antibiotik, maka doktor akan menetapkan antibiotik buat anda.
Jika penilaian mereka tidak menunjukkan keperluan kepada antibiotik, anda mungkin tidak diberikan antibiotik.
2. Jumlahnya Tidak Mencukupi
Sebab yang seterusnya mengapa anda tidak sepatutnya berkongsi antibiotik dengan orang lain adalah jumlah yang berbaki tidak mencukupi untuk merawat jangkitan yang anda alami.
Walaupun rakan atau ahli keluarga anda mempunyai antibiotik yang sama seperti yang anda perlukan untuk jangkitan yang dialami, anda masih tidak boleh mengambil antibiotik peninggalan rakan atau ahli keluarga kerana ia tidak mencukupi.
Jika seseorang berhenti mengambil antibiotik apabila mereka berasa lebih baik berbanding mengambil keseluruhan jumlah antibiotik yang ditetapkan, mereka mungkin mempunyai lebihan ubat tersebut.
Mengambil antibiotik kurang daripada jumlah penuh yang ditetapkan bermakna anda mungkin tidak merawat sepenuhnya jangkitan, keadaan ini meningkatkan kemungkinan bakteria membina daya tahan terhadap antibiotik tersebut.
3. Anda Mungkin Memerlukan Antibiotik yang Lain
Tidak semua antibiotik adalah sama. Tidak semua antibiotik ini membunuh kuman yang sama. Setiap antibiotik dihasilkan untuk merawat jangkitan oleh kuman atau bakteria tertentu.
Sekiranya bakteria yang menyebab penyakit telah dikenal pasti, doktor boleh menentukan antibiotik yang terbaik untuk merawatnya. Walaupun mereka tidak mengetahui jenis bakteria yang tepat, doktor dilatih cara mengetahui antibiotik yang paling sesuai untuk jangkitan tertentu.
Justeru itu, antibiotik yang dimiliki oleh ahli keluarga atau rakan anda itu berkemungkinan besar bukan yang anda perlukan untuk merawat jangkitan yang berlaku.
Walaupun ia betul-betul sama, anda mungkin memerlukan dos yang berbeza dan diambil pada kekerapan yang berbeza.
4. Boleh Membahayakan Kesihatan
Sekiranya anda turut mengambil ubat-ubat lain, suplemen herba atau mempunyai penyakit kronik, anda tidak sepatutnya mengambil ubat tambahan terutamanya ubat preskripsi seperti antibiotik tanpa nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
Ini bagi mengelakkan interaksi dengan ubat-ubatan lain yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya.
Rumusan
Melalui artikel ini dapat diketahui terdapat banyak sebab mengapa anda tidak sepatutnya berkongsi antibiotik dengan orang lain. Sekiranya anda jatuh sakit dan anda berasa ia disebabkan jangkitan, ambillah masa untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang tepat.
Rujukan
- Tanz R. R. (2018). Sore Throat. Nelson Pediatric Symptom-Based Diagnosis.
- Worrall G. (2008). Acute bronchitis. Canadian family physician Medecin de famille canadien.
- Ventola C. L. (2015). The antibiotic resistance crisis: part 1: causes and threats. P & T : a peer-reviewed journal for formulary management.