Sekiranya anda tertanya-tanya adakah asma boleh berlaku kepada orang dewasa, jawapannya adalah Ya. Ia dikenali sebagai asma dewasa atau asma mula dewasa.
Asma dewasa ialah asma yang terbentuk semasa usia dewasa. Kebiasaannya, ramai orang yang menghidap asma semasa zaman kanak-kanak walaupun ia boleh berlaku pada sebarang usia.
Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang membawa kepada masalah pernafasan. Ia menyebabkan penyempitan dan keradangan saluran pernafasan dan peningkatan pengeluaran lendir (mukus).

Artikel ini memberikan gambaran keseluruhan asma dewasa, termasuklah gejala-gejala, kemungkinan penyebab dan rawatannya.
Apa itu Asma Dewasa?
Apabila seseorang yang berusia 20 tahun ke atas didiagnosis menghidap asma, ia dikenali sebagai asma dewasa atau asma mula dewasa.
Terdapat beberapa golongan yang cenderung untuk mengalami asma dewasa seperti:
- Wanita yang mengalami perubahan hormon seperti hamil atau menopaus.
- Wanita yang mengambil estrogen selepas menopaus selama 10 tahun atau lebih.
- Individu yang dijangkiti virus seperti demam selesema.
- Individu yang alahan atau alergi.
- Individu yang menghidap GERD.
- Individu yang terdedah kepada perengsa persekitaran seperti asap rokok, habuk, kulapuk atau minyak wangi.
Perengsa yang menyebabkan gejala-gejala asma dikenali sebagai ‘pencetus asma’ manakala asma yang disebabkan oleh pencetus di tempat kerja dikenali sebagai ‘asma pekerjaan.’
Gejala-gejala Asma Dewasa
Sama seperti asma kanak-kanak, gejala-gejala bagi asma dewasa adalah seperti berikut:
- Berdehit atau semput
- Batuk yang kerap terutamanya pada waktu malam, bersenam atau ketawa
- Sesak nafas
- Rasa sesak di dada
- Selesema yang berlarutan
Perbezaan Antara Asma Kanak-kanak dan Asma Dewasa
Asma kanak-kanak dan dewasa mempunyai beberapa persamaan seperti gejala dan rawatan, tetapi terdapat juga perbezaan.
Keterukan gejala-gejala boleh berbeza-beza pada kanak-kanak dan orang dewasa.
Asma yang berlaku pada zaman kanak-kanak selalunya melibatkan gejala-gejala yang datang dan pergi. Bagi asma dewasa, gejala-gejala lebih berkemungkinan berterusan dan kurang terkawal.
Orang dewasa yang menghidap asma mungkin mengalami penurunan fungsi paru-paru yang lebih cepat daripada kanak-kanak. Orang dewasa terutamanya pada usia pertengahan mungkin mengalami kekejangan dinding dada yang boleh menyukarkan asma ini dirawat.
Punca
Doktor tidak pasti mengapa asma berkembang pada sesetengah orang dewasa, tetapi faktor tertentu seperti pendedahan kepada bahan kimia atau perengsa di tempat kerja, boleh menyebabkan asma dewasa.
Selain itu, alahan juga boleh menjadi penyebab kepada asma dewasa. Terdapat pelbagai alergen yang boleh mencetuskan gejala-gejala asma.
Antaranya adalah:
- Asap rokok
- Bahan kimia
- Habuk
- Debunga
- Kulapuk
Diagnosis
Adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat untuk mencipta pelan rawatan yang paling berkesan.
Doktor boleh mendiagnosis asma dewasa melalui:
- Pemeriksaan fizikal
- Sejarah perubatan
- Melakukan ujian fungsi paru-paru menggunakan alat yang dipanggil spirometer. Ujian ini mengukur berapa banyak udara anda boleh sedut dan hembus.
- Ujian alahan kerana asma alergi juga lazim berlaku dalam kalangan orang dewasa.
Rawatan
Anda boleh merawat asma dewasa dengan gabungan perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan. Setiap orang mempunyai pelan rawatan mereka sendiri untuk asma.
Menggunakan ubat asma dengan betul seperti yang ditetapkan oleh doktor anda adalah asas kawalan asma yang baik, selain mengelakkan pencetus dan memantau gejala-gejala asma harian.
Ubat-ubatan
Terdapat 2 jenis ubat asma yang utama iaitu:
- Antiradang: Ini adalah jenis ubat yang paling penting untuk kebanyakan penghidap asma. Ubat antiradang seperti steroid yang disedut, mengurangkan bengkak dan pengeluaran lendir di saluran pernafasan.
- Bronchodilators: Ubat-ubatan ini melegakan jalur otot yang mengetat di sekitar saluran pernafasan. Tindakan ini membuka saluran pernafasan dengan cepat, membiarkan lebih banyak udara masuk dan keluar dari paru-paru dan meningkatkan pernafasan.
Ubat asma boleh diambil dengan menyedut ubat (menggunakan penyedut atau nebulizer asma) atau dengan menelan ubat oral (pil atau cecair).
Berhenti Merokok
Salah satu faktor terpenting yang mempengaruhi keterukan asma adalah merokok.
Satu kajian yang melihat faktor-faktor yang mempengaruhi keterukan asma dalam 200 orang dewasa dengan serangan asma dewasa yang baru mendapati merokok meningkatkan keterukan asma.
Rujukan
- WebMD Editorial Contributors. (2022). Adult-Onset Asthma. WebMD.