Ubat kencing manis daripada sumber semulajadi adalah satu bentuk perubatan alternatif dan komplemantari bagi penyakit kencing manis atau diabetes. Sumber semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan herba sebenarnya turut mempunyai khasiat yang berguna dalam membantu mencegah dan merawat penyakit kencing manis ini.
Masyarakat terdahulu banyak menggunakan tumbuhan herba dalam merawat pelbagai penyakit oleh kerana akses yang terhad kepada ubat moden. Kini, perubatan alternatif dan komplementari ini turut manarik perhatian pengamal perubatan moden dan juga pesakit kencing manis.
Penyakit kencing manis atau diabetes adalah antara penyakit kronik yang paling tinggi dihidapi oleh rakyat di negara ini.

Laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019 menunjukkan berlaku peningkatan dari segi peratusan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes iaitu 13.4% pada tahun 2015 kepada 18.3% pada tahun 2019.
Dianggarkan seramai 3.9 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis.
Artikel kali ini akan menyenaraikan ubat kencing manis atau tumbuhan herba yang bersifat antidiabetes yang bermanfaat untuk penghidap kencing manis.
Berikut adalah beberapa tumbuhan herba yang boleh dijadikan sebagai ubat kencing manis sebagai rawatan alternatif dan komplementari. Tumbuhan-tumbuhan ini boleh didapati di Malaysia atau rantau Asia Tenggara.
1. Buah Mengkudu
Buah mengkudu adalah buah daripada pokok mengkudu atau nama saintifiknya Morinda citrifolia. Buah ini telah lama digunakan dalam perubatan tradisional dalam kalangan masyarakat Melayu.
Buah mengkudu ini boleh dimanfaatkan dengan memakan buah ini atau dibuat jus.
Kajian kecil terhadap 20 orang pesakit kencing manis (diabetes jenis 2) menggunakan jus buah mengkudu mendapati berlaku penurunan paras gula dalam darah pada waktu pagi. Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit yang tidak bertindak balas dengan jus buah mengkudu ini.
Selain itu, paras insulin juga meningkat bagi mereka yang mempunyai paras insulin yang rendah pada awal kajian. Tetapi, bagi mereka yang telah mempunyai paras insulin yang tinggi, tiada perubahan diperhatikan. [1]
Terdapat juga laporan kajian yang mendapati pengambilan jus buah mengkudu dalam tempoh masa yang singkat boleh menurunkan paras gula dalam darah secara sederhana. [2]
2. Daun Pegaga
Daun pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica telah digunakan sejak beratus tahun dahulu dalam perubatan tradisional. Masyarakat Melayu juga menjadikan daun pegaga sebagai ulam. Daun pegaga mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan termasuklah untuk penyakit kencing manis.
Kajian terhadap haiwan yang diterbitkan pada tahun 2009 mendapati ekstrak daun pegaga menunjukkan tumbuhan herba ini boleh menurunkan paras gula dalam darah. [3]
Kajian makmal yang diterbitkan pada tahun 2014 juga turut mendapati daun pegaga mempunyai ciri-ciri antidiabetes melalui perencatan enzim-enzim berkaitan dengan penukaran karbohidrat kepada gula ringkas atau glukosa. [4]
Walau bagaimanapun, kajian semula oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2014 yang melibatkan 11 kajian melaporkan bahawa buat masa ini kajian yang berkaitan dengan daun pegaga tidak menunjukkan kesan penurunan paras gula dalam darah yang ketara bagi manusia. [5]
3. Halba
Halba atau nama saintifiknya Trigonella foenum-graecum adalah sejenis herba yang turut bermanfaat untuk penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian yang dijalankan terhadap 25 orang pesakit diabetes jenis 2 melaporkan bahawa pengambilan ekstrak halba boleh menurunkan paras gula dalam darah dan pengurangan terhadap rintangan insulin. Selain itu, halba juga turut membantu meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) dan menurunkan paras lemak (trigliserida). [6]
Kajian lain yang melibatkan 24 orang pesakit diabetes jenis 2 turut melaporkan bahawa halba mempunyai kesan positif terhadap paras gula dalam darah. Pengambilan 10 gram halba yang direndam ke dalam air panas setiap hari boleh menurunkan paras paras gula darah puasa, lemak dan juga kolesterol jahat. [7]
Dos yang disarankan ialah 5-30 gram tiga kali sehari atau 15-90 gram sekali sehari.
4. Hempedu Bumi
Hempedu bumi atau nama saintifiknya Andrographis paniculata adalah tumbuhan herba yang berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Perubatan tradisional India iaitu Ayurveda menggunakan tumbuhan hempedu bumi untuk merawat demam, malaria dan penyakit hati.
Bagi penyakit kencing manis pula, kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak hempedu bumi boleh membantu meningkatkan kepekaan insulin dan mempercepatkan pemindahan gula dari darah ke dalam sel-sel badan untuk dijadikan tenaga. [8]
Kajian lain oleh pengkaji dari Universiti Sains Malaysia mendapati hempedu bumi dan sebatian aktif dalam tumbuhan ini mempunyai kesan antidiabetes dengan mengurangkan pencernaan dan penyerapan gula ke dalam darah. Oleh itu, ia boleh membantu mengawal paras gula terutamanya selepas makan. [9]
5. Mas Cotek
Mas cotek atau nama saintifiknya Ficus deltoidea adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh liar di kawasan terdedah, tepi pantai dan juga menumpang di atas pokok. Mas cotek adalah tumbuhan dalam keluarga yang sama dengan pokok buah ara. Mas cotek turut dikenali dengan nama lain seperti Serapat angin dan Telinga beruk.
Mas cotek digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat demam, sakit kepala, sakit gigi, menguatkan rahim dan untuk kecantikan kulit.
Mas cotek juga berpotensi dijadikan sebagai ubat kencing manis berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan.
Kajian makmal oleh pengkaji dari Agensi Nuklear Malaysia dan Universiti Putra Malaysia mendapati Mas cotek mampu menurunkan paras gula darah dengan meningkatkan rembesan insulin oleh kelenjar pankreas dan meningkatkan penggunaan gula oleh sel-sel badan. [10]
Kajian terhadap haiwan yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Malaya juga turut mendapati ekstrak Mas cotek boleh mengurangkan pencernaan dan penyerapan gula ke dalam darah dan juga menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi. [11]
6. Misai Kucing
Misai kucing atau nama saintifiknya Orthosiphon stamineus adalah tumbuhan jenis renik yang ditanam untuk tujuan hiasan dan perubatan.
Masyarakat Melayu menggunakan daun Misai kucing untuk merawat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, gout dan buah pinggang.
Kajian terhadap haiwan yang dijalankan mendapati ekstrak Misai kucing boleh mengurangkan kepekatan gula dalam darah dan menurunkan lemak dalam darah. Di samping itu juga, paras kolesterol HDL (kolesterol baik) turut meningkat dengan ketara dalam kalangan tikus yang dirawat dengan ekstrak misai kucing. [12]
Cara pengambilan misai kucing ini ialah melalui air rebusan daunnya atau daunnya dijadikan teh herba.
7. Peria Katak
Peria katak atau nama saintifiknya Momordica charantia merupakan buah yang mempunyai rasa yang paling pahit didunia. Perubatan Ayurveda menggunakan Peria katak untuk merawat penyakit kencing manis.
Peria katak adalah daripada keluarga yang sama dengan timun batang. Buah ini tinggi dengan kandungan vitamin C, vitamin A, vitamin E, Vitamin B1,B2,B3 dan folat.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan menunjukkan ekstrak Peria katak boleh menurunkan paras gula dalam darah secara ketara dan tidak menunjukkan sebarang ketoksikan pada dos 200mg/kg. [13]
Satu kajian semula yang diterbitkan pada tahun 2014 melaporkan bahawa peria katak boleh meningkatkan perembesan insulin daripada kelenjar pankreas, mengurangkan penyerapan glukosa (gula) dalam usus dan meningkatkan penggunaan glukosa oleh tisu-tisu badan. [14]
8. Mahkota Dewa
Mahkota dewa atau nama saintifiknya Phaleria macrocarpa adalah tumbuhan yang berasal dari Malaysia dan Indonesia. Pokok Mahkota dewa tumbuh di kawasan tropika dan mempunyai ketinggian daripada 1 meter hingga 18 meter.
Mahkota dewa dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan seperti bersifat antitumor, antidiabetes, antiradang, antibakteria, antikulat, antioksidan dan antivirus.
Kajian terhadap haiwan mendapati buah Mahkota dewa boleh merendahkan paras gula dalam darah selepas makan melalui pengurangan pencernaan dan penyerapan gula dalam darah. [15]
9. Kayu Manis Hutan
Kayu manis hutan atau nama saintifiknya Cinnamomum iners adalah tumbuhan liar yang turut digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat penyakit kencing manis. Kayu manis hutan turut dikenali dengan nama lain seperti medang teja dan medang kemangi.
Selain itu merawat kencing manis, daun kayu manis hutan ini juga turut digunakan untuk merawat demam, sakit kepala, masalah penghadaman dan luka.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak daun kayu manis hutan ini boleh menurunkan paras gula dalam darah yang ketara. Kajian ini turut mendapati sebatian yang dikenali sebagai cinnamic aldehyde bertanggungjawab terhadap kesan antidiabetes ini. [16]
10. Kaduk
Kaduk atau nama saintifiknya Piper sarmentosum adalah tumbuhan herba yang turut mempunyai khasiat terhadap penyakit kencing manis atau diabetes. Kaduk juga dikenali Sirih duduk atau Kaduk batu.
Daun kaduk digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat sakit kepala, panau, sakit dada dan sakit tekak.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak kaduk menunjukkan pengurangan paras gula dalam darah dan kesan penurunan ini dilihat seawal hari ketujuh rawatan. [17]
Selain itu, terdapat juga kajian lain yang turut mendapati ekstrak daun kaduk turut mempunyai kesan antidiabetes dengan kesan pencegahan terhadap diabetes nefropati melalui pengurangan hiperglisemia. [18]
Diabetes nefropati ialah penyakit kencing manis atau diabetes jenis 1 dan 2 yang berkaitan dengan komplikasi buah pinggang. Ini menyebabkan penghidap kencing manis ini turut mengalami kerosakan buah pinggang.
Risiko dan Kesan Sampingan
Kekangan terbesar buat ubat kencing manis daripada sumber semulajadi ini ialah kekurangan kajian-kajian klinikal untuk mengetahui kesan tumbuhan-tumbuhan herba ini terhadap manusia. Kajian terhadap manusia ini penting untuk mengetahui dos yang sesuai, kesan jangka panjang dan kesan sampingan jika wujud.
Bagi mereka yang mengambil ubat moden atau menghidap penyakit-penyakit kronik, adalah disarankan untuk mendapatkan pandangan daripada doktor masing-masing terlebih dahulu sebelum menggunakan tumbuhan-tumbuhan herba ini.
Kesan sampingan yang boleh berlaku termasuklah:
- ketoksikan kepada hati
- pening
- letih
- cirit-birit
- hipoglisemia (paras gula turun terlalu rendah)
- hiperkalemia (peningkatan kalium yang terlalu tinggi yang memudaratkan)
Antara tumbuhan-tumbuhan herba yang berkemungkinan boleh menyebabkan kesan sampingan atau berinteraksi dengan ubat moden adalah seperti:
- Daun pegaga (jika diambil secara berterusan melebihi 6 bulan)
- Hempedu bumi
- Peria katak
- Buah mengkudu
Rumusan
Sebenarnya, bumi Malaysia ini kaya dengan pelbagai tumbuhan yang berpotensi menjadi ubat kencing manis alternatif kepada penghidap penyakit ini.
Walau bagaimanapun, kekurangan kajian terhadap manusia menyebabkan terdapat kebimbangan akan kesan sampingan dan komplikasi yang mungkin wujud. Oleh itu, mereka yang ingin beramal dengan ubat atau tumbuhan herba ini harus mendapatkan pandangan atau nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
Rujukan
- Algenstaedt, P. et al. (2018). The Effect of Morinda citrifolia L. Fruit Juice on the Blood Sugar Level and Other Serum Parameters in Patients with Diabetes Type 2. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Nowak, D. et al. (2019). Effects of Acute Consumption of Noni and Chokeberry Juices vs. Energy Drinks on Blood Pressure, Heart Rate, and Blood Glucose in Young Adults. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Chauhan, P. et al. (2009). Evaluation of the Anti-diabetic Effect of Ethanolic and Methanolic Extracts of Centella asiatica Leaves Extract on Alloxan Induced Diabetic Rats. Adv Biol Res.
- Supkamonseni, N. et al. (2014). Hypolipidemic and hypoglycemic effects of Centella asiatica (L.) extract in vitro and in vivo. Indian journal of experimental biology.
- Bachok, M. F. et al. (2014). Effectiveness of traditional Malaysian vegetables (ulam) in modulating blood glucose levels. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Gupta, A. et al. (2001). Effect of Trigonella foenum-graecum (fenugreek) seeds on glycaemic control and insulin resistance in type 2 diabetes mellitus: a double blind placebo controlled study. The Journal of the Association of Physicians of India.
- Kassaian, N. et al. (2009). Effect of fenugreek seeds on blood glucose and lipid profiles in type 2 diabetic patients. International journal for vitamin and nutrition research.
- Subramanian, et al.. (2008). Effect of ethanolic extract of Andrographis paniculata (Burm. F.) nees on a combination of fat-fed diet and low dose streptozotocin induced chronic insulin resistance in rats. Diabetologia Croatica.
- Subramanian,R. et al. (2008). In vitro alpha-glucosidase and alpha-amylase enzyme inhibitory effects of Andrographis paniculata extract and andrographolide. The Journal of the Polish Biochemical Society and of the Polish Academy of Sciences.
- Adam, Z., et al. (2012). Ficus deltoidea: A Potential Alternative Medicine for Diabetes Mellitus. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Misbah, H., et al. (2013). Antidiabetic and antioxidant properties of Ficus deltoidea fruit extracts and fractions. BMC complementary and alternative medicine.
- Sriplang, K. et al. (2007). Effects of Orthosiphon stamineus aqueous extract on plasma glucose concentration and lipid profile in normal and streptozotocin-induced diabetic rats. Journal of ethnopharmacology.
- Rammal, H. et al. (2009). A study of the anti-hyperglycaemic effects of the medicinal plant, Momordica charantia L.: validation and contribution. Phytothérapie.
- Habicht, S. D. et al. (2014). Momordica charantia and type 2 diabetes: from in vitro to human studies. Current diabetes reviews.
- Sugiwati, S. et al (2006). α-Glucosidase Inhibitory Activity and Hypoglycemic Effect of Phaleria macrocarpa Fruit Pericarp Extracts by Oral Administration to Rats. Journal of Applied Sciences.
- Mustaffa, Fazlina et al. (2014). Antidiabetic and antihyperlipidemic potential of standardized extract, fraction and subfraction of Cinnamomum iners leaves. International Journal of Pharmacy and Pharmaceutical Sciences.
- Peungvicha, P. et al (1998). Hypoglycemic effect of the water extract of Piper sarmentosum in rats. Journal of Ethnopharmacology.
- Hussan, Farida. et al. (2013). Piper sarmentosum Water Extract Attenuates Diabetic Complications in Streptozotocin induced Sprague-Dawley Rats. Sains Malaysiana 42 (11): 1605-1612.