Mas cotek adalah sejenis tumbuhan herba yang digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Herba ini mempunyai khasiat yang agak mengagumkan. Bagi membantu anda mengetahui dengan lebih lanjut, kami senaraikan khasiat mas cotek yang bermanfaat untuk kesihatan wanita dan lelaki.
Mas cotek atau nama saintifiknya “Ficus Deltoidea” adalah sejenis tumbuhan herba daripada keluarga Moraceae iaitu keluarga yang sama dengan buah ara (buah tin), buah nangka, buah cempedak dan buah sukun.
Mas cotek turut juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Telinga Beruk, Sarapat Angin, Sempit-sempit di negeri Sabah, Sarawak dan Kepulauan Kalimantan, Agoluran di Sabah.
Tumbuhan ini berasal dari Kepulauan Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Terdapat 2 jenis Mas cotek iaitu mas cotek jantan (berdaun kecil) dan mas cotek betina (berdaun besar). Mas cotek jantan berbeza dengan mas cotek betina dari rupa bentuk daunnya yang kecil, tirus, nipis dan ringan berbanding mas cotek betina.
Khasiat Mas Cotek dalam Perubatan Tradisional
Masyarakat Melayu telah lama menggunakan akar dan daun Mas cotek untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti luka, reumatism dan masalah kesihatan yang lain.
Bagi wanita, Mas cotek digunakan untuk mengecutkan saluran peranakan dan merapatkan pintu rahim serta megembalikan rahim pada kedudukan asal serta mengukuhkannya.
Selain itu, air rebusan daun Mas cotek juga digunakan untuk merawat penyakit kencing manis (diabetes).
Antara masalah kesihatan lain yang dapat dibantu adalah seperti berikut:
- Kesihatan badan secara umumnya: Buah Mas cotek dimakan sebanyak 3-5 biji sehari.
- Mengeluarkan toksin dalam badan
- Gout: Serbuk akar dan daunnya dimakan untuk merawat gout.
- Melancarkan perjalanan darah: 2-3 helai daun Mas cotek dikeringkan (campuran antara pokok jantan dan betina) dan direbus dengan 3 cawan air hingga tinggal secawan.
- Buasir
- Sakit kepala/Migrain: Mengunyah buah Mas cotek.
- Sakit gigi: Mengunyah buah Mas cotek.
- Senggugut: Meminum air rebusan daun Mas cotek.
- Sakit pinggang
- Keletihan
- Sakit lutut: Serbuk akar dan daunnya dimakan untuk merawat sakit lutut.
- Masalah tidur
- Merangsang hormon lelaki
- Mencantikkan dan melicinkan kulit
Khasiat Mas Cotek dalam Perubatan Moden
Melihat khasiat Mas cotek yang banyak dalam perubatan tradisional, para penyelidik telah menjalankan banyak kajian untuk membuktikan khasiat tumbuhan herba ini.
Antara khasiat-khasiat Mas cotek berdasarkan kajian adalah:
1. Boleh Membantu Mencegah atau Merawat Diabetes
Perubatan tradisional Melayu menggunakan Mas cotek untuk mengawal paras gula darah.
Kajian perubatan moden juga mendapati ekstrak Mas cotek mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu mencegah atau merawat penyakit kencing manis (diabetes).
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak Mas cotek mempunyai keupayaan merencat enzim α-glukosidase. Enzim α-glukosidase ini bertanggungjawab mencernakan karbohidrat kepada gula ringkas. [1]
Perencatan enzim α-glukosidase ini boleh merendahkan paras gula dalam darah.
Kajian lain turut mendapati daun Mas cotek menunjukkan kesan perencatan enzim α-glukosidase dan α-amilase yang boleh merendahkan paras gula dalam darah. [2]
2. Bersifat Antiradang
Daun Mas cotek juga turut digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat sakit sendi dan luka.
Khasiat ini mungkin disumbang oleh ciri-ciri antiradang yang terkandung dalam tumbuhan ini. Kajian yang dijalankan terhadap ekstrak daun Mas cotek menunjukkan daun tumbuhan herba ini mempunyai aktiviti antiradang terhadap tindak balas keradangan akut atau kronik. [3]
Ini menjadikan kenapa daun Mas cotek berkhasiat dalam membantu merawat masalah kesihatan berkaitan keradangan seperti sakit sendi atau luka.
3. Boleh Mencegah dan Merawat Jangkitan Bakteria dan Kulat
Keseluruhan tumbuhan Mas cotek juga boleh digunakan untuk mencegah dan merawat jangkitan bakteria dan kulat.
Kajian oleh pengkaji dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mendapati ekstrak metanol Mas cotek menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli dan Pseudomonas aeruginosa serta aktiviti antikulat terhadap kulat Candida albicans. [4]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan, jangkitan dalam darah dan pneumonia (radang paru-paru).
Kulat atau fungi Candida albicans pula adalah kulat yang boleh menyebabkan jangkitan yis pada faraj wanita dan jangkitan dalam mulut dan tekak.
4. Baik untuk Kesihatan Kulit
Mas cotek juga turut bermanfaat untuk digunakan bagi memutihkan kulit dan melindungi kulit daripada sinaran UV yang berbahaya.
Kajian pada tahun 2011 mendapati ekstrak Mas cotek mempunyai kesan perencatan terhadap penghasilan melanin. Ini menjadikan ekstrak Mas cotek berpotensi digunakan sebagai agen depigmentasi bagi produk kosmetik. [5]
Di samping itu juga, kajian lain turut mendapati ekstrak Mas cotek boleh menghalang keradangan yang dicetuskan oleh sinaran UV. Ekstrak Mas cotek juga turut mengembalikan penghasilan kolagen pada paras yang normal selepas berkurangan akibat sinaran UV. [6]
Kajian tersebut menyimpulkan bahawa ekstrak Mas cotek berguna untuk digunakan sebagai agen antipenuaan kulit dalam produk kosmetik.
5. Mempunyai Kesan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Kajian mendedahkan bahawa ekstrak Mas cotek mempunyai aktiviti antioksidan yang disumbang oleh kandungan sebatian flavonoidnya. [7]
Tambahan daripada itu juga, ekstrak daun Mas cotek juga turut mengandungi vitamin C. Vitamin C turut bertindak sebagai antioksidan. [8]
6. Berpotensi Merawat Ulser Perut
Ulser perut atau ulser gaster adalah penyakit yang melibatkan luka pada lapisan pelapik perut.
Ulser perut boleh menyebabkan gejala-gejala seperti sakit perut, kembung perut, pedih hulu hati, loya atau muntah.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak Mas cotek boleh bertindak sebagai sebagai agen penyembuhan terhadap ulser perut. [9]
Selain itu, kajian lain turut mendapati ekstrak daun Mas cotek turut mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria Helicobacter pylori iaitu bakteria yang boleh menyebabkan ulser perut. [10]
7. Boleh Membantu Menyembuhkan Luka
Perubatan tradisional menggunakan daun Mas cotek untuk merawat luka. Khasiat Mas cotek ini dibuktikan dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan.
Haiwan yang dirawat dengan menggunakan 5% dan 10% ekstrak Mas cotek menunjukkan penyembuhan luka yang lebih cepat berbanding haiwan yang dirawat air atau plasebo. Kajian ini turut mendapati ekstrak Mas cotek ini boleh mengurangkan saiz parut luka tersebut. [11]
8. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Mas cotek juga turut berpotensi mencegah dan merawat kanser.
Satu kajian makmal mendapati ekstrak air dan etanol Mas cotek menunjukkan aktiviti antikanser terhadap sel-sel kanser ovari. [12]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk melihat kesan ekstrak Mas cotek terhadap sel-sel kanser dalam badan manusia.
Rumusan
Mas cotek adalah tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat dan manfaat kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya.
Herba ini popular digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Kajian-kajian moden juga turut menyokong bahawa herba Mas cotek ini turut mempunyai banyak khasiat terhadap kesihatan seperti antidiabetes, antiradang, antioksidan, boleh memutihkan kulit dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Adam, Z. et al. (2010). Inhibitory properties of Ficus deltoidea on α-glucosidase activity. Research Journal of Medicinal Plant.
- Farsi, E. et al. (2011). Correlation between enzymes inhibitory effects and antioxidant activities of standardized fractions of methanolic extract obtained from Ficus deltoidea leaves. African Journal of Biotechnology.
- Zakaria, Z. A. et al. (2012). Anti-inflammatory activity of the aqueous extract of ficus deltoidea. Biological research for nursing.
- Abdsamah, O. et al. (2012). Antimicrobial activity of Ficus deltoidea Jack (Mas Cotek). Pakistan journal of pharmaceutical sciences.
- Oh, M. J. et al. (2011). Ficus deltoidea (Mas cotek) extract exerted anti-melanogenic activity by preventing tyrosinase activity in vitro and by suppressing tyrosinase gene expression in B16F1 melanoma cells. Archives of dermatological research.
- Hasham, R. et al.(2013). Protective effects of a Ficus deltoidea (Mas cotek) extract against UVB-induced photoageing in skin cells. Biotechnol Bioproc E.
- Omar, M. H. et al. (2011). Identification of proanthocyanidin dimers and trimers, flavone C-Glycosides, and antioxidants in Ficus deltoidea , a malaysian herbal tea. Journal of agricultural and food chemistry.
- Hakiman, M & Maziah, M. (2009). Non enzymatic and enzymatic antioxidant activities in aqueous extract of different Ficus deltoidea accessions. Journal of Medicinal Plants Research.
- Zahra, F. et al. (2009). Anti-ulcerogenic activity of aqueous extract of Ficus deltoidea against ethanol-induced gastric mucosal injury in rats. Research Journal of Medical Sciences.
- Uyub, A. et al. (2010). In-vitro antibacterial activity and cytotoxicity of selected medicinal plant extracts from Penang Island Malaysia on metronidazole-resistant- Helicobacter pylori and some pathogenic bacteria. Ethnobotany Research and Applications.
- Abdulla, M.A. et al. (2010). Role of Ficus deltoidea extract in the enhancement of wound healing in experimental rats. Biomedical Research.
- Mat Akhir, N.A. et al. (2011). Cytotoxicity of Aqueous and Ethanolic Extracts of Ficus deltoidea on Human Ovarian Carcinoma Cell Line. Journal of Advances in Medicine and Medical Research.