Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa daun kaduk yang biasanya dimakan sebagai ulam mempunyai banyak khasiat. Khasiat daun kaduk ini sebenarnya telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional.
Jika anda pernah makan makanan Thailand yang dipanggil “miang kham”, maknanya anda pernah memakan daun kaduk.
Daun kaduk mungkin mudah untuk terkeliru dengan daun sirih kerana bentuk dan rupanya yang hampir sama. Ini disebabkan kedua-dua pokok ini adalah daripada keluarga yang sama iaitu Piperaceae.
Kaduk atau nama saintifiknya Piper sarmentosum merupakan tumbuhan herba yang menjalar. Tumbuhan ini berasal dari kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Vietnam, India, Kepulauan Andaman dan Selatan China.
Daun, buah, pucuk, akar dan batang kaduk digunakan dalam perubatan tradisional. Tumbuhan ini digunakan untuk merawat:
- Demam
- Membuang kahak (ekspektoran)
- Sakit gigi
- Batuk
- Asma
- Melegakan sakit otot
- Jangkitan kulit
- Sakit sendi
- Malaria
- Menggalakkan kitaran darah
- Sakit perut
- Paras gula darah tinggi (hiperglikemia)
Penggunaan daun kaduk dalam perubatan tradisional ini turut menarik minat penyelidik-penyelidik masa kini. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk mengetahui khasiat-khasiat daun kaduk serta membuktikan khasiatnya dalam perubatan tradisional.
Berikut adalah khasiat-khasiat daun kaduk serta bahagiannya yang lain terhadap kesihatan manusia berdasarkan kajian-kajian moden:
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Kajian turut menunjukkan bahawa daun kaduk atau bahagiannya yang lain mengandungi antioksidan seperti myricetin, kuersetin dan apigenin. [1]
Antioksidan-antioksidan ini adalah antioksidan yang kuat dan mempunyai banyak kebaikan. Sebagai contoh, kuersetin dilaporkan mempunyai kesan antikanser dengan merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser dan membunuh sel-sel kanser prostat. [2]
2. Boleh Membantu Mencegah dan Merawat Penyakit Kencing Manis
Daun kaduk juga didapati bermanfaat kepada mereka yang mengalami penyakit kencing manis (diabetes) atau pradiabetes.
Khasiat daun kaduk ini dibuktikan dalam satu analisis yang melibatkan 8 kajian makmal dan kajian terhadap haiwan.
Kajian-kajian ini melaporkan bahawa daun kaduk mempunyai aktiviti perencatan terhadap enzim yang mencernakan karbohidrat kepada glukosa iaitu α-glukosidase.
Kajian terhadap haiwan pula menunjukkan pengambilan daun kaduk boleh menurunkan paras gula darah dengan ketara dalam kalangan haiwan yang normal atau menghidap diabetes.
Terdapat juga kajian yang mendapati daun kaduk boleh mengurangkan gula darah puasa dalam kalangan haiwan yang menghidap diabetes. [3]
3. Boleh Membantu Mencegah dan Merawat Tekanan Darah Tinggi
Daun kaduk juga berkhasiat untuk dimakan bagi anda yang menghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Kebaikan daun kaduk ini dapat dilihat dalam analisis yang melibatkan 3 kajian. Kajian-kajian tersebut mendedahkan bahawa pengambilan daun kaduk boleh membantu menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik dengan ketara. [3]
Malah, kajian tersebut juga turut mendapati bahawa daun kaduk mempunyai kesan yang sama dengan ubat tekanan darah tinggi (Captopril) dalam menurunkan tekanan darah.
4. Baik untuk Kesihatan Tulang dan Pemulihan Tulang
Pemakanan daun kaduk juga turut bermanfaat kepada kesihatan tulang dan pemulihan tulang yang retak atau patah terutamanya kepada golongan berusia.
Daun kaduk dipercayai boleh membantu mencegah osteoporosis iaitu penyakit yang menyebabkan tulang menjadi rapuh. Daun ini juga dipercayai boleh membantu menggalakkan penyembuhan terhadap tulang yang patah atau retak.
Satu kajian semula yang melibatkan 9 kajian melaporkan bahawa daun kaduk mencegah kemerosotan tulang, menambah baik penyembuhan tulang yang retak dan mengembalikan kekuatan serta kekerasan tulang dalam kalangan haiwan yang menghidap osteoporosis. [4]
Selain itu, daun kaduk juga mencegah kematian sel-sel tulang, meningkatkan pembentukan dan pemineralan tulang serta menambah baik struktur dan kekuatan tulang.
5. Boleh Membantu Merawat Kesakitan dan Keradangan
Daun kaduk juga digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat luka, sakit gigi dan mengurangkan kesakitan.
Kebaikan atau khasiat ini dipercayai disumbang oleh ciri-ciri antiradang dan antinosiseptif (menghalang rasa sakit) yang terkandung dalam daun kaduk. [5]
Ciri-ciri ini yang menjadikan daun kaduk sesuai digunakan untuk merawat luka, batuk, sakit gigi dan mengurangkan kesakitan berkaitan keradangan.
6. Boleh Membantu Merawat Kemurungan
Kemurungan adalah gangguan kesihatan mental yang semakin meningkat pada masa kini. Ramai yang mengalami kemurungan akibat daripada pelbagai faktor.
Peningkatan kes-kes kemurungan dan kematian akibat kemurungan memerlukan pencegahan dan rawatan yang berkesan dan kurang dengan kesan sampingan.
Terdapat kajian yang mendapati rawatan menggunakan ekstrak pucuk kaduk menghasilkan kesan antidepresan seperti ubat antidepresan (fluoxetine) bagi haiwan yang diuji. [6]
7. Boleh Membantu Merawat Demam
Seperti penggunaannya dalam rawatan tradisional, kajian moden juga turut mendapati akar kaduk boleh digunakan untuk merawat demam.
Kajian terhadap haiwan yang melibatkan akar kaduk menunjukkan bahawa akar kaduk ini mempunyai aktiviti antipiretik yang seterusnya boleh menurunkan suhu badan haiwan yang diuji. [7]
Antipiretik ialah ubat yang dapat mengurangkan atau menyembuhkan demam.
8. Berpotensi Merawat Kanser
Selain itu, kajian awal juga turut mendapati bahawa daun kaduk dan bahagian yang lain berpotensi digunakan untuk mencegah atau merawat kanser.
Kajian-kajian awal mendapati daun, pucuk, batang dan akar kaduk mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser payudara, kanser hati, kanser usus besar, kanser serviks dan kanser tekak. [8]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian tambahan termasuklah kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat kesan sebenar tumbuhan ini terhadap kanser yang berada di dalam badan manusia.
9. Boleh Membunuh Jentik-jentik Nyamuk Aedes dan Culex
Nyamuk Aedes dan Culex adalah dua spesies nyamuk yang menjadi penyebar kepada penyakit Denggi dan JE (Japanese Encephalitis).
Satu kajian yang menggunakan ekstrak akar kaduk mendapati sebatian bioaktif yang terkandung dalam akar kaduk sangat mujarab terhadap jentik-jentik nyamuk Aedes dan Culex dengan menyebabkan 100% kematian. [9]
Kajian ini menunjukkan ekstrak akar kaduk berpotensi digunakan sebagai racun serangga.
Rumusan
Selain digunakan dalam penyediaan makanan atau masakan, kaduk atau daun kaduk juga turut mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan.
Dari perubatan tradisional hingga perubatan moden, daun kaduk menunjukkan potensi yang memberangsangkan dalam merawat pelbagai masalah kesihatan. Contohnya seperti boleh membantu merawat dan mencegah penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, memulihkan tulang dan lain-lain lagi.
Anda boleh memanfaatkan khasiat daun kaduk ini dengan menjadikannya sebahagian daripada diet harian anda.
Rujukan
- Miean, K. H., & Mohamed, S. (2001). Flavonoid (myricetin, quercetin, kaempferol, luteolin, and apigenin) content of edible tropical plants. Journal of agricultural and food chemistry.
- Yang, F. et al. (2015). Quercetin in prostate cancer: Chemotherapeutic and chemopreventive effects, mechanisms and clinical application potential (Review). Oncology reports.
- Othman, N. S. et al. (2022). Effects of Piper sarmentosum Roxb. on hypertension and diabetes mellitus: A systematic review and meta-analysis. Frontiers in pharmacology.
- Ekeuku, S. O. et al. (2022). Effects of Piper sarmentosum on Bone Health and Fracture Healing: A Scoping Review. Endocrine, metabolic & immune disorders drug targets.
- Zakaria, Z. A. et al. (2010). In vivo anti-nociceptive and anti-inflammatory activities of the aqueous extract of the leaves of Piper sarmentosum. Journal of ethnopharmacology.
- Li, Q. et al. (2017). Piper sarmentosum Roxb. produces antidepressant-like effects in rodents, associated with activation of the CREB-BDNF-ERK signaling pathway and reversal of HPA axis hyperactivity. Journal of ethnopharmacology.
- Sireeratawong, S. et al. (2010). Anti-inflammatory, anti-nociceptive and antipyretic effects of the ethanol extract from root of Piper sarmentosum Roxb. Journal of the Medical Association of Thailand.
- Ibrahim, M. et al. (2022). A Comprehensive Review on the Phytochemical Constituents, Antioxidant and Anticancer Properties of Piper sarmentosum. Journal of Pharmacy
- Hematpoor, A. et al. (2016). Inhibition and Larvicidal Activity of Phenylpropanoids from Piper sarmentosum on Acetylcholinesterase against Mosquito Vectors and Their Binding Mode of Interaction. PloS one.