Hempedu bumi atau turut dikenali sebagai “Raja Pahit” adalah tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Khasiat hempedu bumi telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak berabad lamanya.
Secara saintifiknya, hempedu bumi dikenali sebagai Andrographis paniculata. Tumbuhan herba ini mudah membiak tetapi mempunyai jangka hayat yang pendek iaitu kira-kira satu tahun. Hempedu bumi berasal dari negara-negara Asia Tenggara, China dan India.
Hempedu bumi biasanya boleh dijumpai secara liar di kawasan tanah terbuka dan kawasan yang ditumbuhi rumput. Di Malaysia, tumbuhan herba ini lazimnya ditanam di kawasan rumah atau di dalam pasu bagi tujuan perubatan.

Perubatan tradisional telah menggunakan hempedu bumi dalam merawat pelbagai masalah kesihatan seperti mengurangkan rasa sakit, merawat penyakit kencing manis, demam, sakit perut, cirit-birit, jangkitan cacing, bronkitis kronik dan lain-lain.
Selari dengan penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian sains moden juga turut melaporkan beberapa khasiat hempedu bumi yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan.
Antaranya adalah:
1. Mempunyai Ciri-ciri Antibakteria dan Antikulat
Hempedu bumi berpotensi dijadikan agen antibakteria dan antikulat dalam membantu mencegah jangkitan bakteria dan kulat yang menyebabkan keracunan makanan, jangkitan pada mulut dan faraj wanita.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa ekstrak dan sebatian aktif dalam herba hempedu bumi mempunyai aktiviti-aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Bacillus subtilis (B. subtilis), Escherichia coli (E. coli) dan Pseudomonas aeruginosa.
Tambahan daripada itu juga, ekstrak dan sebatian aktif hempedu bumi ini turut mempunyai aktiviti antikulat terhadap kulat Candida albicans. [1]
2. Boleh Mengurangkan Sakit Sendi Lutut
Hempedu bumi juga boleh merawat sakit sendi terutamanya sakit sendi lutut (osteoartritis) kerana sifat antiradangnya.
Keradangan adalah proses semula jadi badan apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Namun, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan, ia akan membawa kesan buruk kepada badan termasuklah penyakit-penyakit kronik seperti sakit sendi, penyakit kencing manis, penyakit jantung dan kanser.
Kajian terhadap 103 pesakit osteoartritis melaporkan bahawa pengambilan suplemen hempedu bumi pada dos 300 atau 600 mg/hari berkesan dalam membantu mengurangkan kesakitan bagi penghidap osteoartritis lutut yang ringan dan sederhana. [2]
3. Bersifat Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Kajian turut mendapati hempedu bumi turut mempunyai ciri-ciri antioksidan. Ekstrak dan sebatian aktif dalam hempedu bumi didapati boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan meningkatkan enzim antioksidan pada organ-organ yang terjejas akibat daripada nikotina. [3]
4. Boleh Menguatkan Sistem Imun
Hempedu bumi juga boleh membantu menguatkan sistem imun (sistem pertahanan) badan. Sistem imun yang kuat boleh melindungi badan daripada sebarang jangkitan virus, bakteria atau kulat.
Kesan hempedu bumi terhadap sistem imun badan dilaporkan dalam satu kajian yang mendapati ekstrak hempedu bumi dan sebatian aktif di dalamnya boleh meningkatkan penghasilan sel-sel imun sehingga 14%. [4]
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Selain menguatkan sistem imun, hempedu bumi juga didapati berpotensi untuk mencegah dan merawat kanser.
Kajian awal menunjukkan ekstrak hempedu bumi boleh merencatkan pengembangbiakan sel-sel kanser usus besar. [4]
Kajian lain turut mendedahkan bahawa sebatian aktif utama dalam hempedu bumi yang dikenali sebagai “andrographolide” turut mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser payudara, prostat dan hati. [5]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat kesan tumbuhan herba ini terhadap sel-sel kanser dalam badan manusia.
6. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Hempedu bumi juga turut berkhasiat kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes). Hal ini demikian kerana sifatnya yang boleh membantu menurunkan paras gula darah.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak hempedu bumi boleh menyebabkan penurunan ketara iaitu sebanyak 52% terhadap paras gula darah dalam kalangan tikus yang mempunyai paras gula darah yang tinggi. [6]
Kajian terhadap 54 orang pesakit kencing manis pula mendapati penggunaan ekstrak daun hempedu bumi yang dicampur ekstrak daun salam boleh menurunkan paras gula darah puasa dan paras gula darah selepas makan bagi pesakit yang mengambil campuran herba ini. [7]
7. Boleh Membantu Merawat Demam Selesema
Hempedu bumi juga turut popular digunakan untuk merawat demam selesema. Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden juga turut mengesahkan bahawa herba hempedu bumi ini boleh merawat demam selesema atau jangkitan saluran pernafasan atas.
Satu kajian yang melibatkan 158 pesakit demam selesema melaporkan bahawa pengambilan ekstrak hempedu bumi sebanyak 1.2 gram sehari selama 5 hari boleh mengurangkan gejala-gejala demam selesema seperti sakit tekak, hidung berair, kepenatan atau sukar untuk tidur. [8]
Tambahan lagi, gejala-gejala demam selesama tersebut mula untuk berkurang seawal hari ke-2 dan hilang sepenuhnya pada hari ke-4.
8. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan pengumpulan (mendapan) lemak dalam saluran darah. Lama-kelamaan, mendapan ini berkembang, menyebabkan kesukaran untuk darah mengalir melalui saluran darah (arteri) anda.
Kadangkala, mendapan tersebut boleh pecah secara tiba-tiba dan membentuk penyumbatan yang menyebabkan serangan jantung atau strok.
Hempedu bumi dilihat boleh memainkan peranan dalam membantu menurunkan paras kolesterol terutamanya bagi mereka yang menghidap paras kolesterol yang tinggi.
Kajian mendapati sebatian aktif dalam hempedu bumi boleh membantu mengurangkan paras trigliserida, kolesterol total dan kolesterol jahat (kolesterol LDL). [9]
Kajian klinikal yang melibatkan 60 orang pesakit yang mempunyai paras trigliserida (lemak dalam darah) yang tinggi mendapati ekstrak hempedu bumi boleh membantu menurunkan paras trigliserida. Kesan ekstrak hempedu bumi ini dilihat hampir setara dengan ubat yang digunakan untuk merawat paras lemak dalam darah yang tidak normal. [10]
9. Boleh Mencegah dan Merawat Jangkitan Virus
Hempedu bumi juga turut mempunyai ciri-ciri antivirus iaitu berupaya untuk mencegah dan merawat jangkitan virus.
Terdapat kajian-kajian yang melaporkan kesan antivirus hempedu bumi terhadap beberapa jenis virus seperti:
- Virus denggi serotip 1 (DENV-1): Kajian tabung uji mendapati ekstrak metanol hempedu bumi boleh merencatkan aktiviti virus DENV-1 iaitu virus yang menyebabkan demam denggi. [11]
- Virus hepatitis C: Sebatian aktif hempedu bumi iaitu andrographolide didapati boleh mengawal replikasi virus hepatitis C. [12]
- Influenza A: Sebatian aktif dalam hempedu bumi turut berkesan terhadap selesema burung (H9N2 dan H5N1) dan selesema babi (H1N1). [13]
- HIV: Kajian klinikal menunjukkan bahawa sebatian andrographolide boleh mencegah gangguan kitaran sel yang disebabkan HIV, seterusnya menguatkan sistem imun. [14]
10. Boleh Mengurangkan Kelesuan
Hempedu bumi juga berguna untuk mereka yang mempunyai masalah kelesuan.
Khasiat hempedu bumi ini dilaporkan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit sklerosis yang mengalami kelesuan akibat daripada ubat yang diberikan untuk penyakit tersebut. Pengambilan ekstrak hempedu bumi sebanyak 170 mg sehari dalam masa 12 bulan berjaya mengurangkan kelesuan dengan ketara. [15]
Rumusan
Hempedu bumi adalah salah satu tumbuhan herba yang mempunyai khasiat yang luar biasa. Selain mudah untuk dibiakkan, hempedu bumi juga merupakan tumbuhan yang lasak dan boleh hidup dengan baik dalam pelbagai jenis tanah.
Selain penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden juga turut mendapati hempedu bumi mempunyai pelbagai khasiat termasuklah untuk penyakit kencing manis, mencegah jangkitan bakteria dan kulat, menguatkan sistem imun, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Singha, P. K. et al. (2003). Antimicrobial activity of Andrographis paniculata. Fitoterapia.
- Hancke, J. L. et al. (2019). A double-blind, randomized, placebo-controlled study to assess the efficacy of Andrographis paniculata standardized extract (ParActin®) on pain reduction in subjects with knee osteoarthritis. Phytotherapy research.
- Neogy, S. et al. (2008). Amelioratory effect of Andrographis paniculata Nees on liver, kidney, heart, lung and spleen during nicotine induced oxidative stress. Environmental toxicology and pharmacology.
- Kumar, R. A. et al. (2004). Anticancer and immunostimulatory compounds from Andrographis paniculata. Journal of ethnopharmacology.
- Mishra, S. K. et al. (2015). Andrographolide and analogues in cancer prevention. Frontiers in bioscience.
- Husen, R. et al. (2004). Screening for antihyperglycaemic activity in several local herbs of Malaysia. Journal of ethnopharmacology.
- Widjajakusuma, E. C. et al. (2019). Phytochemical screening and preliminary clinical trials of the aqueous extract mixture of Andrographis paniculata (Burm. f.) Wall. ex Nees and Syzygium polyanthum (Wight.) Walp leaves in metformin treated patients with type 2 diabetes. Phytomedicine.
- Cáceres, D. D. et al. (1999). Use of visual analogue scale measurements (VAS) to asses the effectiveness of standardized Andrographis paniculata extract SHA-10 in reducing the symptoms of common cold. A randomized double blind-placebo study. Phytomedicine.
- Yang, T. et al. (2013). Hypolipidemic effects of andrographolide and neoandrographolide in mice and rats. Phytotherapy research.
- Phunikhom, K. et al. (2015). Effect of Andrographis paniculata Extract on Triglyceride Levels of the Patients with Hypertriglyceridemia: A Randomized Controlled Trial. Journal of the Medical Association of Thailand.
- Tang, L. I. et al. (2012). Screening of anti-dengue activity in methanolic extracts of medicinal plants. BMC complementary and alternative medicine.
- Lee, J. C. et al. (2014). Andrographolide exerts anti-hepatitis C virus activity by up-regulating haeme oxygenase-1 via the p38 MAPK/Nrf2 pathway in human hepatoma cells. British journal of pharmacology.
- Chen, J. X. et al. (2009). Activity of andrographolide and its derivatives against influenza virus in vivo and in vitro. Biological & pharmaceutical bulletin.
- Calabrese, C. et al. (2000). A phase I trial of andrographolide in HIV positive patients and normal volunteers. Phytotherapy research.
- Bertoglio, J. C. et al. (2016). Andrographis paniculata decreases fatigue in patients with relapsing-remitting multiple sclerosis: a 12-month double-blind placebo-controlled pilot study. BMC neurology.