Terdapat satu kepercayaan bahawa mandi ketika panas atau berpeluh boleh menyebabkan panau. Hakikatnya, kepercayaan ini adalah tidak benar. Artikel ini menerangkan punca panau yang sebenarnya. Teruskan membaca.
Panau adalah sejenis jangkitan kulit yang disebabkan oleh kulat daripada jenis Malassezia spp. Jangkitan panau biasanya terjadi di kawasan tropika serta sub-tropika dan jangkitan ini boleh berlaku dalam kalangan manusia dan haiwan.
Secara saintifiknya panau dikenali sebagai Tinea versicolor. Kulat ini akan mengganggu pigmentasi kulit yang normal mengakibatkan tompok-tompok kecil yang berubah warna.
Tompok-tompok ini mungkin mempunyai warna yang lebih cerah atau lebih gelap daripada kulit disekelilingnya.

Kulat Malassezia ini biasanya tidak menyebabkan masalah kesihatan. Tetapi ia boleh mendatangkan gangguan emosi seperti rasa malu atau kurang keyakinan diri.
Punca yang Menyebabkan Panau
Panau berlaku disebabkan oleh kulat Malassezia yang tumbuh dengan cepat di permukaan kulit. Terdapat beberapa faktor yang boleh menggalakkan pertumbuhan ini seperti:
- Cuaca yang panas dan lembap
- Berpeluh berlebihan
- Kulit berminyak
- Sistem imun yang lemah
- Perubahan hormon
Panau boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun ia lebih lazim berlaku kepada golongan remaja dan belia.
Tanda-tanda atau Gejala
Antara tanda-tanda atau gejala panau yang boleh diperhatikan adalah:
- Tompok-tompok yang berubah warna pada kulit (biasanya di bahagian belakang, dada, leher dan lengan)
- Rasa gatal-gatal yang ringan
- Bersisik
Bagi mereka yang berkulit gelap, panau menyebabkan tompok-tompok yang berwarna cerah. Keadaan ini dipanggil hipopigmentasi.
Manakala bagi mereka yang berkulit cerah, panau mungkin menyebabkan kulit menjadi lebih gelap. Keadaan ini dipanggil hiperpigmentasi.
Terdapat satu keadaan atau penyakit yang sering disalah tafsir dengan panau iaitu vitiligo. Walau bagaimanapun, vitiligo ini mempunyai beberapa tanda yang boleh dibezakan dengan panau.
Rawatan
Sekiranya panau yang dialami tidak teruk, anda boleh merawatnya dirumah dengan menggunakan ubat belian kaunter (ubat farmasi).
Ubat antikulat dalam bentuk krim atau syampu mungkin berkesan untuk membunuh jangkitan kulat tersebut.
Antara contoh ubat antikulat belian kaunter adalah:
- Clotrimazole
- Miconazole
- Selenium sulfide
- Terbinafine
Sekiranya panau yang dialami adalah teruk, anda mungkin perlu mendapatkan rawatan daripada doktor untuk mendapatkan ubat preskripsi yang lebih kuat.
Antara ubat antikulat preskripsi dalam bentuk sapuan adalah:
- Ketoconazole
- Circlopirox
Ubat antikulat preskripsi dalam bentuk pil pula adalah:
- Fluconazole
- Itraconazole
Langkah-langkah Pencegahan
Walaupun agak sukar untuk mencegah penyakit kulit ini, beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil adalah:
- Elakkan berpeluh yang berlebihan
- Elakkan terdedah kepada cahaya matahari secara berlebihan
- Elakkan persekitaran panas yang berlebihan
- Elakkan produk kulit yang berminyak
- Pakai pakaian yang longgar
- Gunakan syampu antikulat
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Tinea versicolor. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Tinea versicolor. Cleveland Clinic
- Burke,D. (2019). Tinea Versicolor. Healthline