Hiperhidrosis ialah peluh berlebihan yang tidak normal dan tidak semestinya berkaitan dengan cuaca panas atau aktiviti fizikal. Hiperhidrosis boleh menyebabkan penghidapnya berpeluh dengan banyak sehinggakan boleh menitis-nitis.
Masalah ini boleh menganggu emosi dan aktiviti harian penghidapnya. Lebih parah lagi, penyakit ini boleh menyebabkan penghidapnya hilang keyakinan diri dan malu untuk bergaul dengan orang lain.
Terdapat dua jenis hiperhidrosis yang dicirikan oleh penyebab yang berbeza iaitu:
a. Hiperhirosis primer
Hiperhidrosis jenis ini adalah disebabkan oleh saraf yang bertanggungjawab untuk menghantar isyarat kepada kelenjar peluh menjadi terlebih aktif.
Masalah ini akan menjadi lebih teruk apabila anda menghadapi tekanan (stres) atau gementar. Kawasan yang biasanya berpeluh adalah tapak tangan, muka, tapak kaki dan juga ketiak.
Hiperhidrosis jenis ini biasanya bermula sejak kanak-kanak lagi dan majoritinya mungkin disebabkan keturunan.
b. Hiperhidrosis sekunder
Hiperhidrosis jenis ini pula disebabkan oleh masalah kesihatan atau kesan sampingan daripada ubat-ubatan. Penyakit jenis ini akan menyebabkan peluh di seluruh badan.
Antara penyakit atau masalah kesihatan yang boleh menyebabkan peluh berlebihan ini adalah:
- Diabetes (penyakit kencing manis)
- Serangan jantung
- Masalah sistem saraf
- Masalah tiriod
- Gula darah rendah
- Beberapa jenis kanser
- Putus haid (Menopaus)
- Obesiti
- Penyakit Tibi
- HIV
- Penyakit Parkinson
Simptom-simptom Hiperhidrosis
Beberapa simptom atau gejala yang boleh dikaitkan dengan hiperhidrosis adalah seperti berikut:
- Peluh berlebihan yang berlaku sekurang-kurangnya sekali seminggu.
- Peluh yang berlaku dikedua-dua belah badan (Contohnya, tapak tangan kanan dan kiri).
- Tidak berpeluh semasa tidur.
- Peluh yang sehingga menganggu aktiviti harian seperti kerja.
- Peluh berlebihan yang berlaku sekurang-kurangnya selama 6 bulan tanpa sebab yang munasabah.
- Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap hiperhidrosis.
Simptom-simptom ini boleh menjadi petanda kepada masalah hiperhidrosis primer. Sekiranya anda berpeluh secara berlebihan di seluruh badan atau hanya pada sebelah anggota badan sahaja, kemungkinan besar ia melibatkan hiperhidrosis sekunder.
Rawatan Hiperhidrosis
Rawatan bagi penyakit ini bergantung kepada diagnosa yang dilakukan oleh doktor. Jika peluh berlebihan ini disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain, maka masalah kesihatan ini harus dirawat terlebih dahulu.
Jika tiada penyebab yang jelas yang menyebabkan peluh berlebihan ini, maka rawatan akan menfokuskan kepada mengawal peluh yang berlebihan ini.
Kadang-kadang anda perlu mencuba beberapa kombinasi rawatan untuk menemui rawatan yang berkesan.
Beberapa rawatan khusus yang melibatkan ubat preskripsi dan pembedahan adalah seperti berikut:
1. Ubat antipeluh preskripsi
Ubat antipeluh dengan kandungan aluminium klorida ini akan dipreskrib oleh doktor. Selalunya dipakai sebelum tidur dan dicuci selepas bangun tidur.
Kesan sampingan: Iritasi pada kulit dan mata.
2. Krim atau ubat preskripsi
Krim atau ubat yang dipreskripsi seperti ubat anticholinergic yang mengandungi glycopyrrolate boleh membantu dalam masalah hiperhidrosis dengan menghalang acetylcholine daripada bekerja.
Acetylcholine ialah bahan kimia yang dihasilkan dalam badan untuk merangsang kelenjar peluh.
Kesan sampingan: Mulut kering, kabur penglihatan, pening dan sembelit.
3. Ubat antikemurungan
Sesetengah ubat antikemurungan boleh digunakan untuk mengurangkan peluh.
4. Botulinum Toxin (Botox)
Suntikan botox juga boleh digunakan untuk merawat hiperhidrosis. Botulinum toxin ini akan menghalang saraf yang merangsang kelenjar peluh.
Kaedah ini memerlukan beberapa kali suntikan.
5. Iontophoresis
Kaedah ini menggunakan tenaga elektrik dan air paip untuk mengurangkan aktiviti kelenjar peluh. Setiap sesi adalah selama 10-20 minit bagi setiap 2 atau 3 hari. Seterusnya, rawatan susulan boleh dijalankan setiap 2 minggu.
Kesan sampingan: Rasa semut-semut dan iritasi pada kulit.
6. Terapi gelombang mikro
Terapi ini menggunakan gelombang mikro untuk memusnahkan kelenjar peluh. Terapi ini memerlukan beberapa sesi rawatan untuk kesan yang optimum.
Kesan sampingan: Rasa sensasi pada kulit dan rasa tidak selesa.
7. Terapi laser
Terapi laser ini digunakan untuk memusnahkan kelenjar peluh. Terapi ini efektif dan pantas.
Kesan sampingan: Bengkak dan lecuh.
8. Pembedahan Saraf
Kaedah ini ialah pilihan terakhir sekiranya semua rawatan lain gagal dan selepas berunding dengan pakar bedah.
Pembedahan yang dikenali sebagai simpatektomi ini akan memusnahkan sebahagian daripada bekalan saraf kepada kelenjar peluh di kulit.
Kesan sampingan: Kompensasi peluh yang banyak di bahagian bawah dada, belakang badan, perut, paha dan kaki (bagi sesetengah kes).
Rawatan Kendiri
Bagi masalah peluh berlebihan yang tidak kronik, rawatan di rumah mungkin boleh mengurangkan masalah ini. Antara beberapa rawatan di rumah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:
- Ubat antipeluh belian kaunter: ubat jenis mengandungi sebatian berasaskan aluminium yang boleh menghalang liang peluh buat seketika.
- Ubat astringen belian kaunter: sapu ubat ini dikawasan terjejas. Produk ini mengandungi asid tanik atau zink klorida.
- Memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat.
- Memakai stokin yang diperbuat daripada kapas dan ditukar setiap hari.
- Memakai kasut yang membenarkan pengudaraan pada kaki.
- Kerap mandi untuk menyingkirkan bakteria dari badan.
Sokongan Masyarakat
Masalah peluh berlebihan atau hiperhidrosis ini boleh menyebabkan masalah pergaulan, keyakinan diri, rasa malu dan kemorosotan prestasi.
Terdapat kajian yang dijalankan mendapati mereka yang menghidap hiperhidrosis mengalami kemorosotan dari segi pekerjaan, emosi dan fizikal.
Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan sokongan moral daripada orang terdekat atau daripada kaunselor bagi mengelakkan anda terus tertekan.
Masyarakat juga berperanan penting untuk memberi sokongan moral kepada penghidap hiperhidrosis ini disamping memahami masalah yang mereka hadapi.
Rujukan
- Brackenrich J, Fagg C. Hyperhidrosis. [Updated 2020 Sep 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- W, Todd. Feldman, S.R, & Taylor, S.L. 2019. The Treatment of Primary Focal Hyperhidrosis. Skin Therapy Letter.
- Jennifer Robinson. 2018. Excessive Sweating (Hyperhidrosis). WebMD.
- Amanda Delgado. 2020. Hyperhidrosis Disorder (Excessive Sweating). Healthline.