Masalah ketiak berbau mungkin menghantui sesetengah daripada kita. Ketiak berbau boleh mendatangkan masalah keyakinan diri atau masalah pergaulan dengan orang-orang disekeliling. Artikel ini menerangkan beberapa petua atau kaedah yang boleh dicuba untuk menghilangkan bau ketiak.
Sebelum itu, terdapat beberapa perkara yang harus diketahui adalah:
- Badan manusia diliputi oleh kelenjar peluh.
- Peluh adalah proses yang perlu bagi menyejukkan badan terutamanya ketika anda bersenam atau berasa panas.
- Bau ketiak adalah berpunca daripada kelenjar peluh dalam badan.
- Terdapat dua jenis kelenjar peluh iaitu kelenjar ekrin dan kelenjar apokrin.
- Bahagian ketiak mempunyai kelenjar apokrin yang mengeluarkan cecair keruh apabila anda tertekan (stres).
- Cecair ini pada awalnya tidak berbau sehingga ia bercampur dengan bakteria di kulit anda.
Bagi masalah ketiak berbau yang ringan, beberapa petua menghilangkan bau ketiak yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:
1. Cukur Bulu Ketiak
Bulu ketiak boleh memerangkap lembapan dan mewujudkan satu persekitaran yang ideal untuk bakteria membiak. Mencukur secara berkala boleh mengawal bau ketiak atau badan.
2. Pakai Baju Kapas
Bagi anda yang kuat berpeluh, memakai pakaian yang menyerap peluh seperti baju kain kapas dapat membantu mengurangkan bau badan termasuklah bau ketiak dan membolehkan kulit untuk bernafas.
Untuk aktiviti riadah atau bersukan, anda boleh memilih untuk memakai pakaian fabrik sintetik yang boleh menyerap kelembapan pada badan anda.
3. Pakai Baju Bersih
Baju atau pakaian yang sudah terkena peluh dan tidak dibasuh menjadi tempat pembiakan bakteria yang disebabkan peluh.
Oleh itu, untuk mengatasi masalah bau ketiak ini, pakai pakaian atau baju yang bersih. Salin dan basuh pakaian yang telah digunakan terutamanya sekiranya anda melakukan senaman dan berpeluh.
Elakkan menggunakan semula baju yang telah dipakai atau yang sudah terkena peluh.
4. Menggunakan Air Perahan Lemon
Air perahan lemon mempunyai keasidan yang tinggi. Keasidan lemon ini boleh merendahkan pH kulit ketiak seterusnya menyukarkan bakteria bau dari terus hidup di bahagian ini.
Cara penggunaan:
- Ambil separuh daripada buah lemon.
- Gosokkan dibahagian ketiak.
- Biarkan sehingga lembapan akibat jus lemon ini mengering, kemudian bilas dengan air bersih.
- Sekiranya kulit anda sensitif, campurkan jus lemon dengan ini dengan separuh cawan air. Sapukan ke bahagian ketiak menggunakan kapas.
- Amalkan sekali sehari.
*Nota: Selain lemon, boleh juga menggunakan limau nipis atau limau purut.
5. Menggunakan Cuka Epal
Cuka epal mempunyai ciri-ciri antibakteria. Ini boleh membunuh bakteria yang menyebabkan bau busuk di ketiak. Penggunaan cuka epal yang konsisten boleh mengatasi masalah ketiak berbau.
Cara penggunaan:
- Tuangkan sedikit cuka epal dalam mangkuk.
- Celup kapas ke dalam cuka ini dan sapukan di bahagaian ketiak.
- Amalkan 2 kali sehari pada waktu pagi dan malam.
*Peringatan: Jangan gunakan cuka ini sebaik sahaja selepas bercukur.
6. Menggunakan Baking Soda (Soda Penaik)
Baking soda boleh membantu menghilangkan bau ketiak dengan mengekalkan kekeringan pada bahagian ketiak. Baking soda turut mempunyai ciri-ciri antibakteria. Penggunaannya boleh melawan bakteria penyebab bau di ketiak tersebut.
Cara penggunaan:
- Ambil sesudu makan baking soda.
- Campurkan ke dalam sesudu makan jus lemon.
- Sapukan di bahagian ketiak dan biarkan sekitar 2-3 minit.
- Kemudian, cuci bahagian tersebut atau mandi.
- Amalkan sekali sehari.
7. Aloe Vera
Aloe vera atau pokok lidah buaya adalah tumbuhan yang kaya dengan antioksidan dan mempunyai ciri-ciri antibakteria.
Oleh itu, menggunakan penggunaan aloe vera boleh membantu menyingkirkan bakteria yang menyebabkan bau ketiak.
Cara penggunaan:
- Ambil sedikit gel aloe vera menggunakan jari anda dan sapukan terus ke bahagian ketiak.
- Biarkan semalaman dan cuci keesokan harinya.
- Amalkan sekali sehari.
8. Hidrogen Peroksida (Hydrogen Peroxide)
Hidrogen peroksida banyak digunakan kerana sifat antiseptiknya. Ia kebiasaannya digunakan untuk mencegah jangkitan pada luka kecil atau digunakan sebagai pembilas mulut.
Hidrogen peroksida boleh digunakan untuk membunuh bakteria yang menyebabkan bau badan atau ketiak anda.
Cara penggunaan:
- Ambil sesudu teh 3% hidrogen peroksida dan campurkan ke dalam secawan air (240 ml).
- Sapukan campuran ini ke bahagian ketiak menggunakan kapas.
- Boleh dilakukan ketika anda berpeluh.
Rawatan atau cara untuk menghilangkan bau ketiak ini bergantung kepada punca atau tahap keterukan bau tersebut.
Selain petua yang disenaraikan ini, terdapat penyelesaian lain yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ketiak berbau ini iaitu dengan menggunakan deodoran dan ubat antipeluh belian kaunter.
- Deodoran: Deodoran boleh menyingkirkan bau tetapi tidak menghalang peluh. Kebiasaanya, deodoran ini berasaskan alkohol yang meningkatkan keasidan kulit bagi menyukarkan bakteria bau untuk hidup di bahagian ketiak anda.
- Ubat atau agen antipeluh: Agen antipeluh ini boleh menghalang atau mengurangkan peluh yang berlebihan pada kulit.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya pelbagai kaedah telah digunakan untuk menghilangkan bau ketiak ini, namun tidak berjaya. Anda mungkin patut berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat preskripsi yang lebih kuat.
Bagi mereka yang kuat berpeluh atau berpeluh berlebihan daripada orang biasa. Masalah ini dikenali sebagai hiperhidrosis. Penghidap hiperhidrosis biasanya berpeluh secara berlebihan di bahagian tapak tangan, kaki, ketiak dan muka.
Sekiranya, anda mengalami masalah ini, berjumpa dengan doktor adalah jalan terbaik untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.
Rumusan
Terdapat beberapa petua atau cara menghilangkan bau ketiak yang boleh diamalkan di rumah. Selain daripada mengamalkan rawatan di rumah ini, penjagaan kebersihan diri juga sedikit sebanyak boleh membantu.
Selain itu, amalkan gaya hidup sihat dan mengurus tekanan dengan baik bagi mengelakkan anda berpeluh berlebihan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. 2019. Sweating and body odor. MayoClinic .
- Stephanie S. Gardner. 2019. Preventing Body Odor. WebMD.
- Lanzalaco, A. et al. 2015. A comparative clinical study of different hair removal procedures and their impact on axillary odor reduction in men. Journal of Cosmetic Dermatology.
- Yagnik, D. Serafin, V. & Shah. A.J. 2018. Antimicrobial activity of apple cider vinegar against Escherichia coli, Staphylococcus aureus and Candida albicans; downregulating cytokine and microbial protein expression. Scientific Report.
- Radha, M.H. & Laxmipriya, N.P. 2014. Evaluation of biological properties and clinical effectiveness of Aloe vera: A systematic review. Journal of Traditional and Complementary Medicine.