Khasiat pokok misai kucing telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional. Menyedari khasiat ini, banyak kajian-kajian moden yang dijalankan untuk membuktikan khasiat pokok misai kucing dari sudut sains. Artikel ini akan menyenaraikan beberapa khasiat pokok misai kucing berdasarkan sokongan kajian-kajian sains.
Pokok misai kucing atau nama saintifiknya Orthosiphon stamineus adalah tumbuhan herba yang banyak ditanam di negara-negara Asia Tenggara dan Tropika.
Secara umumnya pokok misai kucing boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang berbunga putih atau berbunga ungu muda. Pokok misai kucing berbunga ungu muda ini mempunyai sebatian bioaktif yang lebih banyak berbanding yang berbunga putih.
Secara tradisionalnya, tumbuhan ini banyak digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan. Contohnya seperti sakit perut, keradangan buah pinggang, keradangan pundi kencing, gout, hipertensi (tekanan darah tinggi), sembab dan diuretik.
Berpandukan khasiat dan kegunaan pokok misai kucing ini dalam perubatan tradisional, para pengkaji mula mencari kandungan serta mekanisme yang menyumbang kepada nilai perubatan tumbuhan ini.
Berikut adalah 10 khasiat pokok misai kucing berdasarkan sokongan kajian-kajian sains.
1. Mengandungi Antioksidan
Pokok misai kucing menunjukkan aktiviti-aktiviti antioksidan. Antioksidan adalah sebatian yang penting diperlukan oleh badan untuk mengawal atau mencegah radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Sekiranya antioksidan berkurangan dalam badan dan radikal bebas melebihi antioksidan, ia akan menyebabkan tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain lagi.
Aktiviti antioksidan pada pokok misai kucing didapati tinggi pada bahagian akar (80%), batang (80%) dan sedikit rendah pada bahagian daun (78%).
Meskipun begitu, daun misai kucing yang kering masih tinggi dengan kandungan fenolik iaitu sebatian yang turut bertindak sebagai antioksidan. [1]
2. Bersifat Antiradang
Pokok misai kucing juga bersifat antiradang. Ini bermakna pokok ini boleh membantu mencegah atau mengurangkan keradangan yang berlaku pada badan.
Keradangan adalah tindak balas normal badan apabila terjadinya kecederaan atau jangkitan. Tetapi, keradangan yang berpanjangan (kronik) akan memberikan kesan negatif terhadap tisu dan organ badan.
Kesan antiradang daun misai kucing dapat diperhatikan dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daun misai kucing boleh mengurangkan keradangan yang berlaku terhadap haiwan tersebut. [2]
Kajian lain turut mendapati ekstrak misai kucing boleh mengurangkan keradangan dan mengurangkan simptom-simptom berkaitan dengan reumatoid artritis. [3]
Reumatoid artritis adalah penyakit autoimun dan keradangan yang menyebabkan sakit dibahagian sendi-sendi badan.
3. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Pokok misai kucing ini juga didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap sesetengah bakteria.
Satu kajian makmal yang dilakukan oleh pengkaji dari Universiti Sains Malaysia menunjukkan bahawa ekstrak misai kucing boleh merencatkan tumbesaran bakteria bawaan makanan iaitu Vibrio parahaemolyticus. [4]
Bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan akibat daripada pemakanan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
4. Boleh Melindungi Hati
Pokok misai kucing juga didapati berpotensi dalam melindungi hati daripada rosak.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak misai kucing boleh mengurangkan kecederaan pada sel-sel hati dan mengurangkan enzim-enzim yang menjadi petanda kepada kerosakan hati. [5]
Kajian lain yang dijalan oleh pengkaji dari Universiti Malaya mendapati ekstrak misai kucing turut mempunyai kesan perlindungan terhadap keradangan hati (sirosis hati). Kumpulan haiwan yang dirawat menggunakan dos ekstrak misai kucing yang tinggi menunjukkan pemulihan enzim-enzim yang menandakan kerosakan hati ke paras normal. [6]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat kesan misai kucing ini terhadap hati manusia.
5. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Paras gula darah yang tinggi boleh menjadi salah satu petanda kepada penyakit diabetes.
Pokok misai kucing juga didapati berpotensi digunakan sebagai ubat untuk merawat diabetes.
Khasiat misai kucing ini dapat diperhatikan dalam satu kajian yang melibatkan tikus yang normal dan menghidap diabetes. Pengambilan ekstrak misai kucing didapati boleh menurunkan paras gula darah bagi tikus yang normal dan yang menghidap diabetes. Kesan penurunan ini bergantung kepada dos yang diberikan. [7]
Satu kajian lain yang dijalankan terhadap tikus mengandung dan tidak mengandung turut mendapati ekstrak misai kucing boleh membantu menurunkan paras gula darah bagi kedua-dua kumpulan haiwan ini. [8]
Secara umumnya, dapat dilihat kesan positif ekstrak misai kucing terhadap paras gula dalam darah.
Namun begitu, kajian terhadap manusia masih diperlukan bagi melihat bagaimana kesan ekstrak misai kucing terhadap penghidap diabetes dalam kalangan manusia.
6. Boleh Merendahkan Tekanan Darah
Pokok misai kucing juga dilaporkan boleh membantu merendahkan tekanan darah atau menunjukkan aktiviti antihipertensi.
Satu kajian lama mendapati sebatian yang terdapat dalam daun misai kucing mempunyai kesan antihipertensi dengan menyebabkan penurunan tekanan darah sistolik dan kadar denyutan jantung. [9]
Satu metaanalsis yang melibatkan 2 kajian yang dijalankan terhadap manusia mendapati ekstrak misai kucing boleh menurunkan paras tekanan darah sistolik dan diastolik dengan ketara. Walau bagaimanapun, kajian ini melibatkan penggunaan ekstrak misai kucing beserta bahan-bahan lain. [10]
7. Mungkin Boleh Merendahkan Paras Kolesterol
Pokok misai kucing juga berkemungkinan berkhasiat dalam membantu merendahkan paras kolesterol.
Ekstrak misai kucing didapati boleh menurunkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan paras trigliserida (lemak) dalam darah bagi haiwan yang dirawat dengan ekstrak ini. [11]
Potensi pokok misai kucing yang memberangsangkan ini masih memerlukan lebih banyak kajian untuk menguatkan lagi hasil kajian yang ditemui ini.
8. Mungkin Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Pokok misai kucing juga dilihat berpotensi dijadikan sebahagian daripada menu diet bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Sifat antiobesiti misai kucing ini dapat dilihat dalam beberapa kajian awal.
Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus yang diberikan diet tinggi lemak mendapati ekstrak daun misai kucing menyebabkan penurunan berat badan bagi haiwan yang diuji tersebut tanpa pengurangan pengambilan kalori. [11]
Ini menunjukkan pengurangan berat tersebut bukan disebabkan oleh pengurangan pengambilan kalori.
Kajian lain pula mendapati ekstrak misai kucing menyebabkan pengurangan selera makan dan lemak viseral (lemak di sekeliling organ di bahagian abdomen) bagi haiwan yang dikaji. Kesan ini dipercayai disumbang oleh pengurangan hormon yang merangsang pengambilan makanan. [12]
9. Baik untuk Sistem Penghadaman
Khasiat pokok misai kucing yang seterusnya adalah tumbuhan herba ini mempunyai kesan perlindungan terhadap sistem penghadaman.
Kesan perlindungan oleh daun misai kucing dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan haiwan. Kajian ini mendapati ekstrak daun misai kucing boleh mengurangkan luka (ulser) pada pelapik perut melalui rangsangan perembesan mukus dan pencegahan pemperoksidaan lipid. [13]
Kajian lain turut mendapati ekstrak daun misai kucing menunjukkan ciri-ciri antiulser terhadap ulser dalam perut yang disebab aspirin. Selain itu, kandungan antioksidan dalam ekstrak daun misai kucing juga turut membantu penyembuhan ulser tersebut. [14]
10. Berpotensi Mencegah Kanser
Pokok misai kucing juga turut mempunyai potensi dalam membantu mencegah kanser.
Kajian tabung uji mendapati ekstrak daun misai kucing boleh merencatkan kebolehhidupan sel-sel kanser hati. [15]
Kajian lain turut mendapati ekstrak misai kucing juga boleh dijadikan rawatan sokongan terhadap ubat antikanser dalam melawan kanser pankreas. [16]
Pokok misai kucing menunjukkan khasiat yang memberangsangkan dalam pencegahan kanser. Kajian-kajian lanjutan harus diperbanyakkan lagi terutamanya melibatkan kajian klinikal.
Rumusan
Pokok misai kucing adalah tumbuhan herba yang mempunyai banyak manfaat.
Seperti penggunaan dalam perubatan tradisional, kajian-kajian perubatan moden juga turut mendapati tumbuhan ini mempunyai banyak khasiat terhadap kesihatan manusia.
Pokok misai kucing didapati boleh mengurangkan keradangan, mencegah bakteria, melindungi hati, menurunkan paras gula, menurunkan tekanan darah tinggi dan lain-lain lagi.
Kajian-kajian berterusan terutamanya kajian klinikal (kajian terhadap manusia) masih diperlukan untuk mengetahui dos yang sesuai dan ketoksikan yang mungkin wujud.
Rujukan
- Farhan, M. et al. (2012). Antioxidant activity and phenolic content of different parts of Orthosiphon stamineus grown under different light intensities. Journal of Tropical Forest Science.
- Yam, M. F. et al. (2010). HPLC and anti-inflammatory studies of the flavonoid rich chloroform extract fraction of Orthosiphon stamineus leaves. Molecules.
- Tabana, Y. M. et al. (2016). Cat’s whiskers (Orthosiphon stamineus) tea modulates arthritis pathogenesis via the angiogenesis and inflammatory cascade. BMC complementary and alternative medicine.
- Ho, C.H. (2010). In vitro antibacterial and antioxidant activities of Orthosiphon stamineus Benth. extracts against food-borne bacteria. Food Chemistry.
- Yam, M. F. et al. (2007). Antioxidant and hepatoprotective effects of Orthosiphon stamineus Benth. standardized extract. The American journal of Chinese medicine.
- Alshawsh, M. A. et al. (2011). Hepatoprotective Effects of Orthosiphon stamineus Extract on Thioacetamide-Induced Liver Cirrhosis in Rats. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Sriplang, K. et al. (2007). Effects of Orthosiphon stamineus aqueous extract on plasma glucose concentration and lipid profile in normal and streptozotocin-induced diabetic rats. Journal of ethnopharmacology.
- Lokman, E. F. et al. (2019). Orthosiphon stamineus as a potential antidiabetic drug in maternal hyperglycemia in streptozotocin-induced diabetic rats. Integrative medicine research.
- Ohashi, K., Bohgaki, T., & Shibuya, H. (2000). [Antihypertensive substance in the leaves of kumis kucing (Orthosiphon aristatus) in Java Island].Yakugaku zasshi : Journal of the Pharmaceutical Society of Japan.
- Boonlerdkerdkrai, W. & Kwankhao, P. (2020). A Meta-analysis on Efficacy of Orthosiphon stamineus Extract in Hypertension Treatment. Journal of Thai Traditional and Alternative Medicine.
- Seyedan, A. et al. (2017). Antiobesity and Lipid Lowering Effects of Orthosiphon stamineus in High-Fat Diet-Induced Obese Mice. Planta medica.
- Son, JY.et al.(2011). Orthosiphon stamineus reduces appetite and visceral fat in rats. J. Korean Soc. Appl. Biol. Chem.
- Yam, M. F. et al. (2009). Orthosiphon stamineus leaf extract protects against ethanol-induced gastropathy in rats. Journal of medicinal food.
- Yuniarto, Ari. (2017). Antioxidant And Gastric Ulcer Healing Effect of Orthosiphon Stamineus (Benth.) Leaves Extract in Aspirin-Induced Rats. Asian Journal of Pharmaceutical and Clinical Research.
- Salleh, S.A. et al. (2011). In vitro chemopreventive activity of an ethyl acetate fraction derived from hot water extract of Orthosiphon stamineus in HepG2 cells. Journal of Medicinal Plants Research.
- Ashwaq H.S. Yehya. et al. (2020). Complementary effects of Orthosiphon stamineus standardized ethanolic extract and rosmarinic acid in combination with gemcitabine on pancreatic cancer. Biomedical Journal.