Kekurangan vitamin B5 adalah amat jarang berlaku tetapi ia masih boleh berlaku kepada sesetengah orang. Terdapat beberapa tanda atau gejala yang menunjukkan seseorang itu mungkin kekurangan vitamin B5.
Vitamin B5 atau turut dikenali sebagai asid pantotenik adalah vitamin yang membantu menukarkan makanan kepada tenaga. Selain itu, ia juga penting dalam menghasil dan memecahkan lemak.
Vitamin B5 boleh diperolehi dalam banyak makanan yang biasa dimakan oleh kita semua. Sesetengah makanan juga turut diperkaya dengan vitamin B5. Maka, kekurangan vitamin B5 jarang berlaku terutamanya di negara-negara maju dan sesetengah negara membangun.

Vitamin B5 boleh dijumpai dalam hampir semua jenis makanan berasaskan tumbuhan dan haiwan kerana vitamin ini boleh dijumpai dalam sel-sel hidup.
Antara sumber yang tinggi dengan vitamin B5 adalah:
- Daging lembu
- Hati lembu
- Dada ayam
- Cendawan
- Avokado
- Telur
Tanda-tanda atau Gejala Kekurangan Vitamin B5
Oleh sebab vitamin B5 boleh dijumpai dalam banyak makanan, kekurangan vitamin B5 jarang berlaku kecuali kepada mereka yang mengalami malnutrisi atau menghidap penyakit keturunan iaitu pantothenate kinase-associated neurodegeneration.
Antara tanda-tanda atau gejala kekurangan vitamin B5 yang boleh diperhatikan adalah:
- Kelesuan
- Sakit Kepala
- Gangguan tidur atau insomnia
- Loya dan muntah
- Sakti perut
- Kekejangan otot
- Kebas atau rasa terbakar di kaki dan tangan
- Kerengsaan
- Jangkitan saluran pernafasan atas
- Hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah)
- Pedih hulu hati
- Cirit-birit (diarea)
- Hilang selera makan
- Kegelisahan
Tanda-tanda dan gejala kekurangan vitamin B5 ini juga boleh menjadi gejala bagi penyakit lain. Maka, adalah penting untuk anda mendapatkan pengesahan dan rawatan daripada ahli profesional kesihatan (doktor).
Punca yang Menyebabkan Kekurangan Vitamin B5
Kekurangan vitamin B5 boleh berpunca daripada malnutrisi iaitu pemakanan yang tidak seimbang.
Ia berlaku apabila seseorang mempunyai terlalu banyak atau terlalu sedikit makanan atau nutrien penting. Individu tersebut mungkin kekurangan vitamin, mineral atau bahan penting yang lain yang diperlukan badan untuk berfungsi.
Dalam konteks kekurangan vitamin B5, mereka yang mengalami kekurangan mungkin hanya mempunyai akses kepada sejenis makanan sahaja atau sukar mendapat makanan.
Selain itu, kekurangan vitamin B5 juga boleh berlaku kepada mereka yang menghidap penyakit keturunan yang jarang jumpa seperti pantothenate kinase-associated neurodegeneration.
Penyakit ini menyebabkan badan pesakit tidak dapat menggunakan asid pantotenik atau vitamin B5 dengan baik.
Kekurangan vitamin B5 juga dikatakan memainkan peranan penting dalam penyakit Alzheimer, penyakit Huntington, neurodegenerasi dan kehilangan mielin (melibatkan sel saraf dan neuron).
Rawatan
Kekurangan vitamin B5 boleh diatasi dengan pengambilan makanan tambahan (suplemen) vitamin B5.
Sekiranya kekurangan yang berlaku adalah teruk, doktor mungkin memberikan vitamin B5 melalui suntikan.
Anda boleh mengelak daripada mengalami kekurangan vitamin B5 dengan makan makanan yang tinggi vitamin B5 dan menggabungkan pelbagai jenis makanan dalam menu harian.
Rujukan
- Sanvictores T, Chauhan S. Vitamin B5 (Pantothenic Acid) [Updated 2023 Jun 19]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Felman, A. (2023). What to know about vitamin B5. MedicalNewsToday