Vitamin B5 atau nama lainnya asid pantotenik mungkin tidak popular seperti vitamin B yang lain tetapi turut memainkan peranan penting untuk kesihatan badan. Bagi anda yang tidak tahu akan fungsi dan kebaikan vitamin B5, teruskan membaca.
Vitamin B5 adalah vitamin larut air dalam kumpulan vitamin B kompleks. Seperti vitamin B1, B2, dan B3, vitamin B5 juga turut membantu menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga.
Kekurangan vitamin B5 adalah amat jarang berlaku. Hal ini demikian kerana terdapat banyak makanan yang mengandungi vitamin ini.
Vitamin B5 adalah vitamin larut air. Ini bermakna badan manusia tidak menyimpan lebihan vitamin ini. Ia biasanya akan disingkirkan daripada badan.
Vitamin B5 mempunyai banyak fungsi penting kepada badan manusia. Ini termasuklah:
- Menukar makanan kepada glukosa (tenaga)
- Menghasil dan memecahkan lemak
- Menghasilkan hormon seks dan hormon berkaitan tekanan
- Menghasilkan sel-sel darah merah
- Diperlukan untuk sistem saraf dan hati berfungsi dengan baik
Selain itu, vitamin B5 turut diperlukan mengekalkan kesihatan sistem penghadaman. Ia juga turut membantu badan menggunakan vitamin lain terutamanya vitamin B2.
Secara umumnya, lelaki dan wanita dewasa disarankan untuk mendapatkan 5 miligram (mg) vitamin B5 sehari.
Cara terbaik untuk anda mendapatkan vitamin B5 yang mencukupi adalah dengan mengamalkan diet seimbang dan sihat setiap hari.
Vitamin B5 banyak terkandung dalam makanan harian. Berikut adalah antara makanan yang tinggi dengan vitamin B5:
- Ikan berlemak
- Daging lembu
- Telur
- Buah avokado
- Buah aprikot
- Cendawan Shiitake
- Spirulina
- Biji bunga matahari
- Keju
- Beras perang
- Kubis bunga
- Brokoli
Berikut adalah beberapa kebaikan vitamin B5 kepada kesihatan tubuh badan manusia yang disokong oleh penyelidikan:
1. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Vitamin B5 didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol darah atau lemak.
Kebaikan vitamin B5 ini dapat dilihat dalam satu kajian pada 2014 yang mendapati pengambilan vitamin B5 pada dos 600 mg sehari dan 900 mg sehari boleh menurunkan paras kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dengan ketara. [1]
Hasil kajian ini setakat ini agak menarik, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami kesan suplemen diet vitamin B5 yang diambil secara bersendirian atau digabungkan dengan diet yang baik untuk jantung.
2. Baik untuk Kesihatan dan Kecantikan Kulit
Vitamin B5 sering kali ditambah kepada produk rambut dan kulit, serta barang-barang persolekan.
Dexpanthenol iaitu bahan kimia yang diperbuat daripada vitamin B5, digunakan dalam krim dan losyen yang direka untuk melembapkan kulit.
Satu kajian menunjukkan pengambilan vitamin B5 sebagai suplemen boleh membantu mengurangkan jerawat dan mengurangkan keradangan akibat jerawat bagi orang dewasa yang sihat. [2]
3. Berpotensi Merawat Penyakit Artritis Reumatoid
Penyakit artritis reumatoid adalah sejenis penyakit autoimun yang menyebabkan kesakitan, bengkak dan keradangan pada sendi-sendi badan.
Selalunya, ia menjejaskan bahagian sendi kaki dan tangan. Tetapi, ia boleh juga berlaku pada sendi-sendi badan yang lain.
Terdapat kajian yang mendedahkan bahawa pesakit artritis reumatoid mempunyai paras vitamin B5 dalam darah yang rendah berbanding individu yang sihat.
Satu percubaan klinikal pada 1980 menunjukkan bahawa pada dos yang tinggi (2 g/hari), vitamin B5 dalam bentuk calcium pantothenate boleh mengurangkan gejala-gejala artritis reumatoid seperti kekejangan, kesakitan dan ketidakupayaan. [3]
Meskipun begitu, masih banyak kajian yang diperlukan untuk mengesahkan dapatan ini.
4. Membantu Penyembuhan Luka
Vitamin B5 juga boleh membantu mempercepat penyembuhan luka terutamanya luka selepas pembedahan.
Penggunaan vitamin B5 dalam bentuk dexpanthenol didapati menunjukkan kesan penyembuhan yang baik bagi pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan sinus dan tonsil. [4, 5]
5. Berpotensi Mengurangkan Risiko Aterosklerosis
Aterosklerosis adalah suatu penyakit pada arteri, apabila plak-plak berlemak berkembang pada dinding dalam, menyebabkan penyekatan aliran darah.
Keradangan peringkat rendah yang ditunjukkan oleh peningkatan protein C-reaktif merupakan tanda awal kepada aterosklerosis.
Satu kajian terhadap 908 individu berusia 40 tahun ke atas mendapati pengambilan vitamin B5 boleh menurunkan kepekatan protein C-reaktif dalam kalangan lelaki dan wanita yang berumur 40 tahun atau lebih. [6]
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
Risiko dan Kesan Sampingan
Kekurangan vitamin B5 adalah amat jarang berlaku. Ia hanya berlaku sekiranya seseorang itu tidak seimbang pemakanannya.
Antara simptom-simptom kekurangan vitamin B5 adalah:
- Sakit kepala
- Kelesuan
- Masalah gastrousus
- Kerengsaan
- Koordinasi otot terjejas
Secara umumnya, vitamin B5 adalah selamat dimakan terutamanya dalam bentuk makanan semula jadi.
Sekiranya diambil dalam bentuk suplemen, dos di bawah 10 g sehari masih dianggap selamat.
Walau bagaimanapun, pengambilan suplemen vitamin B5 pada dos 10 g sehari boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sakit perut dan cirit-birit.
Sekiranya anda ada mengambil ubat-ubat berikut, sila dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil suplemen vitamin B5:
- Azithromycin (antibiotik)
- Clarithromycin (antibiotik)
- Erythromycin (antibiotik)
- Roxithromycin (antibiotik)
- Donepezil (ubat penyakit Alzheimer)
- Memantine hydrochloride (ubat penyakit Alzheimer)
- Galantamine (ubat penyakit Alzheimer)
- Rivastigime (ubat penyakit Alzheimer)
Ubat-ubat mempunyai interaksi dengan vitamin B5.
Rumusan
Vitamin B5 ialah vitamin penting yang membantu badan anda membuat sel darah dan menukar makanan kepada tenaga.
Selagi anda mengamalkan diet seimbang dan sihat yang menggabungkan pelbagai jenis makanan, tidak mungkin anda akan mengalami kekurangan vitamin B5 atau memerlukan makanan tambahan (suplemen).
Selain mempunyai pelbagai fungsi untuk badan, terdapat kebaikan lain yang boleh diperolehi daripada vitamin B5. Contohnya seperti membantu menurunkan paras kolesterol, mengurangkan jerawat dan lain-lain.
Rujukan
- Evans, M. et al. (2014). Pantethine, a derivative of vitamin B5, favorably alters total, LDL and non-HDL cholesterol in low to moderate cardiovascular risk subjects eligible for statin therapy: a triple-blinded placebo and diet-controlled investigation. Vascular health and risk management.
- Yang, M. et al. (2014). A randomized, double-blind, placebo-controlled study of a novel pantothenic Acid-based dietary supplement in subjects with mild to moderate facial acne. Dermatology and therapy.
- Calcium pantothenate in arthritic conditions. A report from the General Practitioner Research Group. (1980). The Practitioner.
- Tantilipikorn, P. et al. (2012). A randomized, prospective, double-blind study of the efficacy of dexpanthenol nasal spray on the postoperative treatment of patients with chronic rhinosinusitis after endoscopic sinus surgery. Journal of the Medical Association of Thailand.
- Celebi, S. et al. (2013). Efficacy of dexpanthenol for pediatric post-tonsillectomy pain and wound healing. The Annals of otology, rhinology, and laryngology.
- Jung, S. et al. (2017). The long-term relationship between dietary pantothenic acid (vitamin B5) intake and C-reactive protein concentration in adults aged 40 years and older. Nutrition, metabolism, and cardiovascular disease.