Apa itu Sindrom Tourett?
Sindrom Tourett atau turut dikenali sebagai kecelaruan Tourett (Tourette’s disorder) adalah kecelaruan neurologi yang dicirikan dengan pergerakan atau suara yang tiba-tiba, berulang-ulang, pantas dan pergerakan yang tidak dikehendaki. Ciri-ciri ini dipanggil tik atau gerenyet.
Sindrom Tourett adalah salah satu daripada kumpulan gangguan saraf yang berkembang yang dipanggil kecelaruan tik.
Tik atau gerenyet ini boleh datang dan pergi, berbeza-beza dari segi jenis, lokasi, kekerapan dan keterukannya. Lazimnya, simptom-simptom awal berlaku kepada kanak-kanak berumur antara 5 hingga 10 tahun.
Kawasan kepala dan leher adalah kawasan yang lazimnya menunjukkan simptom-simptom awal. Kemudiannya, ia boleh merebak ke bahagian otot atau anggota badan yang lain seperti tangan dan kaki.
Tik ini terbahagi kepada dua iaitu tik motor dan tik vokal. Kedua-dua tik ini boleh bersifat ringkas atau kompleks.
Kebanyakan individu yang mengalami sindrom tourett ini akan mengalami simptom-simptom tik yang teruk semasa alam remaja dan kemudiannya berkurangan sehingga boleh dikawal di awal usia 20-an.
Tetapi, terdapat juga sesetengah individu yang mengalami simptom-simptom Tourett ini sehingga dewasa.
Simptom-simptom
Simptom utama kepada sindrom Tourett ini adalah tik. Tik ini melibatkan motor (pergerakan) atau vokal (bunyi) yang dikelaskan pula kepada ringkas atau kompleks.
Simptom pertama selalunya melibatkan tik motor yang berlaku di bahagian kepala dan leher. Tik ini biasanya akan menjadi teruk semasa kanak-kanak tersebut stres atau teruja.
Tik boleh dikelaskan kepada 2 iaitu:
- Tik ringkas. Pergerakan yang tiba-tiba, berulang-ulang dan singkat yang melibatkan kumpulan otot yang terhad. Tik jenis ini lebih lazim berlaku.
- Tik kompleks. Corak pergerakan yang berbeza dan selaras yang melibatkan beberapa kumpulan otot.
Contoh-contoh Tik Motor yang Boleh Dilihat dalam Sindrom Tourett
Tik motor ringkas
- Kerdipan mata atau pergerakan mata yang lain
- Muka mengerut
- Mengangkat bahu
- Kepala atau bahu menyentak
- Hentakan kaki
Tik motor kompleks
- Gabungan muka mengerut, pulasan kepala dan sentakan bahu
- Menyentuh atau menghidu objek
- Melompat-lompat
- Membongkok atau berpusing
Contoh-contoh Tik Vokal yang Boleh Dilihat dalam Sindrom Tourett
Tik vokal ringkas
- Berdehem
- Bunyi mendengus
- Menghidu
- Menyalak
Tik vokal kompleks
- Mengulangi frasa atau perkataan sendiri
- Mengulangi frasa atau perkataan orang lain
- Menggunakan kata-kata kesat, lucah atau menyumpah
Punca
Punca sebenar yang menyebabkan sindrom Tourett tidak diketahui dengan tepat. Sindrom ini mungkin disebabkan oleh gabungan antara genetik dan faktor persekitaran.
Kajian-kajian terkini menunjukkan sindrom Tourett mungkin disebabkan oleh keabnormalan di bahagian tertentu otak, litar yang menghubungkan bahagian-bahagian ini dan pengutus neuro yang bertanggungjawab terhadap komunikasi antara sel-sel saraf.
Terdapat faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko seseorang itu untuk mengalami sindrom ini. Antaranya adalah:
- Keturunan. Mempunyai ahli keluarga yang mempunyai sejarah sindrom Tourett atau kecelaruan tik boleh meningkatkan risiko seseorang itu kepada sindrom ini.
- Jantina. Orang lelaki 3 atau 4 kali lebih berisiko mendapat sindrom Tourett berbanding perempuan.
Komplikasi
Ramai individu yang mengalami sindrom Tourett turut mengalami cabaran yang melibatkan tingkah laku dan sosial.
Walaupun kebanyakan penghidap sindrom ini mengalami pengurangan yang ketara terhadap tik motor atau vokal pada usia lewat remaja atau awal dewasa, namun masalah berkaitan tingkah laku neuro berterusan hingga ke dewasa.
Masalah atau gangguan yang sering dikaitkan dengan sindrom Tourett adalah:
- Gangguan Kurang Tumpuan atau Hiperaktif (ADHD)
- Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD)
- Keresahan
- Masalah pembelajaran
- Masalah tidur
- Kemurungan
- Masalah dalam perhubungan sosial atau kekurangan skil sosial
- Mengalami masalah untuk mengatur atau bertindak balas terhadap maklumat berkaitan deria seperti rasa, sentuhan, bau, bunyi atau pergerakan
- Sakit berkaitan dengan tik seperti sakit kepala
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorder (DSM-5), untuk seseorang itu didiagnosis sebagai menghidap sindrom Tourett, ahli profesional kesihatan akan melihat kriteria-kriteria berikut:
- Beberapa tik motor serta satu atau lebih tik vokal telah berlaku semasa mengalami penyakit ini walaupun ia tidak berlaku serentak
- Kekerapan tik yang berlaku mungkin meningkat dan menurun tetapi telah berkekalan selama sekurang-kurangnya 1 tahun daripada permulaan ia berlaku
- Tik ini berlaku sebelum umur 18 tahun
- Tik ini tidak disebabkan oleh ubat-ubatan, penyalahgunaan dadah atau masalah kesihatan yang lain
Buat masa ini, tiada ujian makmal atau ujian genetik khusus untuk mendiagnosis sindrom Tourett.
Dalam kes-kes terpencil, pengimejan resonans magnet (MRI), imbasan tomografi berkomputer (CT scan), kajian elektroensefalogram (EEG) atau ujian darah mungkin digunakan untuk membezakan penyakit lain yang mungkin terkeliru dengan sindrom Tourett.
Rawatan
Sindrom Tourett tidak mempunyai penawar tetapi rawatan boleh membantu mengurangkan simptom-simptom yang terjadi.
Sesetengah penghidap sindrom Tourett tidak memerlukan rawatan kerana simptom-simptom tik yang berlaku adalah ringan dan tidak menyebabkan kecacatan.
Terdapat ubat-ubatan dan terapi yang boleh membantu merawat simptom-simptom Tourett yang boleh menjejaskan aktiviti harian.
1. Ubat-ubatan
- Ubat-ubatan yang menyekat atau mengurangkan dopamina. Ubat jenis ini boleh membantu mengawal tik. Contohnya seperti fluphenazine, haloperidol, risperidone dan pimozide.
- Agonis alfa adrenergik. Ubat jenis ini biasanya digunakan untuk merawat hipertensi tetapi boleh juga digunakan untuk merawat tik. Contohnya seperti clonidine dan guanfacine.
- Ubat ADHD. Ubat jenis ini boleh digunakan untuk merawat simptom-simptom ADHD yang berlaku dalam kalangan penghidap sindrom Tourett. Contohnya seperti methylphenidate dan dextroamphetamine.
- Ubat antidepresi. Ubat jenis ini berkesan untuk mengawal simptom-simptom kemurungan, OCD dan keresahan yang berlaku kepada penghidap sindrom ini. Contohnya seperti clomipramine, fluoxetine, fluvoxamine, paroxetine dan sertraline.
2. Terapi
- Terapi tingkah laku. Terapi seperti Cognitive Behavioral Intervention for Tics (CBIT) boleh mengurangkan simptom-simptom tik. Ia melibatkan latihan untuk bergerak secara sukarela sebagai tindak balas terhadap desakan awal. Terapi sokongan pula boleh membantu penghidap sindrom ini untuk berhadapan dengan penyakit ini serta masalah emosi atau sosial yang mungkin berlaku.
- Psikoterapi. Psikoterapi boleh membantu pesakit untuk berhadapan dengan sindrom ini dan gangguan mental yang lain seperti kemurungan, keresahan, OCD dan ADHD.
Rujukan
- Office of Communications and Public Liaison. (2021). Tourette Syndrome Fact Sheet. NIH.
- Mayo Clinic Staff. (2018). Tourette Syndrome. MayoClinic.
- Jones KS, Saylam E, Ramphul K. Tourette Syndrome And Other Tic Disorders. [Updated 2021 Jul 19]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK499958/