Apa itu Sayur dan Buah Nightshade?
Sayur dan buah nightshade adalah kumpulan tumbuhan daripada keluarga Solanaceae. Ia termasuklah tomato, terung, ubi kentang dan cili.
Istilah “nightshade” dikatakan diberi bagi menggambarkan sifat tumbuhan jenis ini yang lebih suka tumbuh dan berbunga pada waktu malam dan kawasan yang teduh.
Sayur dan buah jenis ini adalah unik kerana mengandungi sejumlah kecil alkaloid. Alkaloid ialah bahan kimia yang lazimnya dijumpai dalam tumbuhan.
Dalam perspektif perubatan, untuk sesuatu dianggap sebagai alkaloid, ia mestilah mengandungi nitrogen dan boleh menjejaskan badan manusia.
Sayur-sayuran dan buah-buahan daripada kumpulan nightshade mengandungi alkaloid yang dikenali sebagai solanine. Solanine boleh menjadi toksik sekiranya dimakan pada kepekatan yang tinggi.
Walau bagaimanapun, sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kumpulan ini yang dijual di pasaran adalah selamat dimakan.
Hal ini demikian kerana, jumlah sebatian toksik ini akan berkurangan kepada paras tidak toksik apabila sayur dan buah tersebut telah masak atau matang.
Meskipun begitu, terdapat beberapa spesies tumbuhan dalam keluarga Solanaceae yang sememangnya toksik. Contohnya seperti tumbuhan belladonna atau turut dipanggil deadly nightshade.
Tumbuhan ini adalah toksik dan tidak boleh dimakan.
Senarai Sayur dan Buah Nightshade
Berikut adalah senarai sayur dan buah nightshade yang boleh dimakan dan lazimnya dijual di pasar atau kedai runcit:
- Ubi kentang
- Tomato
- Terung
- Lada benggala
- Cili padi
- Goji berry
- Beri biru
- Bendi
- Tomatillos
Tomato, terung dan cili sering kali dianggap sebagai sayur-sayuran. Walau bagaimanapun, secara teknikalnya ia adalah buah. Buah adalah bahagian tumbuhan yang boleh dimakan yang berkembang daripada bunga dan mengandungi biji.
Sayur-sayuran ialah bahagian lain tumbuhan yang boleh dimakan seperti akar, batang atau daun. Ubi kentang adalah contoh sayur-sayuran.
Adakah Sayur dan Buah Nightshade Tidak Baik untuk Kesihatan?
Sesetengah alkaloid boleh mendatangkan kesan positif terhadap kesihatan manusia dan sesetengahnya pula boleh mendatangkan kesan negatif.
Solanine adalah alkaloid yang terkandung dalam sayur dan buah nightshade. Ia berfungsi sebagai racun serangga semasa tumbuhan ini membesar.
Memakan solanine pada kadar yang banyak boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa.
Sebagai contoh, apabila ubi kentang berubah warna kepada hijau, ubi kentang ini mengandungi alkaloid yang tinggi di dalamnya dan ia berasa lebih pahit.
Oleh sebab itu, ramai orang mencadangkan agar ubi kentang yang berubah warna kepada hijau atau bercambah perlu dibuang.
Sekiranya anda memakan ubi kentang yang berwarna hijau ini, anda mungkin akan mengalami sakit perut, loya atau cirit-birit. Anda juga mungkin mengalami sakit kepala dan demam.
Biasanya, sayur dan buah nightshade yang boleh dimakan ini mempunyai jumlah alkaloid yang boleh diterima di dalamnya.
Anda mungkin merasakan beberapa kesan jika anda makan antara 2 hingga 5 miligram solanine setiap kilogram berat badan. Jika anda mempunyai berat sekitar 70 kilogram, anda perlu mengambil sekurang-kurangnya 140 miligram solanine untuk berasa sakit.
Terdapat sesetengah tuntutan yang menyatakan bahawa sayur dan buah nightshade boleh menyebabkan keradangan.
Kajian pada tahun 2020 mencadangkan agar mengelakkan sayur-sayuran nightshade dalam diet antiradang. [1]
Terdapat juga kajian lain yang melaporkan bahawa sebatian solanine boleh meningkatkan kebocoran usus dan menjejaskan bakteria usus dan secara tidak langsung meningkatkan keradangan berkaitan dengan artritis (sakit sendi). [2]
Pada asasnya, tidak ada bukti yang jelas yang menunjukkan sayur-sayuran dan buah-buahan nightshade menyebabkan keradangan secara terus.
Bagaimana ingin tahu jika nightshade tidak baik untuk anda?
Pakar mengesyorkan anda menghentikan pengambilannya daripada diet harian anda selama beberapa minggu.
Kemudian, perkenalkan semula makanan nightshade ini dan perhatikan apa yang anda rasa. Jika anda berasa lebih teruk selepas pengenalan semula, anda mungkin sensitif terhadap sayur-sayuran dan buah-buahan nightshade tersebut.
Kebaikan Sayur dan Buah Nightshade
Sayur-sayuran dan buah-buahan bagi kumpulan ini turut mempunyai nutrien yang berkhasiat kepada badan.
Ia turut mengandungi antioksidan yang boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada kerosakan akibat daripada radikal bebas.
Sebagai contoh, buah terung dan beri biru mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai antosianin.
Selain bertindak sebagai pigmen yang memberikan warna ungu dan biru kepada buah-buahan tersebut, antosianin juga turut berkhasiat dalam mencegah kanser, bersifat antiradang, boleh membantu menurunkan paras kolesterol dan lain-lain lagi.
Begitu juga dengan buah tomato, ia kaya dengan antioksidan yang dikenali sebagai likopena. Likopena boleh mengurangkan risiko kepada sesetengah kanser dan penyakit jantung.
Tambahan lagi, sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kumpulan nightshade ini juga turut kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin C dan A.
Nutrien-nutrien ini menjadikan sayur-sayuran dan buah-buahan tersebut berkhasiat dan khasiatnya mungkin mengatasi keburukannya.
Rumusan
Sayur dan buah nightshade adalah kumpulan makanan daripada keluarga Solanaceae yang mengandungi alkaloid.
Sesetengah orang mungkin sensitif terhadap kumpulan ini. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang kukuh yang boleh mengaitkan kumpulan nightshade ini dengan peningkatan keradangan atau simptom-simptom artritis yang lain.
Sayur-sayuran dan buah-buahan ini juga turut kaya dengan pelbagai antioksidan, mineral dan vitamin. Justeru itu, anda tidak seharusnya mengelak daripada makanan ini melainkan anda mempunyai alahan atau sensitif terhadap keluarga nightshade.
Rujukan
- Bustamante, M. F. et al. (2020). Design of an anti-inflammatory diet (ITIS diet) for patients with rheumatoid arthritis. Contemporary clinical trials communications.
- Zwickey, H. et al. (2019). Effect of the Anti-Inflammatory Diet in People with Diabetes and Pre-Diabetes: A Randomized Controlled Feeding Study. Journal of restorative medicine.