Lada benggala atau nama saintifiknya Capsicum annum adalah buah daripada keluarga Solanaceae atau popular dengan nama keluarga nightshade. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa lada benggala mempunyai banyak khasiat.
Justeru itu, artikel kali ini akan menyenaraikan beberapa khasiat lada benggala kepada kesihatan yang disokong kajian saintifik.
Walaupun lada benggala ini buah, namun biasanya ia dimakan dan dianggap seperti sayur-sayuran.
Dalam bahasa Inggeris, lada benggala dikenali dengan beberapa nama seperti bell peppers, sweet peppers atau capsicums. Biasanya lada benggala ini dimakan mentah atau dimasak.
Seperti saudara terdekatnya iaitu cili, lada benggala kadangkala dikeringkan dan diserbukkan. Dalam kes itu, ia dirujuk sebagai paprika.
Lada benggala juga boleh didapati dalam beberapa warna seperti hijau, kuning, oren dan merah. Lada benggala hijau (tidak masak) biasanya mempunyai rasa yang sedikit pahit dan tidak semanis lada benggala yang masak.
Lada benggala juga sebenarnya menyimpan 1001 khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan badan.
Antaranya adalah:
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Lada benggala mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan untuk fungsi badan.
Bagi 100 gram lada benggala merah yang segar, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 26 kcal
- Protein: 1.0 gram
- Karbohidrat: 6.0 gram
- Serat: 2.1 gram
- Kalsium: 7.0 miligram
- Zat besi: 0.43 miligram
- Magnesium: 12 miligram
- Fosforus: 26 miligram
- Kalium: 211 miligram
- Zink: 0.25 miligram
- Mangan: 0.11 miligram
- Vitamin C: 128 miligram
- Vitamin B1: 0.05 miligram
- Vitamin B2: 0.09 miligram
- Vitamin B3: 0.98 miligram
- Vitamin B5: 0.32 miligram
- Vitamin B6: 0.3 miligram
- Folat: 46 mikrogram
- Vitamin A: 157 mikrogram
- Vitamin E: 1.58 miligram
- Vitamin K: 4.9 mikrogram
2. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Lada benggala mengandungi sebatian antioksidan seperti kuersetin, luteolin, capsanthin dan violaxanthin. [2, 3]
Antioksidan-antioksidan ini mempunyai banyak khasiat kepada badan. Sebagai contoh, sebatian kuersetin boleh membantu mengurangkan keradangan dan berpotensi mencegah kanser. [4, 5]
3. Baik untuk Kesihatan Mata
Jenis kecacatan penglihatan yang paling biasa adalah degenerasi makular dan katarak yang berpunca daripada penuaan dan jangkitan.
Pengambilan makanan yang kaya dengan sebatian lutein dan zeaxantin seperti yang boleh dijumpai dalam lada benggala adalah salah satu cara untuk meningkatkan kesihatan mata. [6]
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan makanan yang kaya dengan lutein dan zeaxantin boleh mengurangkan risiko kepada degenerasi makular dan katarak. [7, 8]
4. Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Pemakanan lada benggala juga boleh membantu menguatkan sistem imun.
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam lada benggala boleh membantu meningkatkan fungsi sistem imun badan. [9]
Selain itu, kajian tabung uji turut menunjukkan bahawa serbuk lada benggala merah boleh menggalakkan penghasilan antibodi. [10]
Antibodi adalah protein yang melindungi anda apabila bahan yang tidak diingini memasuki badan anda. Dihasilkan oleh sistem imun, antibodi mengikat bahan yang tidak diingini ini untuk menghapuskannya daripada sistem anda.
5. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Lada benggala juga mempunyai khasiat dalam membantu mengawal paras gula darah yang bermanfaat kepada penghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian oleh pengkaji dari Korea Selatan mendapati lada benggala menunjukkan aktiviti perencatan α-glukosida. [11]
Kajian terhadap haiwan pula mendapati lada benggala merah yang dicampur dengan minyak zaitun menunjukkan aktiviti perencatan α-amilase dan α-glukosida. [12]
α-amilase dan α-glukosida ialah enzim yang berperanan mencernakan karbohidrat kepada gula ringkas. Proses ini akan meningkatkan paras gula darah selepas makan.
Oleh itu, perencatan kedua-dua enzim ini boleh membantu menurunkan paras gula darah selepas makan.
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Selain itu, lada benggala juga turut berpotensi dalam membantu mencegah dan merawat kanser.
Kajian pada tahun 2021 melaporkan bahawa ekstrak lada benggala merah menunjukkan aktiviti sitotoksik yang tinggi terhadap sel-sel kanser paru-paru manusia. [13]
Sitotoksik di sini bermaksud ekstrak lada benggala merah adalah toksik dan boleh membunuh sel-sel kanser.
Kajian lain yang melibatkan campuran polifenol (antioksidan) daripada lada benggala merah, kuning dan hijau turut mendapati ekstrak tersebut menunjukkan kesan sitotoksik terhadap sel-sel kanser gastrik, paru-paru dan serviks. [14]
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjut termasuklah kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan ciri-ciri antikanser lada benggala ini.
7. Bersifat Antibakteria
Lada benggala juga dilaporkan mempunyai ciri-ciri antibakteria.
Satu kajian menunjukkan bahawa ekstrak lada benggala merah dan kuning mempunyai aktiviti antibakteria yang baik terhadap bakteria Bacillus cereus, Escherichia coli, Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa. [13]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan, jangkitan salur darah dan pneumonia (radang paru-paru).
Satu kajian lain turut melaporkan bahawa ekstrak lada benggala menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria Salmonella typhimurium dan Pseudomonas aeruginosa yang terdapat pada daging lembu. [15]
Bakteria-bakteria ini juga boleh menyebabkan keracunan makanan.
Rumusan
Lada benggala kaya dengan pelbagai nutrien dan antioksidan terutamanya vitamin C dan karotenoid.
Warnanya yang menarik juga boleh menambah kepelbagaian dan tarikan terhadap makanan yang disediakan.
Kajian-kajian saintifik juga turut mendedahkan bahawa lada benggala mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan seperti kaya dengan antioksidan, membantu meningkatkan kesihatan mata, membantu menguatkan sistem imun dan lain-lain lagi.
Anda boleh memanfaatkan khasiat lada benggala ini dengan memasukkan lada ini dalam pemakanan harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Peppers, sweet, red, raw.
- Marín, A. et al. (2004). Characterization and quantitation of antioxidant constituents of sweet pepper (Capsicum annuum L.). Journal of agricultural and food chemistry.
- Sun, T. et al. (2007). Antioxidant activities of different colored sweet bell peppers (Capsicum annuum L.). Journal of food science.
- Javadi, F. et al. (2017). The Effect of Quercetin on Inflammatory Factors and Clinical Symptoms in Women with Rheumatoid Arthritis: A Double-Blind, Randomized Controlled Trial. Journal of the American College of Nutrition.
- Yang, F. et al. (2015). Quercetin in prostate cancer: Chemotherapeutic and chemopreventive effects, mechanisms and clinical application potential (Review). Oncology reports.
- Abdel-Aal, el-S. M. et al. (2013). Dietary sources of lutein and zeaxanthin carotenoids and their role in eye health. Nutrients.
- Seddon, J. M. et al. (1994). Dietary carotenoids, vitamins A, C, and E, and advanced age-related macular degeneration. Eye Disease Case-Control Study Group. JAMA.
- Vu, H. T. et al. (2006). Lutein and zeaxanthin and the risk of cataract: the Melbourne visual impairment project. Investigative ophthalmology & visual science.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Sarker, M. M. R. (2021). Evaluation of Red and Green Colored Bell peppers for the Production of Polyclonal IgM and IgG Antibodies in Murine Spleen Cells. Bangladesh Pharmaceutical Journal.
- Park, JH. et al. (2012). Antidiabetic activity of fruits and vegetables commonly consumed in Korea: Inhibitory potential against α-glucosidase and insulin-like action in vitro . Food Sci Biotechnol.
- Al-Obaidi W.M.L. (2015). Study of synergistic inhibitory effectiveness of mixed of sweet bell pepper extract and virgin olive oil in α-amylase and α-glucosidase activity in serum of male rats infected with experimental diabetes. Tikrit J. Pure Sci.
- Hu, X. et al. (2021). Effects of yellow and red bell pepper (paprika) extracts on pathogenic microorganisms, cancerous cells and inhibition of survivin. Journal of food science and technology.
- Jeong, W. Y. et al. (2011). Determination of polyphenols in three Capsicum annuum L. (bell pepper) varieties using high-performance liquid chromatography-tandem mass spectrometry: their contribution to overall antioxidant and anticancer activity. Journal of separation science.
- Careaga, M. et al. (2003). Antibacterial activity of Capsicum extract against Salmonella typhimurium and Pseudomonas aeruginosa inoculated in raw beef meat. International journal of food microbiology.