Kenali Halba
Halba atau nama saintifiknya trigonella foenum graecum merupakan sejenis herba yang sering digunakan dalam masakan. Halba ialah sejenis tumbuhan yang tergolong dalam kelompok famili fabaceae yang ditanam di seluruh dunia.
Jika di Malaysia, halba sering digunakan dalam masakan seperti kari dan nasi dagang Terengganu. Selain menambahkan rasa dalam makanan, halba juga mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan dan kecantikan.
Air Rebusan Halba dan Manfaatnya
Minuman halba sangat mudah diamalkan iaitu dengan merendam atau merebus biji halba dan diminum begitu sahaja.
Air halba ini juga boleh dicampur dengan bahan-bahan lain seperti madu, halia dan limau untuk mendapatkan lebih banyak khasiat dan manfaat terutamanya untuk kecantikan dan kesihatan kaum wanita.

Kecantikan
Air minuman halba mengandungi sebatian kimia yang menyerupai hormon estrogen yang meningkatkan fungsi fisiologi wanita.
Peningkatan hormon estrogen bukan sahaja dapat menegangkan struktur kulit malah dapat menganjalkan aset wanita.
Selain itu, dengan mengamalkan minuman air halba secara berterusan ia dapat melambatkan proses penuaan dan juga dapat mencerahkan tona kulit.
Mengurangkan Simptom-simptom Menopaus
Apabila seseorang wanita mengalami menopaus, akan berlaku gangguan dan ketidakstabilan hormon termasuklah hormon estrogen.
Oleh itu, air halba yang mengandungi sebatian kimia yang menyerupai hormon estrogen sangat sesuai diminum untuk mengurangkan gejala-gejala menopaus.
Mengurangkan Paras Kolesterol Dalam Darah
Seperti yang diketahui, air halba dapat meningkatkan paras hormon estrogen dalam darah, hormon estrogen juga berperanan dalam mengurangi penompokan lemak dalam pembuluh darah dengan mengurangkan kandungan kolesterol Low Density Lipoprotein (LDL) dalam darah.
Kolesterol LDL (kolesterol jahat) merupakan kelompok lemak dalam darah yang berupaya melekat pada dinding saluran darah dan boleh mengakibatkan penyakit kronik seperti strok, jantung tersumbat dan sebagainya.
Dengan meminum air halba, kolesterol LDL dapat dikurangkan dan sekaligus mengurangkan paras kolestrol dalam darah.
Menambah Susu Ibu
Air minuman halba merupakan alternatif terbaik bagi kaum ibu yang ingin meningkatkan penghasilan susu ibu.
Caranya ialah dengan meminum air rendaman atau rebusan halba ini pada waktu pagi dan petang.
Scrub Halba
Di samping pelbagai manfaat halba yang diambil secara minuman, halba juga boleh digunakan untuk menggosok wajah.
Caranya ialah dengan mengambil segenggam halba dan kisarkannya sehingga menjadi pes yang sesuai untuk dijadikan sebagai scrub. Kemudian tambahkan putih telur pada pes halba dan sapukan pada wajah.
Scrub halba ini bukan sahaja dapat membuang kekotoran pada kulit wajah malah dapat memberikan kelembapan, menganjalkan struktur kulit dan mencerahkan tona kulit.
Pengamalan scrub halba telah pun dipraktikkan oleh sebahagian besar wanita dan ramai yang telah pun mengakui keberkesanan halba untuk kecantikan.
Minyak Halba dan Kegunaannya untuk Kecantikan
Selain dijadikan minuman dan scrub, halba juga boleh dijadikan sebagai minyak yang boleh disapu pada wajah untuk menambah kelembapan kulit dan juga disapu pada rambut untuk melebatkan dan menyihatkan rambut.
Minyak halba kaya dengan mineral seperti kalsium, magnesium, vitamin B12 dan vitamin B6 yang dapat menjadikan rambut lebih kuat, bersinar dan tidak bercabang.
Lebih menarik lagi, minyak halba ini juga dapat disapu pada aset wanita untuk menjadikannya lebih tegang lebih menarik.
Sekiranya disapu pada keseluruhan badan, minyak halba ini juga mampu membuat tona kulit lebih sekata, melembap dan menegangkan kulit dan menghapuskan jerawat pada badan.
Cara membuat minyak halba yang penuh dengan pelbagai manfaat ini ialah dengan mengambil segenggam halba dan dimasak bersama-sama dengan minyak zaitun yang secukupnya selama 15-20 minit.
Kemudian peram selama semalaman dan tapis untuk mendapatkan pati minyak halba. Minyak halba ini boleh dimasukkan dalam botol penyembur untuk digunakan dengan lebih mudah.
Halba untuk Semua
Di samping pelbagai manfaat yang dapat diperoleh daripada halba, harganya yang murah juga menjadikannya salah satu herba yang mudah didapati di kebanyakan kedai dan sangatlah menguntungkan bagi individu yang mengamalkan halba dalam kehidupan mereka.
Haruslah diingatkan juga bahawa walau apa pun cara yang digunakan untuk mendapatkan kebaikan halba samada melalui minuman, scrub mahupun minyak halba, ia haruslah dilakukan secara berterusan dan konsisten untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Wan Nor 'Ain
Wan Nor 'Ain merupakan seorang penulis yang mempunyai pengalaman dalam penulisan formal dan penulisan tidak formal seperti surat rasmi, surat pandangan perundangan, minit mesyuarat, artikel perundangan, kandungan pengiklanan di sosial media dan lain-lain.