Prostatitis ialah keradangan (bengkak) pada kelenjar prostat. Kelenjar prostat ialah kelenjar bersaiz kacang walnut yang terletak di bawah pundi kencing lelaki. Kelenjar ini berperanan menghasilkan air mani.
Berbeza dengan hiperplasia prostat benigna, prostatitis adalah keradangan yang mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria.
Prostatitis menyebabkan penghidapnya berasa sakit dan sukar untuk kencing. Penyakit radang prostat ini boleh terjadi kepada lelaki di semua peringkat umur.

Secara umumnya, terdapat 3 jenis prostatitis iaitu:
- Prostatitis akut: Prostatitis jenis ini terjadi secara tiba-tiba dan simptomnya adalah teruk dan mungkin boleh membahayakan nyawa.
- Prostatitis kronik: Prostatitis jenis ini berlaku berpanjangan selama beberapa bulan; simptomnya datang dan pergi.
- Prostatitis asimptomatik: Prostatitis jenis ini tidak menunjukkan sebarang simptom atau menyebabkan ketidakselesaan. Selalunya ia dikenalpasti secara tidak sengaja semasa diagnosa terhadap kesuburan atau kanser prostat.
Simptom-simptom atau Gejala Prostatitis
Bergantung kepada penyebabnya, radang prostat ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau secara beransur-ansur.
Seseorang pesakit mungkin akan mengalami simptom atau gejala yang berbeza-beza bergantung kepada punca yang menyebabkan keradangan prostat ini.
Antara simptom-simptom atau gejala prostatitis mengikut jenisnya adalah seperti berikut:
a. Prostatitis akut
- Sakit di bahagian zakar, testis, dubur, perut bahagian bawah atau bahagian pinggang.
- Sakit ketika membuang air besar
- Sakit semasa kencing
- Kerap kencing terutamanya pada waktu malam
- Sukar untuk kencing
- Demam panas
- Sakit semasa ejakulasi
- Gesaan untuk kencing tetapi hanya sedikit air kencing yang keluar semasa kencing.
b. Prostatitis kronik
- Sakit di bahagian atau sekeliling zakar, testis, dubur, perut bahagian bawah atau pinggang
- Sakit semasa kencing
- Kerap kencing atau gesaan untuk kencing (terutamanya pada waktu malam)
- Prostat membesar atau bengkak semasa pemeriksaan
- Masalah seksual (disfungsi erektil atau mati pucuk)
- Sakit semasa ejakulasi
- Sakit pelvis selepas hubungan intim
Punca
Prostatitis boleh berlaku disebabkan oleh:
a. Jangkitan bakteria
Jangkitan boleh berlaku apabila bakteria dalam air kencing bocor ke dalam kelenjar prostat.
Sekiranya tidak dirawat, jangkitan ini boleh menjadi lebih teruk dan sukar untuk dirawat (prostatitis bakteria kronik).
Jangkitan juga boleh berlaku akibat daripada virus atau bakteria yang tersebar melalui hubungan seks seperti HIV, chlamydia dan gonorrhea.
b. Kerosakan saraf
Pembedahan atau trauma pada bahagian saluran kencing bawah boleh menyebabkan kerosakan saraf. Keadaan ini boleh menyumbang kepada Prostatitis yang bukan jenis jangkitan bakteria.
Golongan berisiko
Beberapa golongan yang berisiko adalah:
- Pernah menghidap prostatitis sebelum ini.
- Mempunyai keabnormalan pada saluran kencing.
- Pernah berlaku jangkitan pada pundi kencing atau saluran uretra.
- Mengidap HIV atau AIDS.
- Pernah menghadapi kecederaan pada pelvis.
- Pernah melakukan biopsi prostat.
- Pernah menggunakan kateter urinari dalam masa terdekat.
Rawatan Perubatan
Rawatan perubatan untuk radang prostat bergantung kepada punca yang menyebabkan ia berlaku.
Antara rawatan yang boleh didapati adalah:
1. Antibiotik
Ubat antibiotik adalah rawatan yang biasa ditentukan oleh doktor untuk merawat prostatitis akibat jangkitan bakteria.
2. Alpha blocker
Ubat jenis ini akan membantu mengendurkan leher pundi kencing dan otot dimana prostat bertemu dengan pundi kencing.
Ubat ini boleh mengurangkan simptom sakit ketika kencing.
3. Ubat antiradang
Ubat ini boleh mengurangkan keradangan dan sakit yang anda hadapi.
Selain rawatan perubatan, terdapat juga petua-petua orang dahulu yang mungkin boleh membantu merawat radang prostat tersebut.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Masalah radang prostat akut boleh membawa kepada radang prostat yang kronik. Malah, radang prostat ini boleh membawa kepada komplikasi berkaitan kesuburan, jangkitan bakteria dalam darah atau pundi kencing terhalang.
Oleh itu, sekiranya anda mengalami simptom-simptom berkaitan radang prostat ini. Sila dapatkan rawatan daripada doktor di hospital pada kadar yang segera.
Rujukan
- Sabrina Felson. (2019). What is prostatitis? WebMD.
- Balentine, J.R. (n.d.). Prostatitis (Inflammation of the Prostate Gland). MedicineNet.