Radang prostat atau prostatitis adalah sejenis penyakit yang menyebabkan keradangan (bengkak) pada kelenjar prostat. Radang prostat ini boleh menyebabkan sakit dan pedih. Selain rawatan perubatan moden, terdapat juga petua merawat radang prostat yang mungkin bermanfaat bagi pesakit prostat ini.
Prostatitis ini lazimnya berlaku kepada lelaki yang berumur antara 30 hingga 50 tahun tetapi penyakit ini tetap boleh berlaku kepada lelaki pada usia-usia yang lain.
Terdapat 2 jenis prostatitis yang utama iaitu:
- Prostatitis akut: Prostatitis jenis ini menyebabkan simptom-simptom yang terus dan berlaku secara tiba-tiba, boleh mengancam nyawa dan jarang-jarang berlaku.
- Prostatitis kronik: Prostatitis jenis ini menyebabkan simptom-simptom yang datang dan pergi selama beberapa bulan. Prostatitis jenis ini lebih lazim berlaku.
Simptom-simptom Radang Prostat (Prostatitis)
Simptom-simptom radang prostat bergantung kepada puncanya. Antara simptom-simptom tersebut adalah:
- Sakit atau rasa seperti terbakar semasa kencing
- Sukar untuk kencing
- Kerap kencing terutamanya pada waktu malam
- Air kencing menjadi keruh
- Darah dalam air kencing
- Sakit di bahagian abdomen, pinggang atau selangkang
- Sakit atau tidak selesa pada zakar dan testis
- Sakit semasa ejakulasi
Petua Merawat Radang Prostat (Prostatitis)
Mungkin ada antara kita yang lebih memilih untuk menggunakan petua atau rawatan tradisional atau alternatif berbanding rawatan perubatan moden untuk merawat radang prostat yang dialami.
Walau bagaimanapun, pesakit disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terlebih dahulu untuk mengesahkan sama ada adakah benar mereka menghidap radang prostat (prostatitis) atau penyakit lain.
Dapatkan juga nasihat doktor sebelum anda beralih kepada petua atau rawatan tradisional.
Sekiranya prostat bengkak itu disebabkan oleh jangkitan bakteria, ubat antibiotik adalah rawatan terbaik.
Berikut adalah beberapa petua merawat radang prostat atau rawatan tradisional yang mempunyai kajian keberkesanannya dalam mengurangkan simptom-simptom radang prostat terutamanya yang tidak berkaitan dengan jangkitan bakteria:
1. Akupunktur
Akupunktur ialah rawatan alternatif yang melibatkan cucukan jarum halus ke dalam kulit pesakit di bahagian badan yang tertentu. Berbeza dengan berbekam, akupunktur tidak melibatkan pengeluaran darah.
Satu kajian yang dijalankan selama 32 minggu terhadap 68 pesakit prostatitis kronik atau sindrom kesakitan pelvis kronik mendapati kaedah akupunktur boleh mengurangkan simptom penyakit ini. [1]
Satu kajian klinikal yang diterbitkan pada tahun 2015 mendapati rawatan menggunakan kaedah akupunktur terhadap 100 orang pesakit prostatitis kronik menunjukkan pengurangan terhadap simptom penyakit ini. [2]
2. Berendam dalam mandian suam
Berendam dalam tub mandian dengan air suam (sitz bath) atau menggunakan pad panas boleh mengurangkan simptom-simptom prostatitis yang berlaku.
3. Rawatan herba
Rawatan menggunakan herba atau suplemen menggunakan herba tertentu boleh digunakan untuk mengurangkan simptom-simptom radang prostat atau jangkitan saluran kencing. Antaranya:
- Saw palmetto
Saw palmetto ialah tumbuhan herba yang didapati mempunyai khasiat dalam perawatan hiperplasia prostat benigna dan jangkitan saluran kencing.
Kajian-kajian terkini mendapati ekstrak Saw palmetto ini juga turut mempunyai kesan terapeutik terhadap radang prostat (prostatitis). [3, 4]
- Kulit pokok Pygeum
Ekstrak kulit pokok Pygeum africana juga digunakan untuk merawat dan mengurangkan simptom-simptom prostat bengkak dan jangkitan saluran kencing.
Walaupun kajian lebih banyak menjurus ke arah merawat simptom Hiperplasia Prostat Benigna (BPH), namun ekstrak tumbuhan ini mungkin juga berkesan untuk prostatitis kerana sesetengah simptom BPH adalah sama dengan prostatitis. [5]
- Stinging Nettle
Stinging Nettle atau nama saintifiknya, Urtica dioica juga adalah tumbuhan herba yang digunakan untuk merawat simptom BPH. [6]
Stinging Nettle ini juga mungkin berkesan untuk merawat simptom berkaitan prostatitis yang tidak disebabkan oleh jangkitan bakteria. [7]
4. Jauhi arak dan kafein
Jauhi atau hadkan minuman arak dan minuman berkafein dapat mengurangkan simptom radang prostat ini.
Selain itu, makanan pedas dan berasid juga tidak sesuai bagi pesakit prostatitis kerana makanan ini boleh merengsakan pundi kencing.
5. Urutan prostat
Urutan prostat mungkin boleh mengurangkan simptom-simptom berkaitan prostatitis kronik yang tidak disebabkan bakteria berdasarkan kajian. [8, 9]
Rumusan
Radang prostat atau prostatitis adalah keradangan pada kelenjar prostat yang menyebabkan kelenjar prostat menjadi bengkak dan sakit.
Penyakit ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu akut dan kronik. Prostatitis kronik adalah jenis keradangan yang paling lazim berlaku.
Selain perubatan moden, terdapat beberapa petua atau rawatan tradisional yang boleh membantu merawat keradangan prostat terutamanya yang tidak melibatkan jangkitan bakteria.
Akupuntur, berendam dalam air suam, suplemen dan lain-lain lagi boleh membantu merawat penyakit ini.
Walaupun begitu, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada hospital serta mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan rawatan tradisional.
Rujukan
- Qin, Z., et al. (2018). Acupuncture for Chronic Prostatitis/Chronic Pelvic Pain Syndrome: A Randomized, Sham Acupuncture Controlled Trial. The Journal of urology.
- Sahin, S., et al. (2015). Acupuncture relieves symptoms in chronic prostatitis/chronic pelvic pain syndrome: a randomized, sham-controlled trial. Prostate cancer and prostatic diseases.
- Shao, Y. P., et al. (2017). [Saw palmetto fruit extract improves LUTS in type ⅢA prostatitis patients]. National journal of andrology.
- Zhan, X. X., et al.. (2019). [Effect of saw palmetto extract on the reproductive function of male rats with chronic prostatitis].National journal of andrology.
- Wilt, T., et al. (2002). Pygeum africanum for benign prostatic hyperplasia. The Cochrane database of systematic reviews.
- Schneider, T., & Rübben, H. (2004). [Stinging nettle root extract (Bazoton-uno) in long term treatment of benign prostatic syndrome (BPS). Results of a randomized, double-blind, placebo controlled multicenter study after 12 months]. Der Urologe. Ausg.
- Arnaud. (n.d.). It works for me. The Prostatitis Foundation. [diakses pada 11 November 2020].
- Huang, W., et al. (2004). [Recommendation of a new prostatic massage–an aside-bending and up-standing vs parallel and semi-squatting method to massage the prostate via the rectum]. National journal of andrology.
- Shen, S. L., et al. (2006). [Clinical trials of combined therapy of an oral Chinese medicine with massage for chronic nonbacterial prostatitis]. National journal of andrology.