Hiperplasia prostat benigna adalah istilah kepada pembesaran kelenjar prostat yang berlaku seiring dengan peningkatan usia kaum lelaki. Hiperplasia prostat benigna atau dalam bahasa Inggerisnya Benign prostatic hyperplasia (BPH) bukanlah kanser dan ia tidak merebak.
Prostat ialah kelenjar bersaiz walnut yang terletak di bawah pundi kencing lelaki. Prostat ini berfungsi untuk menghasilkan cecair untuk air mani.
Biarpun BPH ini tidak merebak dan bukanlah kanser, tetapi masalah kesihatan ini boleh menganggu kualiti hidup penghidapnya.
Sebagai contoh, pembesaran ini akan menghimpit salur kencing dan menyebabkan penghidapnya sukar untuk kencing atau kencing tidak lawas.
Terdapat beberapa pilihan rawatan yang berkesan yang bergantung kepada diagnosa doktor dan perbincangan dengan pesakit.
Golongan lelaki dewasa berumur 60 tahun ke atas adalah golongan yang berisiko untuk terkena BPH ini.
Simptom-simptom Hiperplasia Prostat Benigna
Simptom-simptom atau gejala hiperplasia prostat beningna ini berbeza-beza mengikut individu. Tetapi simptom atau gejala ini akan bertambah teruk dari semasa ke semasa.
Antara simptom-simptom yang biasanya berlaku adalah seperti:
- Tidak tertahan hendak kencing
- Kerap kencing pada waktu malam (mungkin setiap 1 hingga 2 jam)
- Sukar untuk mula kencing
- Aliran kencing tidak lancar, tersekat-sekat dan perlahan.
- Kencing tidak lawas
- Sakit selepas ejakulasi atau semasa kencing
- Airkencing yang mempunyai bau atau warna yang luar biasa
Simptom-simptom yang jarang berlaku:
- Darah dalam air kencing
- Jangkitan pada salur kencing
- Tidak boleh kencing
Simptom-simptom ini lazimnya akibat daripada salur kencing yang tersumbat atau pundi kencing yang kerja berlebihan untuk menyalurkan air kencing melalui saluran yang tersumbat.
Saiz prostat yang bengkak tidak menentukan keterukan simptom atau penyumbatan yang berlaku. Ada sesetengah pesakit yang mengalami bengkak yang besar tetapi hanya mengalami simptom yang ringan atau penyumbatan yang sedikit.
Manakala, ada yang yang mengalami bengkak yang sedikit tetapi mengalami simptom dan penyumbatan yang teruk.
Punca dan Faktor Risiko
Punca sebenar yang menyebabkan hiperplasia prostat benigna tidak difahami dengan sepenuhnya. Tetapi pengkaji percaya bahawa pembesaran prostat ini disebabkan ketidakseimbangan hormon seks yang berlaku selari dengan peningkatan usia.
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko berlakunya pembesaran prostat ini. Antaranya:
- Peningkatan usia. Pembesaran kelenjar prostat ini selalunya berlaku kepada lelaki yang berusia 60 tahun ke atas. Lelaki berusia 80 tahun ke atas lebih ramai mengalami simptom-simptom BPH ini.
- Keturunan. Sekiranya terdapat ahli keluarga seperti ayah atau abang mengalami masalah prostat ini, anda juga berisiko tinggi untuk turut terkena.
- Obesiti. Obesiti juga meningkatkan risiko BPH dan bersenam boleh mengurangkan risiko terkena penyakit ini.
- Menghidap diabetes dan penyakit jantung. Dua penyakit kronik ini meningkatkan risiko anda terkena BPH .
Bagaimana BPH Diperiksa?
Sewaktu mendapatkan rawatan, doktor biasanya akan bermula dengan pemeriksaan fizikal dan bertanya mengenai sejarah perubatan anda.
Beberapa ujian berikut mungkin dilaksanakan:
- Ujian air kencing. Analisis akan dijalankan terhadap air kencing anda untuk memastikan simptom-simptom yang terjadi tidak disebabkan oleh masalah lain.
- Pemeriksaan rektal digital atau pemeriksaan rektal (DRE). Doktor akan memasukkan jari ke dalam rektum untuk memeriksaan pembesaran prostat.
- Ujian darah PSA. Darah akan diambil untuk dibuat ujian PSA iaitu prostate-specific antigen. PSA ini dihasilkan oleh kelenjar prostat. Jika paras PSA ini tinggi, ia bermakna kelenjar prostat anda bengkak atau membesar.
- Rectal Ultrasound. Probe dimasukkan ke dalam rektum untuk mengesan masalah prostat. Corak gema yang terhasil oleh alat ini akan membantu mengesan masalah prostat yang berlaku.
Gabungan ujian darah PSA, ultrasound dan DRE meningkatkan keupayaan pengesanan pembengkakan prostat.
Beberapa ujian lain yang mungkin turut dijalankan termasuklah:
- Ujian Aliran Air Kencing. Ujian ini melibatkan pesakit kencing ke dalam satu alat pengukuran untuk mengukur kelajuan air kencing. Aliran yang perlahan biasanya menandakan berlakunya pembengkakan prostat.
- Biopsi prostat. Kaedah ini melibatkan pengambilan tisu prostat. Tisu ini akan diperiksa untuk mengetahui sama ada simptom yang terjadi melibatkan kanser prostat atau tidak.
- Sistoskopi (cystoscopy). Kaedah ini melibatkan pengunaan alat sistoskop yang dimasukkan ke dalam salur kencing bagi membolehkan doktor melihat keadaan salur kencing dan pundi kencing pesakit.
Rawatan BPH
Rawatan yang diberikan kepada setiap pesakit adalah berbeza-beza bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, saiz prostat, kesihatan keseluruhan dan keterukan simptom yang berlaku.
Terdapat beberapa pilihan rawatan untuk merawat hiperplasia prostat benigna ini. Contohnya seperti ubat-ubatan, rawatan pesakit luar dan pembedahan.
1. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan biasanya diberikan untuk merawat simptom-simptom BPH yang ringan hingga sederhana. Antara pilihan rawatan ubat-ubatan adalah:
- Alpha blocker
- 5-alpha reductase inhibitors
- Alpha blocker + 5-alpha reductase inhibitors
- Phosphodiesterase-5 inhibitors: Tadafil (Cialis)
2. Rawatan Pesakit Luar
Rawatan pesakit luar melibatkan prosedur memasukkan alat ke dalam salur kencing dan kelenjar prostat. Antaranya:
- Transurethral needle ablation (TUNA): Gelombang wadio digunakan untuk membakar dan mengecutkan tisu prostat.
- Transurethral microwave thermotherapy (TUMT): Tenaga gelombang mikro digunakan untuk menghapuskan tisu prostat.
- High-intensity focused ultrasound (HIFU): Tenaga sonik digunakan untuk menghapuskan lebihan tisu prostat.
- Transurethral electrovaporization: Tenaga elektrik digunakan untuk mengewap tisu prostat. Kesan pengewapan ini akan menutup salur darah di kawasan dirawat dan mengurangkan risiko pendarahan.
- Water-induced thermotherapy (WIT): Air yang dipanaskan digunakan untuk memusnahkan lebihan tisu prostat.
- Prostatic stent insertion: Alat yang dipanggil sten prostat yang bertindak seperti spring dimasukkan melalui saluran kencing ke kawasan yang menjadi sempit akibat pembengkakan prostat. Alat ini akan menolak kembali tisu prostat dan meluaskan salur kencing tersebut.
3. Pembedahan
Pembedahan melibatkan pembuangan bahagian kelenjar prostat yang membesar. Ini adalah pilihan penyelesaian terbaik untuk jangka panjang buat pesakit BPH.
Biasanya pembedahan disarankan oleh doktor pakar apabila ubat dan rawatan pesakit luar tidak lagi berkesan, simptom-simptom bertambah teruk atau berlakunya komplikasi.
Antara prosedur pembedahan bagi hiperplasia prostat benigna adalah:
- Transurethral resection of the prostate (TURP): Prosedur ini melibatkan tiub dimasukkan melalui salur kencing ke kelenjar prostat. Pakar bedah akan membuang tisu yang menyebabkan penyumbatan secara sedikit demi sedikit.
- Pembedahan laser: Prosedur ini menggunakan fiber laser untuk menyejat dan mengecutkan tisu prostat yang menyebabkan penyumbatan.
- Pembedahan terbuka: Prosedur ini melibatkan turisan dari luar untuk sampai ke prostat. Keseluruhan atau sebahagian prostat akan dibuang melalui prosedur ini. Prosedur ini biasanya dilakukan sekiranya pembengkakan prostat terlalu besar, berlakunya komplikasi atau pundi kencing rosak.
- Transurethral incision of the prostate (TUIP): Prosedur ini hampir sama dengan TURP. Perbezaannya ialah tisu prostat tidak dibuang sebaliknya dituris kecil dilakukan pada prostat untuk membesarkan bukaan pundi kencing dan salur kencing.
Komplikasi
Komplikasi akibat daripada rawatan mungkin berlaku bagi mereka yang telah lama mengalami hiperplasia prostat benigna. Antara komplikasi yang boleh terjadi ialah:
- Jangkitan pada salur kencing
- Ketidakupayaan mengawal kencing
- Masalah kencing
- Pendarahan
- Disfungsi seksual
Langkah-langkah Pencegahan
Berdasarkan kajian epidomologi, diet mungkin memainkan peranan dalam insiden atau pembentukan penyakit berkaitan prostat.
Makanan yang tinggi dengan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, likopena dan zink turut boleh melindungi anda daripada hiperplasia prostat benigna.
Terdapat juga makanan yang baik untuk kesihatan prostat seperti biji labu, Saw palmetto, kulit pokok Pygeum dan pokok stinging nettle.
Banyak kajian yang dijalankan terhadap makanan atau herba ini yang menunjukkan kesan positif terhadap masalah pembengkakan prostat dan salur kencing.
Secara ringkasnya, perubahan dari segi gaya hidup dan pemakanan berkemungkinan besar boleh mencegah penyakit hiperplasia prostat benigna ini.
Perbezaan BPH vs Kanser Prostat
Perbezaan paling ketara antara BPH dan kanser prostat ialah BPH tidak merebak seperti kanser prostat.
Kedua-dua penyakit ini berkongsi simptom yang sama. Oleh itu, amatlah penting untuk mendapatkan pemeriksaan sekiranya anda menyedari akan simptom-simptom BPH atau kanser prostat ini.
Rumusan
Hiperplasia prostat benigna ini tidak semestinya terus memerlukan rawatan perubatan. Bagi kes-kes yang ringan, doktor mungkin hanya mencadangkan pemantauan berkala bagi memantau simptom dan saiz prostat anda.
Hiperplasia prostat benigna (BPH) boleh dirawat dan terdapat pelbagai rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat simptom yang berlaku.
Gaya hidup aktif dan penjagaan makanan boleh menyumbang kepada langkah pencegahan daripada berlakunya penyakit ini dan mengekalkan kesihatan prostat anda.
Rujukan
- Simon, H.B. 2014. Prostate Enlargement (Benign Prostatic Hyperplasia). National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases.
- Cicero, A., et al. (2019). Nutraceutical treatment and prevention of benign prostatic hyperplasia and prostate cancer. Archivio italiano di urologia, andrologia : organo ufficiale [di] Societa italiana di ecografia urologica e nefrologica.
- Mayo Clinic Staff. 2019. Benign prostatic hyperplasia (BPH). Mayo Clinic.
- Espinosa G. (2013). Nutrition and benign prostatic hyperplasia. Current opinion in urology.
- Verneda Lights. (2018). What Do You Want to Know About Enlarged Prostate? Healthline.