Apa itu Penyakit Polio?
Penyakit polio atau poliomielitis adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya ia menjejaskan pernafasan, ia boleh membawa maut kepada manusia.
Virus polio biasanya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang belum menerima vaksin. Meskipun bagitu, orang dewasa juga boleh dijangkiti. Virus ini tersebar daripada satu individu kepada individu yang lain melalui fekal-oral seperti minuman atau makanan tercemar.
Pada Oktober 2000, Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit ini, pada 6 Disember 2019, satu kes telah disahkan dijangkiti virus polio.

Gejala-gejala Polio
Kebanyakan orang yang dijangkiti dengan virus polio tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom-simptom.
Polio Tak Lumpuh
Sesetengah orang akan mengalami gejala atau simptom yang tidak membawa kepada lumpuh. Ia biasanya menyebabkan simptom-simptom seperti demam seperti:
- Demam
- Sakit tekak
- Muntah
- Keletihan
- Sakit belakang
- Sakit tekak
- Sakit atau kekakuan di lengan dan kaki
- Lemah otot
Sindrom Kelumpuhan
Bentuk penyakit yang paling serius ini jarang berlaku. Gejala dan simptom awal polio lumpuh seperti demam dan sakit kepala selalunya menyerupai polio tak lumpuh.
Walau bagaimanapun, dalam masa seminggu, gejala dan simptom lain muncul seperti:
- Kehilangan refleks
- Sakit otot yang teruk atau kelemahan
- Anggota badan yang longgar dan liut
Sindrom Selepas Polio
Sindrom selepas polio ialah sekumpulan gejala dan simptom-simptom yang menjejaskan sesetengah orang bertahun-tahun selepas menghidap polio.
Gejala dan simptom-simptom yang biasa berlaku adalah:
- Keletihan
- Kelemahan dan kesakitan otot atau sendi yang progresif
- Masalah bernafas atau menelan
- Gangguan pernafasan semasa tidur seperti apnea tidur
- Tidak tahan kepada cuaca sejuk
- Pengecilan otot (atrofi)
Punca Penyakit Polio
Penyakit polio berpunca daripada poliovirus. Virus tersebut memasuki badan melalui mulut atau hidung dan memasuki sistem pernafasan dan penghadaman.
Ia membiak atau berganda di dalam kerongkong dan usus. Dari situ, virus ini akan memasuki salur darah dan menyerang sistem saraf.
Poliovirus boleh tersebar melalui kontak langsung dengan seseorang yang telah dijangkiti dengan virus ini. Orang yang telah dijangkiti boleh menyebarkan virus selama berminggu-minggu dalam najis mereka. Mereka yang mempunyai virus tetapi tidak menunjukkan gejala juga boleh menyebarkan virus ini kepada orang lain.
Antara kaedah jangkitan atau penyebaran virus ini adalah:
- Melalui makanan atau minuman yang tercemar dengan virus ini.
- Melalui batuk atau bersin
Rawatan
Tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit polio. Rawatan diberikan semasa fasa akut sehingga ke peringkat komplikasi lumpuh. Peralatan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami kelumpuhan otot pernafasan.
Terapi fizikal dilakukan untuk memaksimumkan fungsi otot selepas menjadi lumpuh bagi mencegah kecacatan lain yang muncul lewat.
Komplikasi
Penyakit ini boleh menyebabkan lumpuh sementara atau kekal, kecacatan tulang atau kematian.
Langkah-langkah Pencegahan
Langkah pencegahan yang efektif bagi mencegah penyakit polio adalah vaksinasi.
Vaksin Polio
Terdapat dua jenis vaksin polio iaitu Oral Polio Vaccine (OPV) yang dititiskan ke dalam mulut dan Inactivated Polio Vaccine (IPV) yang diberikan melalui suntikan.
Vaksin ini diberikan kepada kanak-kanak ketika berumur 2, 3, dan 5 bulan dengan dos tambahan pada umur 18 bulan.
Vaksin ini juga boleh diambil oleh pengembara yang akan mengembara ke negara yang endemik atau sedang mengalami jangkitan penyakit ini. Pengambara dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin polio selewat-lewatnya 4 minggu sebelum berlepas.
Langkah-langkah pencegahan yang lain yang boleh dilakukan adalah:
- Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas.
- Pastikan sanitari baik, gunakan tandas dengan sistem kumbahan yang baik.
- Rebus atau didihkan air minuman atau minum air yang dibotolkan.
- Elakkan makanan yang tidak dimasak