Sindrom apnea tidur obstruktif (OSA) adalah gangguan pernafasan berkaitan tidur yang paling biasa berlaku. Ia menyebabkan anda berulang kali berhenti dan bernafas semasa anda tidur.
Apnea tidur obstruktif ini adalah gangguan kronik yang menjejaskan kira-kira 2% hingga 4% daripada populasi dewasa dengan prevalens tertinggi dilaporkan dalam kalangan lelaki pertengahan umur.
Keadaan ini dicirikan oleh episod otot dalam saluran pernafasan kendur atau tertutup (terutamanya saluran orofarinks) semasa tidur yang berlaku secara berulang-ulang akibat pemberhentian atau pengurangan aliran udara.
Terdapat 3 jenis apnea tidur iaitu:
- Apnea tidur obstruktif
- Apnea tidur pusat
- Sindrom apnea tidur kompleks
Apnea tidur obstruktif adalah jenis apnea tidur yang paling lazim berlaku.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala sindrom apnea tidur obstruktif adalah seperti berikut:
- Berdengkur dengan kuat
- Mengantuk yang teruk pada siang hari
- Diperhatikan episod berhenti bernafas semasa tidur
- Terjaga secara tiba-tiba disertai dengan tercungap-cungap atau tercekik
- Bangun dengan mulut kering atau sakit tekak
- Sakit kepala pada waktu pagi
- Sukar untuk memberikan tumpuan pada siang hari
- Tekanan darah tinggi
- Penurunan nafsu seksual
- Perubahan mood seperti kemurungan atau cepat marah
Berdengkur tidak semestinya menunjukkan sesuatu yang berpotensi serius dan tidak semua orang yang berdengkur mempunyai apnea tidur obstruktif.
Punca dan Penyebab
Apnea tidur obstruktif biasanya berlaku apabila otot yang mengawal saluran pernafasan anda terlalu kendur dan menyempitkan tekak anda.
Apabila otot mengendur, saluran pernafasan anda menyempit atau menutup semasa anda menarik nafas. Kesannya, anda tidak mendapatkan udara yang mencukupi yang boleh menurunkan paras oksigen dalam darah.
Otak anda merasakan ketidakupayaan anda untuk bernafas dan membangunkan anda secara ringkas dari tidur supaya anda boleh membuka semula saluran pernafasan anda. Kebangkitan ini biasanya sangat singkat sehingga anda tidak mengingatinya.
Anda mungkin mendengus, tercekik atau tercungap-cungap. Corak ini boleh berulang 5 hingga 30 kali atau lebih setiap jam, sepanjang malam. Keadaan ini boleh menjejaskan keupayaan anda untuk mencapai fasa tidur yang nyenyak.
Faktor risiko
Sindrom apnea tidur obstruktif boleh menjejaskan kepada semua orang termasuklah kanak-kanak. Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko kepada sindrom ini, antaranya adalah:
- Obesiti: Pengumpulan lemak di saluran udara atas boleh menghalang pernafasan.
- Ukur lilit leher: Mereka yang mempunyai leher yang tebal mungkin mempunyai saluran pernafasan yang sempit.
- Saluran pernafasan sempit: Seseorang itu mungkin dilahirkan mempunyai saluran pernafasan yang sempit.
- Lelaki: Lelaki dua hingga tiga kali lebih berkemungkinan mengalami apnea tidur berbanding wanita.
- Berusia: Apnea tidur berlaku dengan ketara lebih kerap pada orang dewasa yang lebih tua.
- Keturunan: Mempunyai ahli keluarga yang mengalami apnea tidur mungkin meningkatkan risiko kepada sindrom ini.
- Penggunaan alkohol, sedatif atau penenang: Bahan-bahan ini melegakan otot-otot di tekak anda, yang boleh memburukkan apnea tidur obstruktif.
- Merokok: Perokok adalah tiga kali lebih berkemungkinan mengalami apnea tidur obstruktif daripada orang yang tidak pernah merokok.
- Hidung tersumbat: Jika anda mengalami hidung tersumbat, anda berisiko mengalami apnea tidur obstruktif.
- Keadaan perubatan: Kegagalan jantung kongestif, tekanan darah tinggi, diabetes jenis 2 dan penyakit Parkinson adalah beberapa keadaan yang boleh meningkatkan risiko apnea tidur obstruktif.
Diagnosis
Doktor akan menilai keadaan anda berdasarkan gejala dan simptom yang dialami. Doktor juga mungkin akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan ujian.
Semasa pemeriksaan fizikal, doktor akan memeriksa belakang kerongkong, mulut san hidung untuk melihat sebarang keabnormalan atau tisu lebih.
Terdapat beberapa ujian yang boleh mengesan apnea tidur obstruktif seperti:
- Polisomnografi
- Ujian apnea tidur dirumah
Rawatan
Bagi kes-kes sindrom apnea tidur obstruktif yang ringan, perubahan terhadap gaya hidup boleh membantu mengatasi masalah ini.
Antara perubahan gaya hidup yang boleh dilakukan adalah:
- Turunkan berat badan jika berat badan berlebihan
- Bersenam secara kerap
- Berhenti merokok
- Minum arak secara sederhana atau berhenti sepenuhnya
- Menggunakan ubat alahan atau dekongestan
- Jangan tidur secara terlentang sebaliknya tidur secara mengiring
- Elakkan mengambil ubat sedatif atau ubat tidur
Sekiranya perubahan gaya hidup ini tidak berjaya atau apnea yang dialami adalah sederhana atau teruk, rawatan berikut mungkin boleh membantu.
- Continous positive airway pressure (CPAP): Dalam rawatan ini, mesin menyalurkan tekanan udara ke dalam hidung atau diletakkan di atas hidung dan mulut semasa anda tidur.
- Pelekap mulut: Pelekap mulut ini adalah alternatif bagi sesetengah orang yang mengalami apnea tidur obstruktif ringan atau sederhana. Ia juga digunakan untuk orang yang mengalami apnea tidur yang teruk yang tidak boleh menggunakan CPAP. Peranti ini boleh mengurangkan rasa mengantuk dan meningkatkan kualiti hidup anda.
- Pembedahan pembuangan tisu: Uvulopalatopharyngoplasty (UPPP) ialah prosedur di mana doktor anda mengeluarkan tisu dari bahagian belakang mulut dan bahagian atas tekak anda.
- Pembedahan rahang (maxillomandibular advancement): Dalam prosedur ini, bahagian atas dan bawah rahang anda digerakkan ke hadapan dari seluruh tulang muka anda. Ini membesarkan ruang di belakang lidah dan lelangit, menjadikan kurang halangan.
- Pembedahan bukaan dalam tekak (trakeostomi): Pembedahan untuk membuat bukaan pada trakea melalui kulit untuk membolehkan pernafasan, biasanya dilakukan jika berlaku penyumbatan trakea.
Rujukan
- Spicuzza, L. et al. (2015). Obstructive sleep apnoea syndrome and its management. Therapeutic advances in chronic disease.
- Mayo Clinic Staff. (2021). Obstructive sleep apnea. MayoClinic