Penyakit gout adalah satu bentuk keradangan artritis yang menyakitkan akibat daripada kristal yang dipanggil asid urik.
Apabila badan anda mengandungi lebihan asid urik, kristal tajam akan terbentuk di ibu jari atau sendi lain yang menyebabkan episod bengkak dan kesakitan. Keadaan ini dipanggil serangan gout.
Lazimnya, gout menyerang ibu jari kaki. Tetapi, ia turut boleh berlaku di bahagian sendi lain seperti lutut, buku lali, kaki, tangan, pergelangan tangan dan siku. Ada masanya tanda atau gejala akan bertambah teruk dan ada masanya tiada tanda atau gejala.
Asid urik adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin. Badan manusia membuang bahan kumuhan ini melalui air kencing.

Bagi penghidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan berkumpul di dalam sendi. Gout boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan perubahan pemakanan serta gaya hidup.
Golongan Berisiko Diserang Penyakit Gout
Penyakit gout boleh berlaku kepada sesiapapun. Lazimnya, ia berlaku lebih awal dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Golongan lelaki adalah 3 kali ganda lebih berisiko berbanding wanita kerana golongan lelaki lazimnya mempunyai paras asid urik yang tinggi sepanjang hidup mereka.
Bagi wanita, paras asid urik yang tinggi biasanya berlaku selepas menopaus.
Golongan berikut berisiko untuk diserang penyakit gout:
- Obesiti
- Kegagalan jantung
- Diabetes
- Hipertensi (tekanan darah tinggi)
- Penyakit ginjal
- Keturunan
- Mereka yang makan makanan tinggi dengan protein haiwan
- Mereka yang banyak meminum alkohol
Tanda-tanda atau Gejala Penyakit Gout
Serangan gout amat menyakitkan dan boleh berlaku secara tiba-tiba dan berterusan semalaman. Semasa serangan gout, tanda-tanda atau gejala yang boleh berlaku adalah:
- Sakit sangat
- Panas
- Merah
- Bengkak
- Sendi yang diserang menjadi bisa sehingga geseran dengan selimut pun menyeksakan
- Sakit mungkin berlarutan berhari-hari atau sekurang-kurangnya 1-2 minggu untuk reda jika tidak dirawat
- Sakit mungkin menyerang kembali selepas berminggu atau bulan
Punca atau Penyebab
Gout disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai hiperurisemia, di mana terdapat terlalu banyak asid urik dalam badan.
Badan menghasilkan asid urik apabila ia memecahkan purin iaitu protein yang terdapat dalam makanan anda. Apabila terdapat terlalu banyak asid urik dalam badan, kristal asid urik (monosodium urate) boleh terkumpul di dalam sendi, cecair dan tisu di dalam badan.
Namun, hiperurisemia tidak selalu menyebabkan gout dan hiperurisemia tanpa gejala gout tidak perlu dirawat.
Rawatan Penyakit Gout
Gout adalah suatu penyakit yang boleh sembuh tetapi anda harus mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya.
Rawatan Serangan Akut
- Rehatkan sendi semasa serangan gout.
- Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) boleh mengurangkan kesakitan dan bengkak.
- Ubat preskripsi:
- Ubat colchicine boleh mengurangkan keradangan dan kesakitan jika diambil dalam masa 24 jam serangan gout. Ubat ini boleh mendatangkan kesan sampingan seperti loya, muntah dan cirit-birit.
- Kortikosteroid juga boleh melegakan kesakitan dan bengkak. Ubat steroid boleh diambil melalui mulut atau suntikan pada sendi yang radang.
- Ubat yang boleh menurunkan paras asid urik di dalam badan seperti Allopurinol, Febuxostat, Probenecid dan Pegloticase.
Rawatan Jangka Panjang
Oleh sebab gout disebabkan oleh asid urik yang berlebihan dalam badan, anda haruslah mengelakkan faktor-faktor yang boleh menambahkan paras asid urik.
Sebagai rawatan jangka masa panjang, apa yang perlu dilakukan adalah:
- Menjaga berat badan: Kegemukan boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan.
- Penjagaan pemakanan: Kurangkan pengambilan makanan yang mengandungi purin yang tinggi. Purin banyak terkandung dalam sesetengah daging binatang, makanan laut dan kekacang.
- Jauhi minuman keras (alkohol).
Komplikasi
Penghidap gout boleh membantuk keadaan yang lebih teruk seperti:
- Batu karang
- Serangan gout yang berulang-ulang
- Asid urik berkumpul di bawah kulit membentuk benjolan di panggil ‘tophi’
Langkah-langkah Pencegahan
Beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu mencegah gout:
- Minum banyak air.
- Kerap bersenam untuk mengekalkan berat badan yang sihat.
- Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan purin.
- Apabila mengambil Allopurinol, ianya perlu diambil secara berterusan.
- Jangan mengubah atau menghentikan dos Allopurinol semasa serangan gout.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Gout. Cleveland Clinic. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/4755-gout
- Centers for Disease Control and Prevention. (2020). Gout. https://www.cdc.gov/arthritis/basics/gout.html
- Mayo Clinic Staff. (2021). Gout. MayoClinic. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gout/symptoms-causes/syc-20372897
- Hussein, H. (2012). Gout. MyHealth KKM. http://www.myhealth.gov.my/gout-5/