Penyakit ginjal kronik atau penyakit buah pinggang kronik adalah penyakit yang berlaku apabila ginjal dan salur kencing tidak berfungsi secara normal.
Ia juga turut menunjukkan bahawa ginjal atau buah pinggang anda mengalami kerosakan dan tidak boleh menapis darah seperti mana yang sepatutnya.
Pada peringkat awal penyakit ginjal kronik, anda mungkin mempunyai sedikit tanda atau gejala. Anda mungkin tidak menyedari bahawa anda menghidap penyakit ginjal sehingga keadaannya semakin teruk.
Rawatan untuk penyakit ginjal kronik tertumpu pada memperlahankan perkembangan kerosakan buah pinggang atau ginjal tersebut, biasanya dengan mengawal puncanya.
Penyakit ginjal kronik boleh berkembang menjadi kegagalan buah pinggang peringkat akhir, yang boleh membawa maut.
Ginjal atau buah pinggang yang sihat berfungsi untuk:
- Menapis darah supaya menjadi air kencing dan mengeluarkan bahan kumuhan dari darah
- Mengawal tekanan darah
- Mengawal pengeluaran sel darah merah
- Mengawal keseimbangan asid base
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala penyakit ginjal kronik berkembang dari masa ke masa. Kehilangan fungsi ginjal boleh menyebabkan pengumpulan cecair atau sisa badan atau masalah elektrolit.
Bergantung pada tahap teruknya, kehilangan fungsi ginjal (buah pinggang) boleh menyebabkan:
- Kehilangan selera makan
- Muntah-muntah
- Loya
- Keletihan atau kelemahan
- Masalah tidur
- Semakin banyak kencing atau semakin kurang
- Kekejangan otot
- Bengkak di kaki dan buku lali
- Kulit kering dan gatal
- Ketajaman mental berkurangan
- Tekanan darah tinggi (hipertensi) yang sukar untuk dikawal
- Sesak nafas jika bendalir terkumpul di dalam paru-paru
- Sakit dada jika bendalir terkumpul di sekeliling lapisan jantung
Punca atau Penyebab
Penyakit kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah penyebab paling lazim kepada penyakit ginjal kronik.
Selain itu, penyakit atau keadaan lain yang boleh menjadi punca kepada penyakit ini adalah:
- Jangkitan air kencing mengakibatkan parut terjadi di ginjal
- Glomerulonefritis (kerosakkan disebabkan radang di ginjal)
- Keabnormalan ginjal sejak lahir
- Penyakit keturunan seperti Alports atau polisistik ginjal
- Penyumbatan saluran kencing yang berpanjangan akibat daripada pembesaran prostat, batu karang atau kanser.
- Refluks vesikoureteral iaitu keadaan yang menyebabkan air kencing untuk kembali ke dalam ginjal.
- Keradangan pada tubul ginjal dan struktur disekelilingnya
Faktor Risiko
Beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kepada penyakit ini adalah:
- Penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular
- Merokok
- Obesiti
- Struktur ginjal yang tidak normal
- Berumur (tua)
- Keturunan atau sejarah keluarga yang turut menghidap penyakit ginjal
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu yang kerap yang boleh merosakkan ginjal
Rawatan
Rawatan biasanya terdiri daripada langkah-langkah untuk membantu mengawal gejala atau simptom-simptom, mengurangkan komplikasi dan memperlahankan perkembangan penyakit.
Jika ginjal anda telah rosak teruk, anda mungkin memerlukan rawatan untuk penyakit ginjal peringkat akhir.
Pilihan rawatan berbeza-beza bergantung kepada puncanya. Doktor akan merawat untuk mengawal atau memperlahankan punca yang menyebabkan penyakit ginjal tersebut.
Selain itu, beberapa bentuk rawatan lain turut dilakukan bagi mengawal komplikasi yang disebabkan oleh penyakit ginjal. Contohnya seperti:
- Ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi
- Ubat untuk melegakan bengkak
- Ubat untuk merawat anemia (kekurangan darah)
- Ubat untuk merendahkan paras kolesterol
- Ubat untuk melindungi tulang
Pesakit juga turut digalakkan untuk mengikuti pemakanan yang khusus kepada pesakit ginjal seperti diet renal bagi meminimakan sisa buangan dalam darah.
Bagi pesakit ginjal peringkat akhir, mereka perlu menjalani rawatan dialisis atau memerlukan pembedahan pemindahan ginjal.
Komplikasi
Penyakit ginjal kronik boleh menjejaskan hampir setiap bahagian badan. Antara komplikasi yang boleh berlaku:
- Pengekalan cecair yang menyebabkan sembab
- Anemia (kekurangan darah)
- Hiperkalemia-peningkatan mendadak dalam paras kalium dalam darah anda
- Penyakit jantung
- Tulang menjadi lemah dan meningkatkan risiko tulang patah
- Kerosakan sistem saraf pusat
- Sistem imun menjadi lemah
- Perikarditis
- Komplikasi kehamilan
- Pengurangan dorongan seks, disfungsi erektil atau kemandulan
- Kegagalan ginjal peringkat akhir
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Chronic kidney disease. MayoClinic
- NIDDK. (2017). What Is Chronic Kidney Disease?
- Manocha, A.B. (2008). Penyakit Ginjal Kronik & Kegagalan Ginjal. MyHealth KKM. http://www.myhealth.gov.my/penyakit-ginjal-kronik-a-kegagalan-ginjal/