Adakah minum kolagen atau dengan kata lainnya meminum suplemen kolagen boleh meningkatkan keanjalan kulit? Adakah fakta yang menyokong tuntutan ini atau ia hanyalah auta?
Bagi membantu anda mendapatkan jawapan kepada persoalan ini, artikel ini mengulas dengan lebih lanjut mengenai kolagen dan keanjalan kulit serta kajian-kajian yang menyokong atau membantahnya.
Apa itu Kolagen?
Kolagen adalah protein yang paling banyak terkandung dalam badan manusia.
Ia adalah komponen utama kepada tisu-tisu penghubung yang membentu beberapa bahagian badan seperti otot, kulit, ligamen dan tendon.
Kolagen mempunyai banyak fungsi penting termasuklah menyediakan struktur kepada kulit anda.
Terdapat kira-kira 28 jenis kolagen dan 4 daripadanya adalah jenis paling biasa iaitu jenis I, jenis II, jenis III dan jenis IV.
Kebelakangan ini, terdapat banyak promosi atau penjualan suplemen kolagen yang menjanjikan pelbagai faedah dan kebaikan kepada kulit.
Suplemen-suplemen ini dijual dalam bentuk serbuk untuk dicampur dalam minuman atau turut dijual dalam bentuk kapsul.
Jenis kolagen yang terdapat dalam suplemen berbeza-beza; sesetengahnya mengandungi satu atau dua jenis, manakala yang lain mengandungi sehingga lima jenis.
Walau bagaimanapun, menjadi persoalan adakah suplemen ini berkesan terutamanya dalam meningkatkan keanjalan kulit?
Bolehkah Mengekalkan Keanjalan Kulit dengan Meminum Kolagen?
Penyelidikan demi penyelidikan dijalankan untuk mengetahui akan kesan suplemen kolagen terhadap kesihatan kulit.
Contohnya seperti mengurangkan penuaan kulit, mengurangkan kedutan, meningkatkan keanjalan atau kelembapan kulit.
Satu kajian semula terhadap 19 kajian yang melibatkan 1,1225 peserta melaporkan bahawa pengambilan suplemen kolagen boleh meningkatkan penghidratan kulit, keanjalan dan mengurangkan kedutan. [1]
Satu kajian lain yang menggunakan produk kolagen daripada sumber marin turut melaporkan bahawa pengambilan suplemen kolagen tersebut menunjukkan kesan positif.
Selepas 12 minggu, peserta yang mengambil suplemen ini melaporkan peningkatan sebanyak 23% terhadap keanjalan kulit dan mengurangkan kedutan sehingga 15%. [2]
Selain itu, terdapat juga kajian yang dijalankan terhadap produk suplemen kolagen yang dicampurkan dengan bahan-bahan lain seperti vitamin C, vitamin E, zink dan biotin.
Kajian selama 12 minggu ini turut menunjukkan bahawa produk tersebut boleh membantu meningkatkan keanjalan kulit. [3]
Secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa meminum atau mengambil kolagen boleh membantu meningkatkan keanjalan kulit.
Walau bagaimanapun, harus diingat juga setiap individu mempunyai tindak balas berbeza terhadap suplemen yang diambil oleh mereka.
Berapa Lama Diperlukan untuk Melihat Kesan atau Perubahan?
Perolehan kolagen adalah proses yang perlahan. Untuk melihat kesan atau perubahan, anda perlu mengamalkan produk kolagen tersebut sekurang-kurangnya 8-12 minggu. [1, 2, 4]
Oleh itu, jika anda mengharapkan kesan yang pantas, suplemen kolagen bukanlah pilihan yang bijak.
Kesan Sampingan Suplemen Kolagen
Suplemen kolagen pada umumnya adalah selamat untuk diminum atau dimakan.
Tetapi, sesetengah suplemen dibuat daripada alergen makanan seperti ikan, kerang-kerangan dan telur.
Orang yang mempunyai alahan kepada makanan ini harus mengelakkan suplemen kolagen yang dibuat dengan bahan-bahan ini.
Sesetengah orang melaporkan berasa loya dan kembung perut apabila mengambil suplemen kolagen, tetapi kajian tidak secara konsisten menunjukkan keadaan ini sebagai kesan sampingan. [5]
Rumusan
Bagi menjawab persoalan minum kolagen dapat keanjalan kulit, terdapat bukti-bukti daripada penyelidikan yang menunjukkan suplemen kolagen boleh membantu meningkatkan keanjalan kulit. Maka, ia adalah fakta dan bukan auta.
Meskipun begitu, untuk mendapatkan hasil, pengambilan produk suplemen ini haruslah sekurang-kurangnya selama 8 minggu. Ini juga bermakna ia memerlukan kos yang agak tinggi.
Faktor-faktor seperti bahan lain atau jenis kolagen yang digunakan dalam satu-satu produk kolagen juga mungkin turut memberi kesan terhadap hasil yang diinginkan.
Oleh itu, pastikan anda membeli produk kolagen yang boleh dipercayai dan terbukti kesannya!
Rujukan
- de Miranda, R. B. et al. (2021). Effects of hydrolyzed collagen supplementation on skin aging: a systematic review and meta-analysis. International journal of dermatology.
- Evans, M. et al. (2021). A randomized, triple-blind, placebo-controlled, parallel study to evaluate the efficacy of a freshwater marine collagen on skin wrinkles and elasticity. Journal of cosmetic dermatology.
- Bolke, L. et al. (2019). A Collagen Supplement Improves Skin Hydration, Elasticity, Roughness, and Density: Results of a Randomized, Placebo-Controlled, Blind Study. Nutrients.
- Choi, F. D. et al. (2019). Oral Collagen Supplementation: A Systematic Review of Dermatological Applications. Journal of drugs in dermatology.
- Al-Atif H. (2022). Collagen Supplements for Aging and Wrinkles: A Paradigm Shift in the Fields of Dermatology and Cosmetics. Dermatology practical & conceptual.