Ubi bit telah mendapat populariti sebagai makanan unggul. Kajian-kajian terkini menunjukkan terdapat banyak khasiat ubi bit yang bermanfaat untuk kesihatan seperti menurunkan tekanan darah, membantu melawan keradangan dan lain-lain.
Ubi bit berasal dari keluarga yang sama seperti bit gula. Walau bagaimanapun, ia secara genetik dan nutrisi berbeza.
Bit gula berwarna putih dan pengilang cenderung menggunakannya untuk mengekstrak gula dan memaniskan makanan yang diproses.

Ubi bit atau nama saintifiknya Beta vulgaris ialah sejenis sayur-sayuran daripada keluarga Amaranth (Amaranthaceae) iaitu keluarga yang sama dengan bayam dan quinoa.
Ubi bit mengandungi fitonutrien yang menjadi bahan utama yang menyumbang kepada khasiatnya kepada kesihatan. Sebagai contoh, ubi bit mengandungi betalain yang bertindak sebagai antioksidan yang efektif.
Melihat potensi ubi bit yang mengagumkan, para penyelidik terus-menerus menjalankan kajian akan nilai-nilai terapeutiknya.
Berikut adalah beberapa khasiat ubi bit yang disokong oleh kajian-kajian saintifik:
1. Kaya dengan Pelbagai Nutrien
Ubi bit mempunyai profil nutrisi yang menarik.
Ubi bit rendah kalori tetapi tinggi dengan vitamin dan mineral berharga. Malah, ia mengandungi hampir semua vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh anda.
Bagi 100 gram ubi bit yang direbus, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 44 kcal
- Protein: 1.68 gram
- Karbohidrat: 9.96 gram
- Serat: 2 gram
- Kalsium: 16 miligram
- Zat besi: 0.79 miligram
- Magnesium: 23 miligram
- Fosforus: 38 miligram
- Kalium: 305 miligram
- Zink: 0.35 miligram
- Tembaga: 0.07 miligram
- Mangan: 0.33 miligram
- Selenium: 0.7 mikrogram
- Vitamin C: 3.6 miligram
- Vitamin B1: 0.03 miligram
- Vitamin B2: 0.04 miligram
- Vitamin B3: 0.33 miligram
- Vitamin B5: 0.15 miligram
- Vitamin B6: 0.07 miligram
- Folat: 80 mikrogram
- Vitamin A: 2 mikrogram
- Vitamin E: 0.04 miligram
- Vitamin K: 0.2 mikrogram
2. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Ubi bit telah dikaji dengan baik tentang keupayaannya untuk menurunkan paras tekanan darah tinggi, yang merupakan faktor risiko utama bagi penyakit jantung.
Malah, terdapat kajian-kajian yang dijalankan terhadap manusia menunjukkan bahawa jus ubi bit boleh menurunkan paras tekanan darah sistolik dan diastolik dengan ketara. [2, 3]
Ubi bit juga tinggi dengan kandungan folat. Walaupun penyelidikan menunjukkan keputusan yang bercampur-campur, beberapa kajian mencadangkan bahawa meningkatkan pengambilan folat boleh menurunkan paras tekanan darah dengan ketara. [4]
3. Bersifat Antiradang
Selain mempunyai ciri-ciri antioksidan, pigmen betalain yang terdapat dalam ubi bit turut bersifat antiradang.
Ini boleh memberi manfaat kepada beberapa aspek kesihatan kerana keradangan kronik telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit jantung, penyakit hati, kanser dan sakit sendi (artritis).
Satu kajian terhadap 24 orang yang mempunyai tekanan darah tinggi mendapati bahawa mengambil 250 ml jus ubi bit selama 2 minggu boleh mengurangkan beberapa penanda keradangan dengan ketara. [5]
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Ubi bit juga mengandungi antioksidan yang dipanggil asid alfa-lipoik. Sebatian ini boleh membantu merendahkan paras glukosa dan meningkatkan sensitiviti insulin.
Kajian semula pada tahun 2019 yang ingin melihat kesan asid alfa-lipoik pada gejala neuropati diabetes mendapati pengambilan asid alfa-lipoik melalui oral dan intravena boleh menurunkan gejala-gejala penyakit ini pada orang yang menghidap diabetes. [6]
5. Boleh Meningkatkan Prestasi Atlet
Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa nitrat diet seperti yang terdapat dalam ubi bit boleh meningkatkan prestasi sukan.
Nitrat kelihatan boleh memberi kesan terhadap prestasi fizikal dengan meningkatkan kecekapan mitokondria, yang bertanggungjawab untuk menghasilkan tenaga dalam sel anda. [7]
Satu kajian semula yang melibatkan 23 kajian melaporkan bahawa, jus ubi bit boleh meningkatkan daya tahan dengan meningkatkan tempoh masa yang diperlukan untuk menjadi letih, meningkatkan prestasi kardiorespiratori dan meningkatkan kecekapan bagi atlet. [8]
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Ubi bit juga didapati berpotensi dalam membantu mencegah dan merawat kanser.
Khasiat ubi bit ini dipercayai disumbang oleh kandungan antioksidannya seperti betalain, betaine, kaempferol, rutin, asid ferulik dan asid kafeik. [9]
Kajian-kajian tabung uji menunjukkan bahawa ekstrak ubi bit boleh melambatkan pembahagian dan pertumbuhan sel kanser. [10, 11]
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diberi perhatian bahawa kebanyakan kajian mengenai ciri-ciri antikanser tersebut telah menggunakan sebatian terpencil dan bukannya ubi bit.
Oleh itu, kajian lanjut mengenai penggunaan ubi bit sebagai sebahagian daripada diet lengkap dan risiko kanser masih diperlukan.
7. Baik untuk Sistem Penghadaman
Ubi bit juga berkhasiat kepada sistem penghadaman kerana kandungan seratnya yang tinggi.
Serat bergerak ke usus besar tanpa dicernakan, di mana ia menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus besar dan membesarkan najis.
Ini boleh membantu meningkatkan kesihatan sistem penghadaman, memastikan anda senang membuang air besar dan mencegah masalah berkaitan penghadaman seperti sembelit, penyakit radang usus dan diverticulitis.
8. Baik untuk Kesihatan Otak
Fungsi mental dan kognitif secara semula jadi menurun selari dengan usia. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kepada gangguan neurodegeneratif seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson.
Kandungan nitrat dalam ubi bit boleh meningkatkan fungsi otak dengan menggalakkan pelebaran saluran darah dan dengan itu meningkatkan aliran darah ke otak.
Kajian menunjukkan ubi bit boleh membantu meningkatkan aliran darah ke lobus hadapan otak iaitu kawasan yang dikaitkan dengan pemikiran tahap tinggi seperti membuat keputusan dan memori kerja. [12]
Rumusan
Ubi bit sangat berkhasiat dan sarat dengan manfaat kepada kesihatan tubuh badan pemakannya.
Khasiat ubi bit didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah yang baik untuk kesihatan jantung, melawan keradangan, membantu menurunkan paras gula darah dan lain-lain lagi.
Paling penting, ubi bit adalah lazat dan mudah dimasukkan ke dalam diet harian anda. Contohnya, ia boleh ditambah dalam salad, smoothie, saus dan jus.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Beets, cooked, boiled, drained.
- Jajja, A. et al. (2014). Beetroot supplementation lowers daily systolic blood pressure in older, overweight subjects. Nutrition research.
- Bonilla Ocampo, D. A. et al. (2018). Dietary Nitrate from Beetroot Juice for Hypertension: A Systematic Review. Biomolecules.
- Asbaghi, O. et al. (2021). Folic acid supplementation and blood pressure: a GRADE-assessed systematic review and dose-response meta-analysis of 41,633 participants. Critical reviews in food science and nutrition.
- Asgary, S. et al. (2016). Improvement of hypertension, endothelial function and systemic inflammation following short-term supplementation with red beet (Beta vulgaris L.) juice: a randomized crossover pilot study. Journal of human hypertension.
- Salehi, B. et al. (2019). Insights on the Use of α-Lipoic Acid for Therapeutic Purposes. Biomolecules.
- Gupta, K. J. et al. (2017). Nitrite Protects Mitochondrial Structure and Function under Hypoxia. Plant & cell physiology.
- Domínguez, R. et al. (2017). Effects of Beetroot Juice Supplementation on Cardiorespiratory Endurance in Athletes. A Systematic Review. Nutrients.
- Lechner, J. F., & Stoner, G. D. (2019). Red Beetroot and Betalains as Cancer Chemopreventative Agents. Molecules.
- Mancini, M. C. S. et al. (2021). Beetroot and leaf extracts present protective effects against prostate cancer cells, inhibiting cell proliferation, migration, and growth signaling pathways. Phytotherapy research.
- Nowacki, L. et al. (2015). Betanin-Enriched Red Beetroot (Beta vulgaris L.) Extract Induces Apoptosis and Autophagic Cell Death in MCF-7 Cells. Phytotherapy research.
- Petrie, M. et al. (2017). Beet Root Juice: An Ergogenic Aid for Exercise and the Aging Brain. The journals of gerontology.