Khasiat jambu batu merangkumi pelbagai aspek, daripada penyakit kronik hinggalah kepada kebaikan untuk kulit. Nutrien-nutrien yang terdapat dalam jambu batu ini memberi banyak manfaat kepada kesihatan.
Buah jambu batu (Psidium guajava) berasal dari Amerika Tengah. Buahnya berbentuk bujur hingga bulat yang mempunyai isi berwarna merah jambu atau putih.
Daunnya pula boleh dijadikan teh herba dan ekstraknya dijadikan makanan tambahan. Daun jambu ini juga boleh digunakan untuk mengurangkan hanyir ikan air tawar.
Berikut adalah 8 khasiat jambu batu dan daun jambu batu:
1. Bermanfaat Kepada Penghidap Kencing Manis
Beberapa kajian mendapati jambu batu boleh membantu mengawal gula darah.
Kajian terhadap haiwan dan tabung uji mendapati ekstrak daun jambu batu boleh menambah baik paras gula darah, kawalan gula darah jangka panjang dan rintangan insulin. [1, 2, 3]
Kajian terhadap manusia juga menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Satu kajian terhadap 19 orang individu, meminum teh daun jambu batu boleh merendahkan paras gula darah selepas makan. Kesan ini bertahan selama 2 jam. [3]
Satu kajian lain terhadap 20 penghidap kencing manis (diabetes jenis 2) mendapati meminum teh daun jambu batu mengurangkan paras gula darah lebih 10% selepas makan. [3]
2. Boleh Mengurangkan Senggugut
Daun jambu batu telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat di India untuk kesihatan wanita sejak dahulu lagi.
Dalam satu kajian terhadap 197 orang wanita yang mengalami masalah senggugut mendapati pengambilan ekstrak daun jambu batu sebanyak 6 mg sehari mengurangkan kesakitan. Malah, lebih berkesan berbanding ubat biasa. [4]
3. Mencegah Sembelit & Mengurangkan Cirit-birit
Buah jambu batu merupakan sumber terbaik untuk mendapatkan serat diet.
Sebekas buah jambu batu seberat 165 gram boleh membekalkan 30% RNI (recommended nutrient intake) bagi serat diet untuk rakyat Malaysia.
Oleh itu, pemakanan buah jambu batu mempromosikan pergerakan usus yang sihat dan mencegah sembelit.
Tambahan lagi, ekstrak daun jambu batu ini juga boleh mengurangkan keamatan dan tempoh cirit-birit. [5, 6]
4. Boleh Meningkatkan Kekuatan Sistem Imun Badan
Kekurangan vitamin C banyak dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan dan penyakit.
Menariknya, buah jambu batu juga kaya dengan vitamin C. Bagi 100 gram buah jambu batu terdapat 228 mg iaitu lebih tiga kali ganda RNI (70 mg) untuk vitamin C.
Vitamin C juga mempunyai peranan penting untuk mengekalkan kesihatan sistem imun badan.
Walaupun vitamin C dilihat tidak boleh mencegah demam selesema, namun vitamin C boleh mengurangkan tempoh demam selesema. [7]
5. Mempunyai Ciri-ciri Antikanser
Buah jambu juga kaya dengan antioksidan seperti likopena.
Dalam satu kajian mendapati, pengambilan likopena yang tinggi boleh mengurangkan risiko kanser prostat. [8]
Ujian tabung uji juga menunjukkan bahawa likopena menghalang perkembangan dan memudahkan kematian sel-sel kanser payudara. Likopena juga menunjukkan tidak balas yang sama terhadap sel-sel kanser kolorektal. [9, 10]
6. Baik untuk Kesihatan Kulit
Buah jambu batu ini juga mempunyai ciri-ciri antipenuaan.
Kandungan vitamin C, vitamin A dan antioksidan yang lain seperti likopena boleh melindungi kulit daripada kedutan dan garis penuaan. [11]
Vitamin C yang tinggi dalam buah jambu batu ini juga berguna dalam penghasilan kolagen untuk kulit. [12]
Rumusan
Banyak khasiat buah jambu batu serta daunnya yang boleh dimanfaatkan oleh kita.
Selain itu, buah ini juga mudah didapati digerai-gerai di bahu jalan ataupun kawasan rehat dan rawat (R&R) serta boleh dinikmati secara segar.
Buahjambu batu rendah kalori, kaya dengan serat diet dan pilihan baik untuk diet yang sihat. Selain buahnya, daun jambu batu ini juga kaya dengan sifat terapeutiknya.
Rujukan
- Oh, W. K. et al. (2005). Antidiabetic effects of extracts from Psidium guajava. Journal of ethnopharmacology.
- Shen, S. C. et al. (2008). Effect of guava (Psidium guajava Linn.) leaf soluble solids on glucose metabolism in type 2 diabetic rats. Phytotherapy research.
- Deguchi, Y., & Miyazaki, K. (2010). Anti-hyperglycemic and anti-hyperlipidemic effects of guava leaf extract. Nutrition & metabolism.
- Doubova, S. V. et al. (2007). Effect of a Psidii guajavae folium extract in the treatment of primary dysmenorrhea: a randomized clinical trial. Journal of ethnopharmacology.
- Lutterodt, G. D. et al. (1999). Antimicrobial effects of psidium guajava extract as one mechanism of its antidiarrhoeal action. The Malaysian journal of medical sciences.
- Lozoya, X. et al. (2002). Intestinal anti-spasmodic effect of a phytodrug of Psidium guajava folia in the treatment of acute diarrheic disease. Journal of ethnopharmacology.
- Hemilä, H., & Chalker, E. (2013). Vitamin C for preventing and treating the common cold. The Cochrane database of systematic reviews.
- Chen, P. et al. (2015). Lycopene and Risk of Prostate Cancer: A Systematic Review and Meta-Analysis. Medicine.
- Peng, S. J. et al. (2017). In vitro effects and mechanisms of lycopene in MCF-7 human breast cancer cells. Genetics and molecular research.
- Carini, F. et al. (2017). Colorectal cancer: an update on the effects of lycopene on tumor progression and cell proliferation. Journal of biological regulators and homeostatic agents.
- Masaki H. (2010). Role of antioxidants in the skin: anti-aging effects. Journal of dermatological science.
- Pullar, J. M. et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients.