Cekur manis mempunyai khasiat yang istimewa yang mungkin ramai tidak mengetahuinya. Khasiat cekur manis ini juga turut terbukti dalam kajian-kajian sains moden. Selain nama cekur manis, tumbuhan renek ini turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti sayur manis, katuk, asin-asin, cekok manis, changkok manis dan cangkok manis.
Cekur manis (sauropus androgynus) adalah tumbuhan daripada keluarga Phyllanthaceae iaitu keluarga yang sama dengan pokok Melaka, rambai, tampoi atau jambu kera. Pokok cekur manis banyak ditanam di negara-negara Asia dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Laos, India dan China.
Selain dimasak dijadikan sayur, cekur manis juga sebenarnya banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Orang-orang dahulu menggunakan cekur manis untuk merawat penyakit mata, penyakit kencing manis, mengurangkan berat badan, batuk, cirit-birit dan ulser.
Selari dengan penggunaannya dalam perubatan tradisional, khasiat-khasiat cekur manis turut dikaji dalam bidang farmakologi. Antaranya adalah:
1. Tinggi Vitamin C, A dan E
Cekur manis atau daun cekur manis adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C. Malah, kandungan vitamin C bagi 100 gram daun cekur manis adalah lebih tinggi daripada 100 gram buah oren.
100 gram daun cekur manis mengandungi 136 mg vitamin C manakala 100 gram buah oren mandarin mempunyai 28 mg vitamin C.
Selain itu, cekur manis juga turut dilaporkan tinggi dengan vitamin A dan E. Daun cekur manis tinggi dengan vitamin A dalam bentuk beta-karotena. [1]
Manakala, vitamin E yang terkandung dalam daun cekur manis adalah sebanyak 15.6-17.6 mg/100g. [1]
Ketiga-tiga vitamin ini mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan badan termasuklah bersifat antioksidan.
2. Bersifat Antiradang
Keradangan adalah proses semula jadi badan apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Pada mulanya, keradangan adalah baik tetapi jika ia berlaku secara berpanjangan (kronik), keradangan ini akan membawa pelbagai masalah lain termasuklah sakit sendi, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain.
Cekur manis juga didapati turut mempunyai ciri-ciri antiradang. Khasiat ini dapat dibuktikan dalam satu kajian terhadap haiwan. Ekstrak daun cekur manis didapati boleh mengurangkan bengkak atau sembab yang terbentuk akibat keradangan. [2]
Tambahan lagi, kesan perawatan ekstrak daun cekur manis ini didapati hampir sama dengan ubat antiradang bukan steroid iaitu diclofenac.
3. Kaya dengan Antioksidan
Cekur manis juga turut kaya dengan antioksidan. Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Cekur manis tinggi dengan antioksidan dalam bentuk flavonoid, polifenol, klorofil dan coenzyme Q10 (CoQ10).
Kajian-kajian turut melaporkan bahawa mereka yang mempunyai paras CoQ10 dalam badan yang rendah lebih berisiko untuk menghidap kanser. [3, 4, 5]
4. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Seperti pengunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden juga turut mendapati cekur manis boleh membantu mengurangkan berat badan bagi mereka yang mengamalkannya.
Cekur manis mengandungi sebatian yang dikenali sebagai 3-O-β-D-glucosyl-(1-6)-β-D-glucosyl-kaempferol (GGK) yang boleh bertindak sebagai agen antiobesiti. [6]
5. Boleh Membantu Meningkatkan Susu Badan
Daun cekur manis juga sangat baik untuk dimakan oleh ibu yang menyusukan bayi. Hal ini demikian kerana, tumbuhan ini boleh membantu meningkatkan susu badan.
Penggunaan cekur manis dalam meningkatkan susu badan banyak diamalkan di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Satu kajian yang dijalankan terhadap ibu menyusu mendapati ekstrak daun cekur manis boleh meningkatkan penghasilan susu ibu sebanyak 50% berbanding plasebo. [7]
6. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria dan Kulat
Ekstrak cekur manis juga didapati berkhasiat dalam membantu mencegah atau melawan jangkitan bakteria dan antikulat.
Satu kajian makmal mendapati ekstrak metanol dan etanol cekur manis adalah berkesan dalam mencegah bakteria-bakteria daripada jenis Klebsiella pneumoniae, Bacillus cereus, Proteus vulgaris, Pseudomonas aeruginosa, Escherichia coli dan Staphylococcus aureus. [8]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan, radang paru-paru, jangkitan darah, jangkitan salur kencing dan jangkitan saluran pernafasan.
Selain itu juga, kajian turut mendapati ekstrak cekur manis turut mempunyai ciri-ciri antikulat terhadap kulat jenis Aspergillus flavus dan Candida albicans. [9]
Aspergillus flavus adalah kulat yang boleh menghasilkan mikotoksin yang boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru kepada manusia. Candida albicans pula adalah kulat yang selalu menyebabkan jangkitan di mulut dan faraj wanita.
7. Berpotensi Menjadi Agen Pemutihan Kulit
Cekur manis juga berpotensi digunakan dalam produk kosmetik atau penjagaan diri sebagai agen pemutih kulit.
Khasiat ini berdasarkan kajian awal yang mendapati sebatian flavonoid termasuklah GGK dalam cekur manis boleh mencegah penghasilan melanin secara sederhana dengan ketoksikan yang rendah. Melanin ialah pigmen yang menentukan warna kulit. [10]
Meskipun begitu, kajian ini masih diperingkat tabung uji dan memerlukan kajian lanjutan untuk mengesahkannya.
8. Boleh Merendahkan Paras Gula Darah
Masyarakat di India menggunakan daun cekur manis untuk mencegah dan merawat penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian terhadap haiwan mendapati haiwan yang dirawat dengan klorofil daripada daun cekur manis menunjukkan kesan penurunan gula darah yang ketara. [11]
Kajian lain turut mendapati ekstrak daun cekur manis pada dos 250mg/kg dan 500mg/kg boleh mengurangkan gula darah puasa, pemperoksidaan lipid (lemak) dan meningkatkan enzim-enzim antioksidan. [12]
Kajian lanjutan terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian-kajian ini.
9. Boleh Merawat Ulser Peptik
Ulser peptik adalah luka terbuka yang berkembang pada lapisan dalam perut dan bahagian atas usus kecil anda. Ulser peptik ini selalunya menyebabkan gejala seperti sakit perut.
Cekur manis juga turut didapati boleh merawat ulser peptik. Khasiat cekur manis ini dibuktikan dalam satu kajian terhadap haiwan. Kajian ini mendapati ekstrak daun cekur manis boleh menjadi terapi alternatif untuk merawat ulser peptik dan mengurangkan keradangan. [13]
10. Berpotensi Mencegah Kanser
Kanser telah menjadi ancaman besar kepada kesihatan manusia. Penerokaan saintifik sedang dijalankan untuk menemui ubat-ubatan antikanser dan gabungan ubat-ubatan untuk menyembuhkan kanser.
Cekur manis juga turut dikaji akan kesan antikansernya. Satu kajian makmal yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia mendapati ekstrak pucuk cekur manis boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser payudara. [14]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk membuktikan kesan antikanser daun cekur manis.
11. Boleh Merawat Keguguran Rambut atau Botak
Cekur manis juga turut digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat keguguran rambut atau botak (alopecia).
Daun cekur manis dicampurkan dengan susu, kemudiannya ditumbuk untuk dijadikan poultis. Poultis ini seterusnya disapu dikulit kepala. [15]
Khasiat cekur manis ini juga turut disokong oleh kajian moden yang mendapati daun cekur manis mengandungi sebatian yang boleh mencegah botak. [16]
Kesan Sampingan atau Ketoksikan
Pemakanan daun cekur manis yang banyak dan tidak dimasak mungkin boleh mendatangkan kesan sampingan atau ketoksikan.
Pada tahun 1995, terdapat laporan yang melaporkan wabak yang melibatkan cekur manis dan penyakit paru-paru obstruktif yang dikenali sebagai “bronchiolitis obliterans“. Seramai 278 pesakit didiagnosis dengan penyakit ini akibat pengambilan daun cekur manis yang tidak dimasak. [17]
Seramai 9 orang pesakit meningal dunia dan pemindahan paru-paru adalah satu-satunya rawatan untuk masalah ini.
Hal ini disebabkan oleh daun cekur manis mengandungi papaverine iaitu komponen toksik utamanya. Pengambilan papaverine ini perlu dihadkan kepada 300mg sehari dan pengambilan berlebihan daripada dos ini boleh mendatangkan kesan advers seperti:
- Ruam kulit
- Sakit perut
- Sakit kepala
- Pening
- Ketoksikan hati
- Denyutan jantung yang terlalu laju
Justeru itu, cekur manis haruslah dimasak terlebih dahulu dan diambil kadar yang berpatutan serta tidak berlebihan.
Rumusan
Cekur manis adalah tumbuhan herba yang daunnya boleh dijadikan sayur yang mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat.
Selain penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden turut menyokong bahawa daun cekur manis boleh meningkatkan susu badan, membantu mengurangkan berat badan, bersifat antiradang, mengandungi antioksidan dan lain-lain lagi.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian berterusan masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil dapatan kajian yang terdahulu.
Beberapa kesan sampingan atau toksik turut dilaporkan sekiranya daun cekur manis ini dimakan mentah atau dimakan pada kadar yang banyak.
Rujukan
- Platel, K., & Srinivasan, K. (2017). Nutritional Profile of Chekurmanis (Sauropus androgynus), A Less Explored Green Leafy Vegetable. The Indian Journal Of Nutrition And Dietetics.
- Kumar,P.R. & George, P. (2016). Activity of Sauropus androgynus L. leaf extract against inflammation and its immunomodulatory effect in Swiss albino mice. International Journal of Advanced Biotechnology and Research.
- Cooney, R. V. et al.(2011). Low plasma coenzyme Q(10) levels and breast cancer risk in Chinese women. Cancer epidemiology, biomarkers & prevention.
- Chai, W. et al. (2011). Plasma coenzyme Q10 levels and prostate cancer risk: the multiethnic cohort study. Cancer epidemiology, biomarkers & prevention.
- Shidal, C. et al. (2021). Prospective study of plasma levels of coenzyme Q10 and lung cancer risk in a low-income population in the Southeastern United States. Cancer medicine.
- Yu, S.F. et al. (2006). 3-O-β-D-Glucosyl-(1→6)-β-D-glucosyl-kaempferol Isolated from Sauropus androgenus Reduces Body Weight Gain in Wistar Rats. Biological and Pharmaceutical Bulletin.
- Sa’roni, S. et al. (2012). EFFECTIVENESS OF THE SAUROPUS ANDROGYNUS (L.) MERR LEAF EXTRACT IN INCREASING MOTHER’S BREAST MILK PRODUCTION. Media Penelitian Dan Pengembangan Kesehatan
- Gayathramma, K. et al. (2012). Chemical constituents and antimicrobial activities of certain plant parts of Sauropus androgynus L.. International Journal of Pharma and Bio Sciences.
- Selvi, V.S. et al. (2011). Antifungal Activity and Phytochemical Analysis of Cympogon citratus, Sauropus androgynus and Spillanthes achmella Plants. World Journal of Fungal dan Plant Biology.
- Zhang, J. et al. (2018). Melanogenesis-Inhibitory and Cytotoxic Activities of Chemical Constituents from the Leaves of Sauropus androgynus L. Merr. (Euphorbiaceae). Chemistry & biodiversity.
- Suparmi S. et al. (2021). Hypoglycemic and Antianemia Effects of Chlorophyll from Sauropus androgynus (L) Merr Leaves in Rats. Pharmacognosy Journal.
- Kumar, P. R. & George, P. (2015). Antidiabetic Effect of Sauropus androgynus L. Leaves in Alloxan Induced Diabetic Mice. Journal of Pure and Applied Microbiology.
- A Roosdiana et al. (2018). The Potency of Ethanolic Extract of Sauropus androgynus (L.) Merr Leaves as Therapeutic herbal of Rats (Rattus norvegicus) Peptic Ulcer Model Induced by Aspirin. IOP Conf. Ser.: Mater. Sci. Eng.
- Rahmat, A. et al. (2004). Determination of total antioxidant activity in three types of local vegetables shoots and the cytotoxic effect of their ethanolic extracts against different cancer cell lines. Asia Pacific journal of clinical nutrition,.
- Ong, H.C. et al. (2011). Traditional Knowledge of Medicinal Plants among the Malay Villagers in Kampung Mak Kemas, Terengganu, Malaysia. Studies on Ethno-Medicine.
- Praceka, M. S, et al. (2020). Journal of Global Pharma Technology Molecular Modeling of Anti-Alopecia Compounds Found in Sauropus Androgynus.
- Bunawan,H. et al. (2015). “Sauropus androgynus (L.) Merr. Induced Bronchiolitis Obliterans: From Botanical Studies to Toxicology“, Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine.