Buah rambai adalah antara buah yang semakin dilupakan dan kurang dikomersilkan. Mungkin generasi baru juga semakin kurang mengenali buah ini. Mengetahui khasiat buah rambai mungkin boleh meningkatkan permintaan terhadap buah ini.
Rambai atau nama saintifiknya Baccaurea motleyana adalah tumbuhan tropika daripada keluarga Phyllanthaceae iaitu keluarga yang sama dengan buah tampoi. Pokok rambai pada asalnya boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Jawa, Sumatra dan Bali. Kini, pokok rambai ditanam di negara-negara seperti Thailand, Filipina, India dan Bangladesh.
Secara tradisionalnya, buah dan kulit buah rambai digunakan dalam perubatan dan perawatan seperti sakit perut, penyakit mata, jerawat dan gangguan kulit yang lain. Buah rambai juga turut digunakan untuk merawat jangkitan bakteria. Kulit buah rambai yang ditumbuk pula dimakan untuk membantu memudahkan untuk tidur.

Kredit: NusHub, CC BY-SA 3.0, melalui Wikimedia Commons
Berikut adalah beberapa khasiat buah rambai yang bermanfaat untuk kesihatan pemakannya:
1. Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Khasiat buah rambai banyak disumbang oleh kandungan nutrien-nutrien yang terkandung di dalamnya.
Bagi 100 gram buah rambai, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori: 64 kcal
- Protein: 0.4 gram
- Karbohidrat: 14.6 gram
- Serat: 0.4 gram
- Kalsium: 5 miligram
- Zat besi: 0.2 miligram
- Fosforus: 13 miligram
- Kalium: 111 miligram
- Natrium: 2 miligram
- Vitamin C: 6.2 miligram
- Vitamin B1: 0.02 miligram
- Vitamin B2: 0.05 miligram
- Vitamin B3: 0.2 miligram
Selain itu, buah rambai juga tinggi dengan kandungan air iaitu kira-kira 84% daripada buah tersebut. Ini bermakna memakan buah ini boleh membantu menambah kandungan air dalam badan dan mencegah dehidrasi.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada kerosakan akibat radikal bebas dan mengurangkan tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, diabetes atau Alzheimer.
Kajian menunjukkan buah rambai agak tinggi dengan kapasiti antioksidan dan sebatian fenolik, flavonoid dan antosianin. Ini menandakan bahawa buah rambai mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi. [2, 3]
3. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria
Buah rambai juga didapati berkhasiat dalam membantu mencegah jangkitan bakteria kerana sifat antibakterianya.
Ekstrak buah rambai dilaporkan mempunyai aktiviti-aktiviti antibakteria yang aktif terhadap bakteria spesies S. aureus, B. cereus, B. subtilis, E. coli, P. aeruginosa, dan P. vulgaris. Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang sering menyebabkan keracunan makanan, jangkitan pada luka, jangkitan salur darah atau pneumonia. [4]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Kanser adalah penyebab kedua kematian di seluruh dunia. Di Malaysia, kanser usus besar adalah kanser yang tertinggi dihidapi oleh golongan lelaki manakala kedua tertinggi dalam kalangan wanita.
Satu kajian makmal menunjukkan bahawa ekstrak buah dan kulit buah rambai mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser usus besar. [5]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian awal ini.
5. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Secara umumnya, pemakanan yang tinggi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran dikaitkan dengan kebolehan untuk mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Lebih terperinci lagi, telah dibuktikan bahawa diet yang rendah natrium (sodium) dan pengambilan kalium (potassium) yang mencukupi boleh memberikan kesan positif terhadap pengawalan tekanan darah. [6]
Buah rambai adalah buah yang rendah dengan natrium dan tinggi dengan kalium yang boleh membantu anda mengekalkan tekanan darah yang sihat.
Kegunaan Komersial dan Industri
Buah rambai boleh dimakan secara segar atau turut digunakan untuk membuat jam, jus dan cuka.
Dalam masakan Indonesia, buah rambai yang dijeruk dihidangkan bersama-sama dengan kari.
Rumusan
Buah rambai adalah buah yang kurang dikomersilkan dan kurang ditanam secara besar-besaran.
Kajian-kajian yang terhad menunjukkan buah rambai mengandungi antioksidan, boleh membantu mencegah jangkitan bakteria, berpotensi mencegah kanser dan boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Selain itu juga, buah rambai juga boleh membekalkan nutrien-nutrien yang bermanfaat untuk kesihatan badan.
Rujukan
- Malaysian Food Composition Database (MYFCD). Rambai
- Khairul Ikram, E.H. et al. (2009). Antioxidant capacity and total phenolic content of Malaysian underutilized fruits. Journal of Food Composition and Analysis.
- Nurmayani, S. et al. (2021). Characterization of rambai (Baccaurea motleyana) genes putatively involved in sugar metabolism. IOP Conf. Ser.: Earth Environ. Sci.
- Mohamaed, S. et al. (1994). Antimicrobial Activity of some Tropical Fruit Wastes (Guava, Starfruit, Banana, Papaya, Passionfruit, Langsat, Duku, Rambutan and Rambai). PertanikaJ. Trap. Agric. Sci. 17(3): 219-227.
- Ismail, M. et al. (2012). Anticancer properties and phenolic contents of sequentially prepared extracts from different parts of selected medicinal plants indigenous to Malaysia. Molecules.
- Perez, V., & Chang, E. T. (2014). Sodium-to-potassium ratio and blood pressure, hypertension, and related factors. Advances in nutrition.