Buah oren merupakan antara buah yang paling popular di dunia. Ia sering dipopularkan sebagai sumber untuk mendapatkan vitamin C. Namun, sebenarnya masih banyak khasiat buah oren yang tidak diketahui ramai.
Buah oren boleh dikategorikan sebagai buah sitrus sama seperti buah lemon, limau nipis, limau mandarin dan lain-lain.
Buah oren kaya dengan nutrien-nutrien seperti serat, vitamin C, folat, kalium dan juga antioksidan. Nutrien-nutrien ini memainkan peranan penting terhadap khasiat dan kebaikan buah oren.
Berikut merupakan beberapa khasiat dan kebaikan buah oren berdasarkan penyelidikan-penyelidikan sains:
1. Kaya dengan Vitamin C
Buah oren merupakan antara sumber vitamin C terbaik. Vitamin ini penting dalam penghasilan kolagen iaitu protein yang memberikan struktur kepada tulang, rawan, otot dan saluran darah.
Selain itu, vitamin C turut mempunyai banyak peranan yang lain terhadap badan seperti membantu penyerapan zat besi, menguatkan sistem imun dan bertindak sebagai antioksidan.
Sebiji buah oren besar dengan berat kira-kira 184g dapat memberikan lebih 100% keperluan vitamin C harian.
2. Boleh Membantu Mencantikkan Kulit
Kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah oren juga baik untuk kulit. Vitamin C mengalakkan penghasilan kolagen untuk kulit.
Selain itu, vitamin C ini juga bertindak sebagai peneutral atau pembuang pengoksidaan akibat daripada pencemaran persekitaran atau akibat sinaran UV (ultraviolet). [1]
3. Boleh Mencegah Penyakit Anemia
Penyakit anemia ialah penyakit akibat kekurangan sel-sel darah merah. Ia mengurangkan keupayaannya untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Penyakit ini kebiasaannya akibat kekurangan zat besi.
Walaupun buah oren bukan sumber zat besi yang baik, namun kandungan asid askorbik (vitamin C) dan asid sitrik yang tinggi dalam buah oren dapat membantu badan untuk menyerap zat besi dalam sistem penghadaman. [2, 3]
Penyakit anemia boleh dicegah dengan mengabungkan makanan yang kaya dengan zat besi seperti bayam dan buah oren.
4. Boleh Mengurangkan Risiko Terkena Strok
Pemakanan harian yang tinggi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh membantu mengurangkan risiko terkena strok.
Dalam satu kajian yang mengambil masa selama 14 tahun mendapati, pengambilan buah sitrus seperti buah oren boleh mengurangkan risiko terkena strok.
Kandungan flavanon (antioksidan) dalam buah atau jus sitrus dikaitkan dengan pengurangan risiko strok iskemia. [4]
5. Baik untuk Kesihatan Mata
Buah oren juga turut berkhasiat kepada mata. Kandungan antioksidan dalam buah ini memainkan peranan penting terhadap pelindungan mata.
Sebagai contoh, buah oren kaya dengan kandungan karotenoid jenis beta-kriptoxantin iaitu prekursor kepada vitamin A. Ini bermakna badan akan menukarkan beta-kriptoxantin kepada vitamin A. [5]
Vitamin A adalah salah satu vitamin yang penting untuk kesihatan mata. Kekurangan vitamin A boleh membawa kepada kehilangan penglihatan atau rabun malam. [6]
6. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kandungan serat, kalium (potassium), vitamin C dan kolina dalam buah oren adalah baik untuk kesihatan jantung.
Kandungan kalium yang tinggi dalam buah oren dapat mengimbangi kesan negatif natrium (sodium).
Dalam satu kajian mendapati pengambilan kalium dapat mengurangkan kesan buruk pengambilan natrium yang tinggi serta menunjukkan penurunan risiko penyakit kardiovaskular dan strok. [7]
7. Membantu Menguatkan Sistem Pertahanan Badan
Buah oren juga boleh membantu menguatkan sistem pertahanan badan (sistem imun badan).
Kandungan vitamin C dalam buah oren boleh bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi sel-sel badan yang sihat daripada kerosakan oksidatif.
Kerosakan oksidatif ini boleh memberikan impak negatif terhadap kesihatan sistem imun dan meningkatkan risiko penyakit. [8]
Rumusan
Banyak khasiat buah oren yang boleh dimanfaatkan oleh kita dalam diet harian. Selain rasanya yang enak, buah oren juga merupakan sumber vitamin C yang sangat baik.
Walau bagaimanapun, pengambilan jus oren yang terdaapt di pasaran harus dihadkan kerana tinggi dengan kadar gula.
Rujukan
- Pullar, J. M. et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients.
- Péneau, S. et al. (2008). Relationship between iron status and dietary fruit and vegetables based on their vitamin C and fiber content. The American journal of clinical nutrition.
- Ballot, D. et al. (1987). The effects of fruit juices and fruits on the absorption of iron from a rice meal. The British journal of nutrition.
- Cassidy, A. et al. (2012). Dietary flavonoids and risk of stroke in women. Stroke.
- Burri B. J. (2015). Beta-cryptoxanthin as a source of vitamin A. Journal of the science of food and agriculture.
- Saenz-de-Viteri, M., & Sádaba, L. M. (2016). Optical Coherence Tomography Assessment Before and After Vitamin Supplementation in a Patient With Vitamin A Deficiency: A Case Report and Literature Review. Medicine.
- Aaron, K. J., & Sanders, P. W. (2013). Role of dietary salt and potassium intake in cardiovascular health and disease: a review of the evidence. Mayo Clinic proceedings.
- Liguori, I. et al. (2018). Oxidative stress, aging, and diseases. Clinical interventions in aging.