Vitamin A adalah vitamin larut lemak yang secara semula jadinya terkandung di dalam banyak makanan. Terdapat banyak kebaikan vitamin A yang sangat diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kebaikan vitamin A yang disokong oleh kajian-kajian sains.
Lelaki dan wanita dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan vitamin A sebanyak 600 mikrogram (mcg) sehari. Manakala, wanita hamil dan menyusukan anak disarankan untuk mendapatkan 800 mcg dan 850 mcg sehari.
Vitamin A terdapat dalam makanan yang berasaskan haiwan dan tumbuhan dan terdapat dalam dua bentuk berbeza iaitu vitamin A prabentuk dan provitamin A.

Vitamin A prabentuk dikenali sebagai bentuk aktif vitamin ini. Ini bermakna vitamin ini boleh terus digunakan oleh badan.
Ia boleh ditemui dalam makanan berasaskan haiwan seperti daging, ayam, ikan dan tenusu serta sebatian seperti retinol, retinal dan asid retinoik.
Provitamin A atau turut dipanggil karotenoid pula adalah bentuk vitamin A yang tidak aktif. Ia lazimnya dijumpai dalam banyak makanan berasaskan tumbuhan.
Contohnya, karotenoid yang paling banyak dijumpai dalam makanan atau makanan tambahan adalah beta-karotena.
Provitamin A akan ditukarkan kepada bentuk aktif di dalam badan. Sebagai contoh, beta-karotena ditukarkan kepada retinol di dalam usus kecil.
Berikut adalah kebaikan atau manfaat vitamin A kepada kesihatan badan manusia:
1. Boleh Melindungi Mata Daripada Rabun Malam dan Kemerosotan Akibat Usia
Vitamin A adalah vitamin yang bertanggungjawab kepada penglihatan yang normal.
Vitamin A diperlukan untuk menukarkan cahaya yang mengenai mata kepada isyarat elektrik yang seterusnya dihantar ke otak.
Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan rabun malam atau turut dikenali sebagai nyctalopia. [1]
Orang yang menghidap rabun malam boleh melihat secara normal pada waktu siang, tetapi akan mengalami rabun pada waktu malam atau tempat gelap kerana mata mereka sukar untuk mengambil cahaya pada tahap yang lebih rendah.
Selain itu, vitamin A juga turut penting bagi mengelakkan atau mencegah penyakit kemerosotan mata akibat peningkatan usia seperti degenerasi makular berkaitan usia.
Degenerasi makular berkaitan usia adalah punca utama kebutaan di negara maju. Walaupun punca sebenar ia tidak diketahui, ia dianggap sebagai hasil daripada kerosakan sel pada retina, yang disebabkan oleh tekanan oksidatif. [2]
Gabungan karotenoid seperti beta-karotena, lutein dan zeaxantin dilaporkan boleh membantu mengurangkan risiko terhadap degenerasi makular berkaitan usia. [3]
2. Membantu Menguatkan Sistem Imun
Vitamin A juga memainkan peranan penting terhadap sistem imun badan.
Vitamin A terlibat dalam penghasilan dan fungsi sel-sel darah putih yang berperanan untuk menangkap dan menyingkirkan bakteria atau kuman lain daripada salur darah anda.
Kekurangan vitamin A boleh menjadikan anda berisiko untuk mengalami jangkitan.
Malahan, di negara-negara di mana jangkitan seperti campak dan malaria adalah perkara biasa, membetulkan kekurangan vitamin A pada kanak-kanak telah terbukti mengurangkan risiko kematian akibat penyakit ini. [4]
3. Boleh Mengurangkan Risiko Terhadap Sesetengah Kanser
Orang yang makan banyak makanan yang mengandungi vitamin A atau beta-karotena mungkin mempunyai risiko yang lebih rendah terhadap kanser tertentu.
Walau bagaimanapun, kajian masih menunjukkan keputusan yang bercampur-campur.
Beberapa kajian mendapati mereka yang mengambil vitamin A yang tinggi dalam bentuk beta-karotena dikaitkan dengan pengurangan risiko beberapa jenis kanser seperti limfoma, serviks, paru-paru dan pundi kencing. [5, 6, 7, 8]
Walau bagaimanapun, kajian lain mendapati pengambilan vitamin A pada dos yang tinggi dalam kalangan perokok meningkatkan risiko terhadap kanser paru-paru. [9]
4. Membantu Menguatkan Tulang
Selain kalsium, vitamin D dan vitamin K, vitamin A juga turut membantu menguatkan tulang
Mengambil vitamin A yang mencukupi juga penting untuk pertumbuhan dan perkembangan tulang. Kekurangan vitamin ini dikaitkan dengan tulang yang tidak sihat.
Individu yang mempunyai paras vitamin A yang rendah dalam darah mempunyai risiko patah tulang yang lebih tinggi daripada orang yang mempunyai paras yang normal. [10]
5. Membantu Mencantikkan Kulit Seperti Menghilangkan Jerawat
Ramai yang berpendapat vitamin A adalah rawatan yang berkesan untuk jerawat dan perubahan kulit yang berkaitan dengan usia seperti kedutan dan bintik-bintik penuaan.
Kekurangan viamin A dilaporkan boleh meningkatkan risiko kepada pembentukan jerawat.
Hal ini demikian kerana, ia menyebabkan pengurangan jumlah kelenjar sebum dan menyumbat kelenjar peluh. [11]
Beberapa ubat berasaskan vitamin A untuk jerawat kini boleh didapati dengan preskripsi.
Justeru itu, adalah penting untuk menggunakan vitamin A untuk kesihatan kulit dengan berhati-hati bagi mengelakkan kesan sampingan yang serius.
6. Menyokong Kesihatan Sistem Reproduktif
Kebaikan vitamin A juga turut melibatkan sistem reproduktif atau pembiakan.
Vitamin A penting untuk mengekalkan sistem reproduktif yang sihat bagi lelaki dan wanita, serta memastikan pertumbuhan dan perkembangan normal embrio semasa kehamilan.
Kajian terhadap haiwan mendapati kekurangan vitamin A dalam kalangan lelaki boleh menyebabkan halangan pada pembentukan sel-sel sperma. Akibatnya, ia mungkin menyebabkan ketidaksuburan. [12]
Manakala, kajian terhadap haiwan bagi wanita pula mendapati kekurangan vitamin A boleh memberi kesan terhadap kualiti telur dan menjejaskan implantasi telur ke dalam rahim. [12]
Bagi wanita hamil, vitamin A memainkan peranan dalam pertumbuhan dan pembentukan organ-organ utama dan struktur janin.
Walau bagaimanapun, pengambilan vitamin A yang berlebihan bagi wanita hamil boleh mendatangkan bahaya yang menjurus kepada kecacatan. [13]
Risiko Pengambilan Vitamin A Secara Berlebihan
Vitamin A ialah vitamin larut lemak, yang disimpan dalam badan anda. Ini bermakna bahawa penggunaan berlebihan boleh membawa kepada ketoksikan.
Mengambil terlalu banyak vitamin A prabentuk (biasanya daripada suplemen atau ubat-ubatan tertentu) boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, loya, pening, sakit otot dan masalah dengan koordinasi.
Dalam kes yang teruk, mengambil vitamin A prabentuk yang terlalu banyak boleh menyebabkan koma dan kematian.
Selain itu, makan banyak provitamin A dalam bentuk tumbuhan tidak membawa risiko yang sama, kerana penukarannya kepada bentuk aktif dalam badan anda dikawal.
Makanan-makanan yang Tinggi Vitamin A
Sekiranya anda tidak mengalami kekurangan vitamin A, adalah lebih baik untuk mendapatkan vitamin A melalui makanan semula jadi berbanding suplemen (makanan tambahan).
Antara makanan-makanan yang tinggi dengan vitamin A adalah:
- Hati ayam
- Hati lembu
- Telur ayam
- Telur itik
- Buah mangga
- Buah betik
- Cekur manis
- Lada benggala
- Kesum
- Maman
- Lobak merah
- Tomato
- Keledek
Rumusan
Vitamin A mempunyai banyak kebaikan dan peranan penting terhadap fungsi-fungsi badan.
Vitamin A adalah penting untuk penglihatan yang normal, menguatkan sistem imun, menguatkan tulang dan lain-lain lagi.
Kekurangan vitamin A boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan anda. Pastikan anda mendapatkan vitamin A yang mencukupi dalam pemakanan harian anda.
Rujukan
- Sommer A. (2008). Vitamin a deficiency and clinical disease: an historical overview. The Journal of nutrition.
- Beatty, S. et al. (2000). The role of oxidative stress in the pathogenesis of age-related macular degeneration. Survey of ophthalmology.
- Khoo, H. E. et al. (2019). Nutrients for Prevention of Macular Degeneration and Eye-Related Diseases. Antioxidants.
- Patel, S., & Vajdy, M. (2015). Induction of cellular and molecular immunomodulatory pathways by vitamin A and flavonoids. Expert opinion on biological therapy.
- Chen, F. et al. (2017). Carotenoid intake and risk of non-Hodgkin lymphoma: a systematic review and dose-response meta-analysis of observational studies. Annals of hematology.
- Zhang, X. et al. (2012). Vitamin A and risk of cervical cancer: a meta-analysis. Gynecologic oncology.
- Yu, N., Su, X. et al. (2015). Association of Dietary Vitamin A and β-Carotene Intake with the Risk of Lung Cancer: A Meta-Analysis of 19 Publications. Nutrients.
- Tang, J. E. et al. (2014). Vitamin A and risk of bladder cancer: a meta-analysis of epidemiological studies. World journal of surgical oncology.
- Goralczyk R. (2009). Beta-carotene and lung cancer in smokers: review of hypotheses and status of research. Nutrition and cancer.
- Zhang, X. et al. (2017). The Effect of Vitamin A on Fracture Risk: A Meta-Analysis of Cohort Studies. International journal of environmental research and public health.
- Divya, S.A. et al. (2015). Role of Diet in Dermatological Conditions. Journal of Nutrition and Food Sciences.
- Clagett-Dame, M., & Knutson, D. (2011). Vitamin A in reproduction and development. Nutrients.
- Azaïs-Braesco, V., & Pascal, G. (2000). Vitamin A in pregnancy: requirements and safety limits. The American journal of clinical nutrition.