Kekurangan vitamin A berlaku sekiranya badan anda tidak mempunyai vitamin A yang mencukupi. Kekurangan ini berlaku akibat daripada apa yang anda lakukan dan apa yang anda tidak makan. Mujurlah, terdapat tanda-tanda atau gejala yang menunjukkan bahawa anda kekurangan vitamin A.
Vitamin A ialah sejenis vitamin larut lemak yang wujud secara semula jadi di dalam banyak makanan. Vitamin A boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu vitamin A siap bentuk (preformed vitamin A) dan provitamin A.
Vitamin A siap bentuk turut dikenali dengan nama retinol. Retinol biasanya boleh dijumpai dalam makanan seperti daging, telur, produk tenusu dan ikan.

Manakala, provitamin A pula turut dikenali sebagai karotenoid. Karotenoid ialah pigmen berwarna kuning, oren dan merah yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Badan manusia menukarkan karotenoid kepada vitamin A.
Vitamin A mempunyai banyak peranan penting untuk fungsi badan seperti penglihatan, sistem imun, sistem reproduktif dan pertumbuhan. Vitamin ini juga turut membantu organ-organ penting berfungsi dengan baik.
Kekurangan vitamin A mungkin agak jarang berlaku di negara-negara maju. Tetapi, ia masih banyak berlaku di negara-negara membangun.
Golongan seperti bayi, kanak-kanak, wanita hamil dan ibu menyusukan anak berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin A.
Bagi mewujudkan satu kesedaran, mengetahui tanda-tanda kekurangan vitamin A boleh membantu anda mengambil tindakan sewajarnya.
Berikut adalah 8 tanda kekurangan vitamin A sebagai rujukan dan panduan untuk anda:
1. Kulit Kering
Vitamin A adalah vitamin yang penting untuk penghasilan dan pembaikan sel-sel kulit.
Tidak mendapatkan vitamin A yang mencukupi boleh menjadi penyebab berlakunya penyakit kulit seperti ekzema. [1]
Selain itu, satu kajian yang melibatkan penghidap ekzema kronik mendapati pengambilan 10-40 mg vitamin A setiap hari mengalami pengurangan gejala-gejala sebanyak 53%. [2]
Walau bagaimanapun, harus diingat juga bahawa kulit kering mempunyai banyak punca dan kekurangan vitamin A hanyalah salah satu daripadanya.
2. Rabun Malam
Kekurangan vitamin A yang teruk boleh menyebabkan rabun malam.
Rabun malam banyak berlaku di negara-negara membangun seperti di Afrika dan Asia Tenggara.
Satu kajian menunjukkan bahawa wanita yang mengalami rabun malam berjaya dirawat dengan rawatan menggunakan suplemen vitamin A atau vitamin A dalam makanan. Keupayaan wanita tersebut untuk menyesuaikan diri dengan kegelapan meningkat lebih 50% dalam tempoh enam minggu rawatan. [3]
3. Mata Kering
Selain masalah rabun malam, masalah mata yang lain seperti mata kering juga merupakan tanda kekurangan vitamin A.
Mata kering atau tidak berupaya menghasilkan air mata adalah tanda awal kekurangan vitamin A. Kanak-kanak adalah golongan yang berisiko tinggi untuk mengalami mata kering.
Mengambil makanan tambahan (suplemen) vitamin A boleh membantu menangani keadaan ini.
4. Terbantut
Masalah terbantut juga turut dihadapi oleh kanak-kanak di negara ini. Salah satu puncanya adalah tidak mendapatkan vitamin A yang secukupnya.
Hal ini demikian kerana vitamin A diperlukan untuk perkembangan tubuh manusia yang betul.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa suplemen vitamin A, secara bersendirian atau dengan nutrien lain, boleh meningkatkan pertumbuhan.
Contohnya, kajian terhadap lebih 1,000 kanak-kanak di Indonesia mendapati mereka yang mengalami kekurangan vitamin A yang mengambil suplemen dos tinggi selama empat bulan meningkat 0.39 cm lebih tinggi daripada kanak-kanak yang mengambil plasebo. [4]
5. Luka Lambat Sembuh
Luka yang lambat sembuh selepas kecederaan atau pembedahan juga boleh menjadi tanda bahawa anda kekurangan vitamin A.
Vitamin A menggalakkan penghasilan kolagen, komponen penting kulit yang sihat. Penyelidikan menunjukkan bahawa kedua-dua vitamin A yang diambil secara makan atau sapuan (topikal) boleh menguatkan kulit.
Kesan penggunaan vitamin A dapat dilihat dalam kajian yang melibatkan lelaki tua yang merawat luka dengan vitamin A secara topikal. Lelaki tersebut mempunyai pengurangan 50% dalam saiz luka mereka, berbanding lelaki yang tidak menggunakan krim topikal tersebut. [5]
6. Tidak Subur
Selain itu juga, kekurangan vitamin A juga boleh menjejaskan kesuburan dalam kalangan lelaki dan wanita.
Jika anda menghadapi masalah untuk hamil, kekurangan vitamin A mungkin salah satu puncanya. Kekurangan vitamin A boleh menyebabkan ketidaksuburan pada lelaki dan wanita.
Satu kajian yang menganalisis tahap nutrien dalam darah pada wanita yang mengalami keguguran berulang-ulang mendapati bahawa mereka mempunyai tahap vitamin A yang rendah. [6]
7. Jangkitan Saluran Pernafasan
Kekurangan vitamin A juga boleh menjejaskan sistem imun (sistem pertahanan) badan. Akibatnya, ia boleh membawa kepada jangkitan di dada dan tekak.
Satu kajian pada kanak-kanak di Ecuador menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengambil 10,000 IU vitamin A setiap minggu kurang mengalami jangkitan pernafasan berbanding mereka yang menerima plasebo. [7]
8. Jerawat
Jerawat yang tumbuh dengan banyak juga boleh menjadi tanda kekurangan vitamin A. Vitamin A boleh membantu mencegah atau merawat jerawat kerana ciri-ciri antiradang dan antioksidannya.
Banyak kajian yang mengaitkan paras vitamin A yang rendah dengan kehadiran jerawat.
Satu kajian yang melibatkan 200 orang dewasa mendapati paras vitamin A pada mereka yang mempunyai jerawat adalah 80 mcg lebih rendah daripada mereka yang tidak mempunyai jerawat. [8]
Penyelidikan menunjukkan bahawa krim yang mengandungi vitamin A boleh mengurangkan bilangan lesi jerawat sebanyak 50%. [9]
Rumusan
Kekurangan vitamin A banyak berlaku di negara-negara membangun termasuklah Malaysia.
Terlalu sedikit vitamin A boleh menyebabkan kulit meradang, rabun malam, ketidaksuburan, pertumbuhan yang lambat dan jangkitan pernafasan.
Anda boleh mendapatkan vitamin A daripada makanan-makanan harian seperti daging, produk tenusu, telur, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Selain itu, vitamin A juga boleh diperolehi melalui suplemen.
Rujukan
- Oh, S. Y. et al. (2010). Antioxidant nutrient intakes and corresponding biomarkers associated with the risk of atopic dermatitis in young children. European journal of clinical nutrition.
- Ruzicka, T. et al. (2004). Oral alitretinoin (9-cis-retinoic acid) therapy for chronic hand dermatitis in patients refractory to standard therapy: results of a randomized, double-blind, placebo-controlled, multicenter trial. Archives of dermatology.
- Haskell, M. J. et al. (2005). Recovery from impaired dark adaptation in nightblind pregnant Nepali women who receive small daily doses of vitamin A as amaranth leaves, carrots, goat liver, vitamin A-fortified rice, or retinyl palmitate. The American journal of clinical nutrition.
- Hadi, H. et al. (2000). Vitamin A supplementation selectively improves the linear growth of indonesian preschool children: results from a randomized controlled trial. The American journal of clinical nutrition.
- Popp, C. et al. (1995). Pretreatment of photoaged forearm skin with topical tretinoin accelerates healing of full-thickness wounds. The British journal of dermatology.
- Simşek, M. et al. (1998). Blood plasma levels of lipoperoxides, glutathione peroxidase, beta carotene, vitamin A and E in women with habitual abortion. Cell biochemistry and function.
- Sempértegui, F. et al. (1999). The beneficial effects of weekly low-dose vitamin A supplementation on acute lower respiratory infections and diarrhea in Ecuadorian children. Pediatrics.
- El-Akawi, Z. et al. (2006). Does the plasma level of vitamins A and E affect acne condition?. Clinical and experimental dermatology.
- Veraldi, S. et al. (2015). Treatment of mild to moderate acne with a fixed combination of hydroxypinacolone retinoate, retinol glycospheres and papain glycospheres. Giornale italiano di dermatologia e venereologia.