Disebalik rupanya yang tidak menarik, buah avokado (avocado) menyimpan 1001 khasiat untuk kesihatan manusia. Buah avokado berasal daripada pokok avokado yang secara saintifiknya dikenali sebagai Persea americana.
Berbeza dengan buah-buahan yang lain, buah avokado kaya dengan lemak sihat.
Buah yang turut dikenali sebagai buah mentega atau alligator pear ini berpotensi sebagai pencegah kanser, membantu dalam penghadaman, penyakit jantung dan mengurangkan risiko obesiti.
Berikut merupakan 10 khasiat buah avokado yang disokong oleh sains:
1. Buah Avokado Kaya dengan Nutrien Penting
Dalam satu hidangan buah ini (100 gram) terdapat:
- 167 kalori tenaga
- 15.4 gram lemak
- 8.6 gram karbohidrat
- 6.8 gram serat
- 0.3 gram gula
Selain itu, buah avokado kaya dengan vitamin dan mineral seperti kalium, fosforus, magnesium, vitamin K, vitamin A,vitamin E, folat, vitamin B1,B2,B3 dan lain-lain lagi.
2. Buah Avokado Boleh Menjadi Makanan untuk Kurus
Pemakanan memainkan peranan yang besar dalam diet untuk menurunkan berat badan.
Dua komponen utama iaitu karbohidrat dan gula adalah musuh utama bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
Bagi 100gram buah ini, terdapat 8.6 gram karbohidrat yang terdiri daripada 6.8 gram serat. Ini bermakna karbohidrat bersih hanyalah sebanyak 1.8 gram sahaja. Oleh sebab itu, buah avokado dikenali sebagai buah rendah karbohidrat “low-carbs“.
Di samping karbohidrat yang rendah, buah ini juga tinggi dengan lemak sihat iaitu asid lemak monotaktepu (MUFA). Lemak yang sihat ini dapat membuatkan kita rasa kenyang.
Selain itu, dengan memakan lemak, otak kita akan menerima isyarat untuk menutup selera makan.
Maka, secara tidak langsung dapat mengurangkan kekerapan untuk seseorang itu makan serta akan mempercepatkan proses penurunan berat badan.
3. Buah Avokado Boleh Merendahkan Tekanan Darah
Buah avokado mengandungi kandungan kalium (potassium) yang tinggi. Malah, lebih tinggi daripada buah pisang. Bagi 100 gram buah ini, terdapat 507 miligram kalium.
Kajian mendapati pengambilan kalium yang tinggi boleh mengurangkan tekanan darah dalam kalangan mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi yang menjadi faktor utama kepada strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang. [1]
Selain itu, kalium berfungsi untuk mengurangkan kesan natrium (sodium). Semakin banyak kita mengambil kalium, semakin banyak natrium disingkirkan melalui air kencing. [2]
4. Buah Avokado Boleh Membantu Merendahkan Paras Kolesterol dan Trigliserida
Kolesterol yang tinggi, trigliserida yang tinggi, dan tekanan darah yang tinggi merupakan antara punca kepada penyakit atau serangan jantung.
Beberapa kajian mendapati, buah avokado yang kaya dengan asid lemak monotaktepu (MUFA) dapat mengurangkan paras kolesterol total sebanyak 17%, merendahkan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) sebanyak 22%, menurunkan kadar trigliserida sebanyak 22% dan meningkatkan kolesterol-HDL (kolesterol baik) sebanyak 11%. [3]
5. Buah Avokado Boleh Membantu Proses Penghadaman
Selain tinggi dengan asid lemak, buah ini juga tinggi dengan serat diet. Terdapat kira-kira 6-7 gram serat dalam 100 gram buah ini.
Pengambilan makanan yang kaya dengan serat semula jadi boleh membantu proses penghadaman.
Selain dapat mengelakkan sembelit, serat juga boleh mengekalkan kesihatan saluran pencernaan dan mengurangkan risiko daripada terkena kanser kolon. [4, 5]
6. Buah Avokado Berpotensi Mencegah Kanser
Terdapat kajian klinikal yang terhad dalam mengetahui keupayaan buah avokado untuk mencegah dan merawat kanser.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian makmal mendapati, buah avokado ini berkhasiat dalam mencegah kanser.
Satu kajian oleh pengkaji di The Ohio State University mendapati buah avokado ini mempunyai nutrien bersifat fitokimia yang boleh mencegah kanser. [6]
Selain itu, dalam satu kajian makmal, ekstrak avokado juga dilihat boleh mencegah tumbesaran sel-sel kanser prostat. [7]
7. Buah Avokado Baik Untuk Mata
Buah avokado mengandungi lutein dan zeaxantin iaitu antioksidan yang baik untuk mata.
Kajian menunjukkan lutein dan zeaxantin ini boleh melindungi makular mata dari sinaran biru dan juga dikaitkan dengan mengurangkan risiko degenerasi makular berkaitan usia dan katarak. [8]
9. Buah Avokado Boleh Mencegah dan Merawat Osteoporosis
Buah ini juga tinggi dengan vitamin K. Terdapat kira-kira 21 mikrogram vitamin K bagi setiap 100 gram buah avokado.
Vitamin K juga mempunyai peranan dalam kesihatan tulang.
Kajian mendapati vitamin K bukan hanya meningkatkan ketumpatan mineral tulang dalam kalangan mereka yang mengalami osteoporosis, bahkan turut mengurangkan kadar keretakan. [9]
10. Buah Avokado Berpotensi Mengurangkan Risiko Kemurungan
Kandungan folat yang tinggi dalam buah ini boleh membantu mengurangkan risiko kemurungan.
Hal ini demikian kerana, folat mencegah pembentukan homosisteina iaitu bahan yang mengurangkan kitaran dan penghantaran nutrien kepada otak.
Homosisteina yang berlebihan boleh menganggu penghasilan serotonin, dopamina, dan norepinefrina yang mengawal emosi, tidur dan selera makan. [10]
Gangguan terhadap hormon ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kemurungan.
Rumusan
Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi tentang khasiat buah avokado untuk kesihatan kita.
Bukan sahaja berkhasiat malah sedap dan mudah untuk dijadikan salah satu bahan dalam menu harian kita.
Selain boleh dijadikan salad, buah ini juga boleh dijadikan jus dan yang paling penting buah ini mesra untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan!
Rujukan
- Aburto, N. J. et al. (2013). Effect of increased potassium intake on cardiovascular risk factors and disease: systematic review and meta-analyses. BMJ.
- American Heart Association. (2023). How Potassium Can Help Control High Blood Pressure.
- López Ledesma, R. et al. (1996). Monounsaturated fatty acid (avocado) rich diet for mild hypercholesterolemia. Archives of medical research.
- Anderson, J. W. et al. (2009). Health benefits of dietary fiber. Nutrition reviews.
- Kunzmann, A. T. et al. (2015). Dietary fiber intake and risk of colorectal cancer and incident and recurrent adenoma in the Prostate, Lung, Colorectal, and Ovarian Cancer Screening Trial. The American journal of clinical nutrition.
- Ding, H. et al. (2007). Chemopreventive characteristics of avocado fruit. Seminars in cancer biology.
- Lu, Q. Y. et al. (2005). Inhibition of prostate cancer cell growth by an avocado extract: role of lipid-soluble bioactive substances. The Journal of nutritional biochemistry.
- Abdel-Aal, el-S. M. et al. (2013). Dietary sources of lutein and zeaxanthin carotenoids and their role in eye health. Nutrients.
- Weber P. (2001). Vitamin K and bone health. Nutrition.
- Škovierová, H. et al. (2016). The Molecular and Cellular Effect of Homocysteine Metabolism Imbalance on Human Health. International journal of molecular sciences.