Ekzema ialah masalah radang pada kulit yang dicirikan dengan rasa gatal dan lecur. Penyakit ini biasanya terjadi kepada kanak-kanak tetapi orang dewasa juga tidak terlepas daripada penyakit ini. Terdapat beberapa jenis ekzema yang dikelaskan berdasarkan punca atau penyebabnya serta simptom-simptom yang berlaku.
Perkataan ekzema membawa 2 maksud iaitu keadaan yang menyebabkan keradangan, iritasi dan gatal-gatal pada kulit. Ekzema juga boleh merujuk kepada salah satu keadaan dalam kumpulan ini seperti dermatitis atopi, dermatitis sentuh atau neurodermatitis.
Berikut adalah beberapa jenis ekzema serta simptom-simptom dan punca yang menyebabkan penyakit tersebut.
1. Dermatitis Atopi
Dermatitis atopi adalah jenis ekzema yang paling lazim terjadi. Dermatitis atopi ini selalunya dipanggil ekzema sahaja atau ekzema atopi. Biasanya, dermatitis atopi ini berlaku kepada kanak-kanak seawal usia 5 tahun.
Golongan yang menghidap asma, rinitis alergi atau masalah kulit juga berisiko tinggi dan terdedah kepada dermatitis atopi ini.
Simptom-simptom
Simptom-simptom dermatitis atopi adalah:
- Gatal-gatal terutamanya pada waktu malam
- Ruam pada kulit
- Kulit menjadi tebal, berkerak dan bersisik
- Kulit menjadi kasar, sensitif dan bengkak
- Bintat-bintat kecil yang berair
- Dermatitis ini biasanya terbentuk di kulit kepala dan muka bagi bayi
Punca
Kulit yang sihat membantu mengekalkan kelembapan dan melindungi anda daripada bakteria, alergen, dan bahan iritasi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kulit tidak dapat menyediakan pelindungan ini.
Antara punca dan faktor risiko yang berkait dengan dermatitis atopi ini adalah:
- Keturunan (gen) – mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit yang sama
- Mempunyai alahan makanan
- Menghidap asma
- Menghidap rinitis alergi
2. Dermatitis Sentuh
Dermatitis sentuh adalah sejenis ekzema yang berlaku akibat sentuhan langsung dengan bahan yang menyebabkan alahan atau tindak balas alahan terhadap bahan tersebut.
Cara untuk mencegah atau merawat dermatitis sentuh ini ialah dengan menghindari bahan atau objek yang menyebabkan tindak balas tersebut.
Simptom-simptom
Dermatitis sentuh biasanya terjadi di bahagian badan yang mempunyai sentuhan langsung terhadap bahan yang menyebabkan tindak balas tersebut.
Lazimnya, ruam ini akan terbentuk beberapa minit atau jam selepas anda terdedah kepada bahan tersebut dan simptom-simptom ini boleh berlanjutan sehingga 2 hingga 4 minggu.
Simptom-simptom atau gejala dermatitis sentuh adalah:
- Ruam merah
- Rasa gatal-gatal dan sakit
- Kulit menjadi bersisik, berkerak dan kering
- Lepuh yang mengandungi cecair
- Benjolan gatal-gatal
- Ruam merah dan bengkak pada kulit
Punca
Dermatitis sentuh berpunca daripada sentuhan kepada bahan yang menyebabkan iritasi. Tindak balas ini berlaku akibat bahan tersebut merosakkan lapisan luar perlindung kulit anda.
Antara bahan yang lazimnya boleh menyebabkan dermatitis sentuh ini adalah:
- Bahan cuci
- Peluntur
- Syampu dan sabun
- Barang kemas
- Cat
- Getah (latex)
- Pokok beracun
- Bahan pelarut
- Asap rokok
- Nikel
- Baja atau racun serangga
- Habuk
3. Neurodermatitis
Neurodermatitis ialah jenis ekzema yang bermula dengan satu tompokan kulit yang gatal. Menggaru bahagian ini menyebabkan ia lebih gatal. Kitaran gatal-garu ini menyebabkan bahagian kulit tersebut menjadi tebal dan bersisik.
Bahagian badan yang biasanya terbentuk neurodermatitis ini adalah di bahagian leher, pergelangan tangan, lengan, kaki atau bahagian kemaluan.
Simptom-simptom
Beberapa gejala atau simptom neurodermatitis adalah:
- Tompokan gatal
- Kulit yang terkesan menjadi bersisik atau berkulit
- Tompokan yang timbul, kasar dan berwarna lebih merah atau gelap berbanding kulit disekelilingnya
- Tompok-tompok ini akan menjadi sangat gatal ketika anda sedang berehat atau tidur
Punca
Punca sebenar neurodermatitis ini tidak diketahui. Neurodermatitis boleh terjadi dalam kalangan mereka yang mempunyai jenis ekzema yang lain atau psoriasis.
Neurodermatitis ini juga boleh dicetuskan oleh tekanan.
4. Ekzema Dyshidrotic
Ekzema dyshidrotic adalah jenis ekzema yang menyebabkan lepuh kecil dan sangat gatal di tangan dan kaki. Lepuh-lepuh ini juga boleh terbentuk di tepi atau sisi jari tangan atau jari kaki.
Ekzema dyshidrotic ini lazimnya berlaku kepada golongan belia yang berusia 20 hingga 40 tahun. Lepuh-lepuh ini boleh berkekalan selama 3 hingga 4 minggu sebelum hilang.
Simptom-simptom
Simptom atau gejala bagi ekzema jenis ini adalah:
- Gatal-gatal, rasa seperti terbakar atau rasa sakit pada kulit dimana lepuh-lepuh akan terbentuk
- Lepuh-lepuh kecil, berair dan gatal
- Berpeluh dikawasan lepuh-lepuh
- Kulit menjadi kering dan bersisik
- Tompok-tompok hitam
- Jangkitan kulit akibat menggaru
Punca
Punca sebenar yang menyebabkan ekzema dyshidrotic ini tidak diketahui. Tetapi pengkaji percaya mereka yang terkena ekzema jenis ini mempunyai kepekaan tinggi terhadap sesuatu seperti:
- Logam seperti nikel atau kobalt
- Bahan dalam produk penjagaan diri
- Asap rokok
- Ubat-0ubatan seperti aspirin atau ubat perancang
- Jangkitan pada kulit seperti kaki atlet.
5. Ekzema Numular
Ekzema jenis ini menyebabkan tompok bulat seperti duit syiling terbentuk di kulit anda. Numular (nummular) bermaksud bentuk duit dalam bahasa latin. Ekzema numular selalunya terbentuk selepas seseorang itu mengalami kecederaan pada kulit seperti melecur, gigitan serangga atau lelasan.
Ekzema numular ini turut dikenali dengan nama lain seperti dermatitis numular atau ekzema diskoid.
Simptom-simptom
Pada peringkat awal, ekzema jenis ini akan membentuk kumpulan bintik-bintik merah dan keradangan seperti lepuh yang mengeluarkan cecair. Apabila keradangan ini membesar ia akan membentuk tompokan seperti duit syiling.
Antara gejala dan simptom ekzema numular ini adalah:
- Tompok radang yang sekecil 1 inci hingga 4 inci
- Selalunya terjadi di bahagian kaki tetapi boleh juga terjadi di tangan, lengan atau dibahagian tengah badan
- Gatal dan rasa seperti terbakar
- Menjadi berkuping atau berkerak selepas lepuh tersebut pecah.
Punca
Para pengkaji percaya ekzema numular ini boleh disebabkan oleh kepekaan (kesensitifan) terhadap sesuatu bahan atau objek . Contohnya seperti:
- Bahan kimia
- Ubat-ubatan
- Bahan logam
Selain itu, mereka yang mempunyai kulit kering, ekzema lain, aliran darah yang tidak baik, kecederaan pada kulit atau jangkitan bakteria pada kulit juga boleh terkena ekzema jenis ini.
6. Dermatitis Stasis
Dermatitis stasis ialah jenis ekzema yang terbentuk dalam kalangan mereka yang mempunyai aliran darah yang tidak baik. Dermatitis stasis biasanya terbentuk di bahagian kaki atau buku lali kerana kawasan ini selalunya mempunyai aliran darah yang tidak baik.
Dermatitis stasis turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti dermatitis graviti, ekzema vena atau ekzema varikos.
Simptom-simptom
Pada peringkat awal, dermatitis statis menyebabkan bengkak dan perubahan warna kulit yang samar-samar terutamanya di urat (vena) varikos.
Beberapa gejala atau simptom lain yang boleh diperhatikan adalah:
- Kulit menjadi kering, gatal dan berubah warna
- Kulit mengalami keradangan, berubah warna dan iritasi
- Rasa berat dan sakit pada satu atau kedua-dua belah kaki ketika anda berdiri atau berjalan
- Bengkak di bahagian buku lali
- Bengkak di kaki yang hilang ketika anda tidur tetapi muncul kembali selepas anda bangun
Punca
Dermatitis stasis berpunca daripada aliran darah yang tidak baik (buruk) di bahagian kaki. Beberapa golongan berisiko untuk mengalami aliran darah yang buruk adalah:
- Berusia 50 tahun ke atas
- Wanita
- Mempunyai berat badan berlebihan
- Tidak aktif
- Kerap berdiri atau duduk pada jangka masa yang lama
- Pernah mengalami kecederaan di kaki
- Pernah menjalani pembedahan di kaki
- Menghidap selulit
- Menghidap penyakit buah pinggang
7. Dermatitis Seborrheic
Dermatitis seborrheic ialah bentuk ekzema yang kronik yang berlaku di kawasan kulit yang mempunyai kelenjar minyak yang banyak seperti kulit kepala. Selain kulit kepala, ekzema jenis ini boleh juga terbentuk di kawasan berminyak seperti hidung, bulu kening, dada dan muka.
Simptom-simptom
Beberapa gejala atau simptom dermatitis seborrheic adalah seperti berikut:
- Kelemumur di kulit kepala, rambut, bulu kening, misai atau janggut
- Gatal-gatal
- Kulit menjadi merah
- Tompok-tompok kulit yang bergris (berminyak) yang dilitupi oleh serbuk putih atau kuping berwarna kuning
- Kuping atau keruping di kulit kepala, muka, kening, telinga, dada, ketiak atau di kawasan kemaluan.
Punca
Punca sebenar dermatitis seborrheic tidak diketahui dengan tepat. Tetapi para pengkaji percaya ia berkaitan dengan jangkitan kulat (yis) jenis malassezia dan tindak balas sistem imun.
Genetik dan tekanan (stres) juga mungkin boleh menjadi pencetus atau memburukkan lagi simptom-simptom ekzema jenis ini.
8. Ekzema Tangan
Ekzema tangan ialah ekzema yang hanya menjejaskan bahagian tangan. Mereka yang bekerja sebagai tukang cuci atau pendandan rambut adalah golongan berisiko tinggi untuk terkena ekzema jenis ini kerana penggunaan bahan kimia yang kerap.
Simptom-simptom
Simptom-simptom berikut boleh diperhatikan di tangan mereka yang terjejas:
- Tangan menjadi merah, gatal-gatal dan kering
- Kulit tangan akan jadi berkerak atau membentuk lepuh
- Kulit menjadi bersisik atau radang yang gatal
Punca
Ekzema tangan disebabkan oleh bahan kimia. Antara bahan kimia yang lazimnya boleh menyebabkan ekzema ini adalah:
- Pelarut
- Bahan pencuci
- Simen
- Getah
- Logam seperti nikel dan kromium
- Ubat-ubatan seperti neomycin dan hydroxyquinolones.
Rujukan
- American Academy of Dermatology Association. Eczema: Types and Treatment.
- National Eczema Association. An Overview of the Different Types of Eczema.
- Gardner, S.S. (2019). Types of Eczema. WebMD.
- Watson, S. (2020). What Are the 7 Different Types of Eczema. Healthline.
- Agarwal, U. S., et al. (2014). Hand eczema. Indian journal of dermatology.