Jika anda seorang peminum kopi tegar, anda mungkin tertanya-tanya berapa jenis biji kopi yang ada dan apakah perbezaan antara biji-biji kopi tersebut.
Begitu juga sekiranya anda seorang pembuat kopi (barista), sudah tentu anda perlu mengenali bahan-bahan yang anda gunakan dalam membancuh kopi dan salah satunya adalah biji kopi.
Secara umumnya, terdapat 4 jenis biji kopi yang terdapat di pasaran dunia. Ia adalah:
- Kopi Arabica
- Kopi Robusta
- Kopi Liberica
- Kopi Excelsa

Pada tahun 2015, menurut laporan Food and Angriculture Organization (FAO) hampir 70% tanaman kopi yang ditanam dan didagangkan di pasaran dunia adalah daripada jenis kopi Arabica, diikuti oleh jenis kopi Robusta (28%) dan bakinya (2%) adalah daripada jenis kopi Liberica dan Excelsa.
Walau bagaimanapun, dominasi kopi Arabica dalam pasaran dunia akan turut mengalami perubahan akibat daripada faktor cuaca yang dialami oleh negara pengeluar.
Berikut adalah sedikit sebanyak maklumat berkaitan dengan jenis-jenis biji kopi yang terdapat di pasaran dunia:
1. Biji Kopi Arabica
Biji kopi Arabica (Coffea arabica) adalah biji kopi yang paling popular di dunia.
Biji kopi Arabica ini berasal dari Etiopia dan kini Brazil, Etiopia, Guatemala, Honduras, India, Vietnam, Colombia dan Peru adalah negara-negara pengeluar utama kepada kopi Arabica.
Berbanding kopi Robusta, kopi Arabica lebih sukar untuk ditanam dan memerlukan penjagaan yang rapi. Pokok kopi Arabica memerlukan tempat beraltitud tinggi dan air yang lebih banyak untuk tumbuh dengan sempurna.
Selain itu, pokok kopi Arabica juga mudah untuk diserang penyakit. Semua perkara ini menyebabkan biji kopi Arabica lebih mahal.
Biji kopi Arabica mempunyai rasa yang lebih manis, lebih halus dan kurang berasid.
2. Biji Kopi Robusta
Biji kopi Robusta (Coffea canephora) adalah biji kopi kedua popular di dunia. Kopi robusta paling popular di Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
Berbanding kopi Arabica, kopi Robusta lebih mudah untuk ditanam dan boleh tumbuh di kawasan beraltitud rendah dan tahan penyakit.
Kandungan kafein yang tinggi dalam biji kopi ini menjadikan tumbuhan ini lebih tahan kepada penyakit dengan bertindak sebagai penghalau serangga semula jadi.
Ramai yang berpendapat kopi Robusta mempunyai rasa yang lebih pahit, mempunyai bau yang kuat dan
Kopi Robusta digambarkan mempunyai rasa pahit, rasa seperti oatmil, dengan rasa kesan kacang tanah dan kadangkala rasa seperti coklat pahit.
Ia mempunyai kurang keasidan berbanding Arabica, bermakna ia mempunyai rasa yang lebih keras dan semula jadi, menjadikannya kurang diingini.
3. Biji Kopi Liberica
Biji kopi Liberica (Coffea liberica) adalah biji kopi yang berasal dari Afrika Tengah dan Barat. Di Malaysia, kopi Liberica adalah salah satu jenis kopi yang ditanam di Semenanjung Malaysia seperti di negeri Johor dan Selangor.
Pokok kopi Liberica tumbuhan lebih besar daripada Arabica atau Robusta, kebanyakan buah kopi Liberica mempunyai bentk yang tidak seragam dan mempuyai saiz yang hampir dengan saiz biji kopi Robusta.
Kopi Liberica mempunyai aroma bunga yang menyegarkan dan profil rasa berasap, berkacang dan semula jadi.
4. Biji Kopi Excelsa
Jenis biji kopi yang keempat dipanggil Excelsa. Walaupun ia pernah dianggap sebagai spesies kopi yang berasingan, saintis baru-baru ini mengklasifikasikannya sebagai varian Liberica.
Biji kopi Excelsa banyak ditanam di negara-negara Asia Tenggara. Biji kopi ini mempunyai bentuk seperti biji kopi Liberica. Pokok kopi Excelsa tumbuh di kawasan yang beraltitud sederhana.
Dari segi rasanya, biji kopi Excelsa mempunyai rasa yang agak unik. Ia memiliki kombinasi rasa biji kopi yang dipanggang ringan dan panggangan gelap seperti rasa masam dan rasa buah.
Biji kopi Excelsa juga lebih ringan dari segi aroma dan kandungan kafein.
Rujukan
- Mohamad Nor, N.A.A. et al. Kajian Strategi Penyelidikan dan Pembangunan Dalam Industri Makanan dan Pertanian: Prospek Kopi.
- USDA. 2019. Coffee: World Markets and Trade.